TOKYO: Beberapa orang pelajar yang mengambil peperiksaan bersepadu kemasukan universiti dan seorang lelaki diserang dengan objek tajam di Universiti Tokyo semalam.
Susulan itu, seorang remaja berusia 17 tahun telah ditahan.
Penyiar awam, NHK berkata ketiga-tiga mangsa, yang dikejarkan ke hospital selepas ditikam di belakang sekitar jam 8.30 pagi di kampus utama universiti di Wad Bunkyo di ibu negara.
Mereka dilaporkan dalam keadaan sedar dan tidak mengalami kecederaan yang mengancam nyawa, kata polis.
Insiden itu berlaku ketika peperiksaan kemasukan universiti Jepun dijalankan selama dua hari bermula di seluruh negara.
Universiti Tokyo meneruskan peperiksaan hari pertama seperti yang dijadualkan.
Pusat Peperiksaan Kemasukan Universiti Kebangsaan berkata, kedua-dua mangsa adalah pelajar sekolah menengah lelaki dan perempuan.
Seorang lagi mangsa ialah seorang lelaki berusia 70-an.
Lelaki itu bergegas ke kotak polis berhampiran untuk melaporkan serangan itu.
Suspek telah ditahan di tempat kejadian kerana cubaan membunuh.
Jenayah ganas jarang berlaku di Jepun, tetapi terdapat beberapa siri serangan pisau oleh penyerang yang tidak dikenali mangsa.
Oktober tahun lalu, seorang lelaki yang memakai kostum Joker Batman menikam lebih sepuluh penumpang di gerabak kereta api di Tokyo, menyebabkan penumpang menjerit di lorong gerabak kereta api dan berebut keluar dari tingkap untuk melarikan diri.
Beberapa bulan sebelum itu, seorang lelaki mencederakan beberapa orang dalam serangan pisau di dalam kereta api komuter di Tokyo. - Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg