Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

PANDANGAN

Tiga kongres serentak namun PKR, Umno, Amanah menuju haluan berbeza

Dec 10, 2019 | 05:30 AM



MINGGU lalu menyaksikan tiga parti politik di Malaysia mengadakan kongres tahunan masing-masing.



Satu adalah parti terbesar Melayu di negara tersebut iaitu Umno, dan dua adalah parti pelbagai kaum tetapi didominasi Melayu, iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (Amanah).



Secara umum, perhimpunan agung Umno (gambar) dan Amanah dilihat berjalan lancar manakala mesyuarat PKR dicemari dengan perpecahan antara dua kelompok.



Tetapi jika diteliti dengan lebih dekat, hakikatnya Umno juga sedang menjalani satu proses peralihan, dan masih wujud sifat curiga di kalangan anggota parti.



UMNO KEMBALI BANGKIT?



Berbeza daripada tahun-tahun sudah, perhimpunan agung Umno kali ini lebih bersemangat.



Parti tersebut telah berjaya memenangi hati para pengundi setelah kekalahan teruk pada Pilihan Raya Umum 2018.



Komponen pembangkang Barisan Nasional (BN), dengan Umno merupakan parti terbesar, telah berjaya memenangi empat daripada lima pilihan raya kecil yang diadakan.



Isu-isu yang dibangkitkan oleh presiden Umno, Datuk Ahmad Zahid Hamidi, adalah hanya untuk memburuk-burukkan parti DAP (Parti Tindakan Demokratik) yang majoritinya merupakan masyarakat Cina.



Datuk Ahmad Zahid antara lain mempersoalkan mengapa parti tersebut berdiam diri apabila isu abu mayat ketua parti komunis Malaya Chin Peng dibawa pulang ke Malaysia sedangkan isu itu sangat sensitif terhadap jiwa-jiwa yang terkorban semasa pemberontakan komunis dan zaman pengisytiharan darurat sekitar 1940-an hingga 1960-an.



Presiden Umno tahu bahawa masyarakat Melayu tidak mahu ketuanan Melayu diperlekeh, dan persepsi yang wujud terhadap kerajaan PH (Pakatan Harapan) sekarang ini adalah ia tunduk pada kehendak DAP, walaupun ia diterajui Tun Dr Mahathir Mohamad.



Sebenarnya, di kalangan anggota, masih wujud sifat sangsi terhadap hala tuju parti tersebut, walaupun ia mungkin tidak disuarakan secara terbuka semasa perhimpunan tersebut.



Isu tentang ahli parlimen yang mungkin lompat parti ke PH, atau keluar daripada Umno masih lagi menjadi tanda-tanya, dan boleh membantutkan usaha pembaharuan.



Mentelah, perbicaraan mahkamah terhadap pemimpin-pemimpin utama Umno, termasuk mantan perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, masih berjalan.



Begitu juga kes-kes rasuah yang melibatkan Datuk Ahmad Zahid yang masih disiasat dan fasa pertuduhan.



Jika mereka disabit kesalahan, ini akan menggoyangkan Umno.



Sebelum ini, Umno telah kehilangan beberapa tokoh-tokoh besar seperti mantan menteri Datuk Mustapa Mohamad yang telah masuk PH.



Baru-baru ini, 22 ahli Umno mengadakan pertemuan sulit dengan menteri Datuk Azmin Ali yang membangkitkan rasa curiga di kalangan kepimpinan Umno.



Kesetiaan mantan menteri dan naib presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Hussein juga dipersoalkan baru-baru ini kononnya ada percubaan menerajui kerajaan "pintu belakang".



Tambahan lagi, walaupun kerjasama politik antara Umno dan bekas sekutunya PAS (Parti Islam seMalaysia) menghasilkan kemenangan pada pilihan raya kecil sebelum ini, bagaimana ia boleh selari dengan gabungan sedia-ada di BN - bersama parti Cina (MCA) dan India (MIC) - masih menjadi tanda tanya.



PERPECAHAN DALAM PKR



Berbeza daripada keadaan semasa perhimpunan Umno, mesyuarat PKR dicemari dengan perpecahan.



Sebelum ini, terdapat desas-desus bahawa ada keretakan hubungan antara presiden parti Datuk Seri Anwar Ibrahim dan timbalannya Datuk Azmin Ali, sehingga ada yang menyatakan akan ada dua kongres berasingan parti tersebut.



Namun, mereka mengetepikan perbezaan dan Datuk Azmin bersama para penyokongnya hadir dalam kongres di Melaka.



Malangnya, keamanan yang dicapai antara kedua-dua pemimpin tersebut tidak berpanjangan.



Berlaku kekecohan semasa perhimpunan sayap pemuda PKR antara penyokong Datuk Anwar dan Datuk Azmin.



Kemudian, Datuk Azmin dan hampir 100 penyokongnya keluar beramai-ramai daripada mesyuarat tersebut atas rasa tidak puas hati kerana ucapan-ucapan berbentuk sindiran yang ditujukan kepada kumpulan Datuk Azmin.



Ucapan-ucapan pemimpin PKR juga disambut dengan kata-kata keji sebaik saja nama Datuk Azmin dan sekutu-sekutunya disebut.



Datuk Azmin juga tidak hadir semasa ucapan penutup mesyuarat parti itu.



MASA DEPAN PM KE-8



Sebelum ini, Anwar Ibrahim disebut-sebut sebagai bakal menjadi perdana menteri kelapan Malaysia menggantikan Dr Mahathir.



Peralihan kuasa ini selari dengan apa yang dijanjikan antara Datuk Anwar dengan Dr Mahathir sebelum pilihan raya 2018.



Namun, dengan keadaan sekarang, masih belum pasti sama ada peralihan ini akan berlaku dalam masa terdekat, atau jika ia akan berlangsung sama sekali.



Terdapat tanggapan bahawa jika Datuk Anwar tidak boleh mengawal para anggota partinya sendiri, bagaimana beliau boleh memimpin kerajaan campuran hasil gabungan empat parti dengan ideologi yang berbeza?



Mentelah, para pemimpin PAS dan beberapa anggota Umno juga telah menyuarakan sokongan agar Dr Mahathir meneruskan tugasnya sebagai perdana menteri sehingga pilihan raya seterusnya.



Malah, Datuk Azmin sendiri telah menyuarakan sokongan terhadap usul agar Dr Mahathir kekal sebagai perdana menteri.



Kerajaan PH kini berdepan dengan pelbagai masalah setelah menghadapi beberapa kekalahan. Persepsi masyarakat juga tidak begitu positif kerana banyak janji yang dibuat semasa pilihan raya 2018 masih belum ditunaikan.



Daripada satu sudut, kejadian-kejadian yang berlaku sepanjang perhimpunan PKR bukan hanya merugikan Datuk Anwar, malah PH.



Perpecahan serupa terjadi dalam Umno semasa timbalan presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin disingkirkan daripada parti kerana mengkritik bosnya Datuk Najib berkaitan skandal 1MDB.



Umno kemudian tewas akibat perpecahan itu. Hal ini juga boleh berlaku kepada PKR, parti terbesar dalam PH.



Mujur bagi PH, keadaan belum begitu stabil di dalam Umno kerana perbicaraan kes-kes melibatkan pemimpin-pemimpin parti itu masih berjalan.



Natijahnya, apa yang berlaku ini boleh dijadikan alasan agar Dr Mahathir belum boleh mengundurkan diri daripada jawatannya.



  • Dr Norshahril Saat Zamil ISEAS-Yusof Ishak Institute. Beliau pakar politik Indonesia, Malaysia dan Singapura dan penulis buku The State, Ulama and Islam in Malaysia and Indonesia.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >