PETRA (Jordan): Seorang wanita Belgium dan anak lelakinya dilaporkan terkorban selepas mereka dihanyutkan banjir kilat yang melanda bandar purba Petra di Jordan pada 4 Mei.
Dua lagi anaknya yang turut hilang dalam kejadian tersebut telah ditemui selamat oleh pasukan penyelamat.
Pihak Berkuasa Pembangunan dan Pelancongan Wilayah Petra memaklumkan, lebih 1,800 pelancong pula telah dipindahkan dari tapak bersejarah berkenaan bagi memastikan keselamatan mereka.
Menurut laporan agensi berita kerajaan Jordan, mangsa dan tiga anaknya hilang selepas kawasan Shoubak, kira-kira 200 kilometer dari ibu kota Amman, dilanda banjir kilat.
Rakaman video yang dikeluarkan menunjukkan air banjir mengalir deras di beberapa bahagian tapak bersejarah itu termasuk The Treasury, mercu tanda ikonik Petra.
“Keluarga ini menyertai kumpulan pelancong seramai 18 orang dalam ekspedisi lasak di kawasan Wadi al-Nakhil tanpa pemandu pelancong,” kata Gabenor daerah Ma’an, Encik Hassan al-Jabour kepada stesen TV Al-Mamlaka.
Katanya, kebanyakan ahli kumpulan tersebut berjaya diselamatkan kecuali wanita berkenaan dan anak-anaknya yang terpisah.
Proses evakuasi memindahkan hampir 1,800 pelancong dari kota purba Petra yang dinaiki air itu diketuai oleh pasukan pertahanan awam, polis tempatan dan pegawai pelancongan yang melancarkan usaha menyelamat di kawasan berisiko tinggi.
“Kami bertindak segera selepas siren kecemasan dikeluarkan dan air mula memasuki laluan sempit Siq yang menuju ke bangunan ikonik Al-Khazneh atau ‘The Treasury’,” jelas Encik Yazan Mahadin, Pesuruhjaya Pihak Berkuasa Pembangunan dan Pelancongan Petra (PDTRA).
Rakaman video yang dikeluarkan menunjukkan arus deras melalui koridor semula jadi Petra, termasuk kawasan Monastery (Ad Deir), Makam Askar Rom, serta lereng berhampiran makam Nabi Harun.
Susulan insiden tersebut, tapak arkeologi Petra yang diiktiraf i Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) ditutup sementara bagi tujuan keselamatan.
Penjualan tiket turut dihentikan dan kemasukan pelawat digantung.
Namun, menurut Encik Mahadin: “Keadaan telah kembali pulih dan pergerakan pelancong telah disambung seperti biasa mulai hari Isnin (5 Mei). Kami memastikan kerja pembaikan dan pembersihan dilakukan segera.”
Beliau juga menegaskan bahawa pihaknya telah melaksanakan pelan tindak balas kecemasan yang merangkumi pembersihan saluran air, pembaikan laluan pelancong, serta penempatan pasukan bantuan lapangan di lokasi utama.
“Kami terus bekerjasama rapat dengan pasukan keselamatan dan pertahanan awam bagi memastikan keselamatan pengunjung,” tambahnya.
Jordan kerap mengalami banjir kilat apabila hujan lebat bermusim menyebabkan air melimpah ke lembah kering padang pasir.
Kejadian seumpama ini bukan pertama kali berlaku.
Pada 2021, tiga orang maut apabila kenderaan mereka dihanyutkan air.
Manakala pada 2018, lebih 30 orang terkorban dalam dua insiden banjir berasingan yang melanda Petra dan pesisir Laut Mati.
Pihak berkuasa Jordan mengingatkan orang ramai dan pelancong agar sentiasa mematuhi arahan keselamatan dan mengambil maklum perubahan cuaca semasa mengunjungi kawasan berisiko tinggi seperti Petra. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg