GAZA: Kemenangan Sepanyol menewaskan Argentina 1-0 dalam masa tambahan pada final Piala Dunia Fifa 2026 bukan sekadar menobatkan juara dunia baharu.

Di banyak bandar Arab dan masyarakat Islam di Timur Tengah, ia turut dilihat sebagai kemenangan simbolik buat perjuangan Palestin.

Di Gaza yang masih bergelut dengan peperangan, kemusnahan dan perpindahan besar-besaran, ribuan penduduk melupakan seketika penderitaan harian apabila memenuhi kafe dan lokasi tayangan terbuka untuk menyaksikan final perlawanan itu.

Apabila Ferran Torres menjaringkan gol kemenangan, sorakan bergema di kem pelarian, jalan-jalan di Gaza, Tebing Barat serta beberapa ibu kota Arab.

Bendera Palestin dikibarkan seiring bendera Sepanyol.

Bagi ramai rakyat Palestin, Sepanyol bukan lagi sekadar pasukan bola sepak, malah, lambang sebuah negara Eropah yang lantang mempertahankan hak rakyat Palestin ketika kebanyakan negara Barat memilih pendekatan lebih berhati-hati terhadap perang di Gaza.

Perlawanan akhir itu sekali gus memperlihatkan bagaimana bola sepak mampu berubah menjadi lambang politik, perpaduan dan identiti.

Sokongan besar terhadap Sepanyol tidak berlaku secara kebetulan.

Di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Encik Pedro Sanchez, Sepanyol muncul antara negara Eropah paling lantang mengkritik tindakan Israel di Gaza.

Pada 2024, Madrid secara rasmi mengiktiraf Negara Palestin.

Sejak itu, pemerintah Sepanyol berulang kali menggesa gencatan senjata, meningkatkan bantuan kemanusiaan kepada Gaza dan menyokong usaha undang-undang antarabangsa bagi menyiasat dakwaan pelanggaran hak asasi manusia.

Pendirian itu menjadikan Sepanyol semakin dihormati di dunia Arab.

Sebaliknya, Argentina di bawah Presiden Encik Javier Milei, mengukuhkan hubungan rapat dengan Israel melalui kerjasama keselamatan, lawatan rasmi serta sokongan terbuka kepada pemerintah Perdana Menteri, Encik Benjamin Netanyahu.

Malah menjelang final, Encik Netanyahu secara terbuka mengucapkan selamat maju jaya kepada Argentina selepas menerima jersi rasmi pasukan itu daripada Duta Argentina ke Israel, Encik Axel Wahnish.

Perbezaan dasar luar kedua-dua negara menjadikan final Piala Dunia mempunyai dimensi politik yang luar biasa.

Di media sosial, tanda pagar menggabungkan perkataan ‘Sepanyol’, ‘Palestin’ dan ‘Piala Dunia’ menjadi antara topik paling hangat di Asia Barat dan Asia Selatan.

Ramai pengguna menyifatkan kemenangan Sepanyol sebagai kemenangan moral terhadap dasar yang dianggap lebih memihak kepada Palestin.

Satu lagi faktor yang mengukuhkan sokongan itu adalah tindakan bintang muda Sepanyol, Lamine Yamal.

Pemain berusia 19 tahun yang mempunyai keturunan Maghribi itu menjadi perhatian dunia apabila mengibarkan bendera Palestin ketika sambutan kejuaraan La Liga bersama Barcelona pada Mei lalu.

Beliau turut memuat naik gambar bersama bendera itu di media sosial, sekali gus menerima pujian meluas daripada rakyat Palestin dan penyokong hak asasi manusia.

Apabila Menteri Pertahanan Israel mengkritik tindakan Yamal dan menuduhnya menghasut kebencian, Encik Sanchez segera mempertahankan pemain itu.

“Lamine hanya meluahkan perpaduan terhadap Palestin yang turut dirasai oleh berjuta-juta rakyat Sepanyol. Satu lagi sebab untuk kami berbangga dengannya,” kata Encik Sanchez.

Selepas kemenangan di final, Yamal sekali lagi menjadi perhatian apabila dilihat bersujud sebagai tanda kesyukuran, sesuatu yang turut mendapat pujian ramai penyokong Islam.

Bekas juara Seni Bela Diri Campuran (MMA), Khabib Nurmagomedov, yang lantang menyuarakan sokongan kepada Palestin, turut memberi bayangan awal bahawa beliau menyokong Sepanyol.

“Saya tahu siapa yang saya sokong,” tulisnya di media sosial sebelum perlawanan bermula.

Di Gaza, sambutan kemenangan Sepanyol mempunyai makna yang jauh lebih mendalam.

Sebahagian besar daripada lebih dua juta penduduk Gaza kini tinggal di khemah selepas kediaman mereka musnah akibat serangan Israel.

Bekalan elektrik amat terhad, manakala akses Internet pula sering terganggu.

Walaupun begitu, ramai tetap berusaha mencari tempat untuk menyaksikan final.

Pemilik sebuah kafe sementara di tengah Gaza, Encik Haitham Zidan, berkata beliau mengambil masa berjam-jam memasang skrin besar dan menyediakan bekalan elektrik menggunakan generator.

Bekalan elektrik terputus empat kali sepanjang perlawanan.

“Setiap kali bekalan elektrik terputus, saya meminta pelanggan mencabut pengecas telefon supaya skrin boleh terus berfungsi,” katanya.

Usahanya berbaloi apabila hampir semua penonton pulang dengan senyuman.

“Sekurang-kurangnya selama dua jam mereka melupakan peperangan,” kata Encik Haitham.

Kapten pasukan bola sepak Gaza yang kehilangan sebelah kaki, Saadi al-Masri, berkata beliau memilih menyokong Sepanyol kerana melihat negara itu mempertahankan hak rakyat Palestin.

“Kami menyokong Sepanyol kerana kami melihat negara itu berdiri bersama perjuangan Palestin,” katanya.

Sebelum final, pasukan bola sepak orang kurang upaya Gaza turut memuat naik rakaman video dengan mesej menyentuh hati.

“Sesiapa yang mengangkat bendera Palestin layak mengangkat Piala Dunia.”

Bagi Encik Arkan al-Walaida, 23 tahun, kemenangan Sepanyol memberi kegembiraan yang sukar digambarkan.

“Saya hampir menangis kerana gembira. Sokongan mereka kepada kami menunjukkan masih ada nilai kemanusiaan di dunia,” katanya.

Namun, sambutan di Gaza tetap berlangsung dalam suasana penuh kebimbangan.

Pada awal Julai, serangan Israel membunuh pekerja bantuan Palestin, Encik Mohamed al-Wahidi, yang sering menganjurkan tayangan Piala Dunia untuk penduduk Gaza.

Serangan itu turut mengorbankan dua kanak-kanak serta seorang lagi lelaki.

Akibat ancaman serangan udara, tiada perarakan atau sambutan besar-besaran diadakan walaupun Sepanyol muncul juara dunia.

Duta Palestin ke Britain, Encik Husam Zomlot, turut mengucapkan tahniah kepada Sepanyol melalui media sosial dengan menyifatkan kemenangan itu membawa makna istimewa kepada rakyat Palestin.

Sebaliknya, ramai penyokong Israel memilih menyokong Argentina.

Menurut wartawan dan penganalisis bola sepak Israel, Encik Uri Levy, Argentina sememangnya mempunyai hubungan istimewa dengan rakyat Israel kerana negara Amerika Selatan itu menjadi destinasi popular pelancong Israel selain kejayaan pasukan itu pada Piala Dunia 2022.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa mengaitkan sepenuhnya final Piala Dunia dengan konflik Timur Tengah mungkin tidak menggambarkan kerumitan keadaan sebenar.

“Media sosial hari ini memaksa orang memilih satu pihak. Dalam dunia hari ini, sukar untuk kekal berada di kawasan kelabu,” katanya.

Namun beliau mengakui keadaan itu adalah lumrah dalam dunia bola sepak.

“Bola sepak sentiasa tentang identiti dan emosi,” ujarnya

Hakikatnya, final Piala Dunia 2026 membuktikan bahawa sukan bukan lagi terpisah daripada politik antarabangsa.

Bagi rakyat Gaza, kemenangan Sepanyol bukan sekadar kemenangan di atas padang.

Ia menjadi simbol bahawa masih ada negara dan individu yang berani menyuarakan sokongan terhadap perjuangan mereka.

Selama lebih dua jam, ketika ribuan penonton di seluruh dunia menumpukan perhatian kepada aksi di atas padang, penduduk Gaza menikmati sesuatu yang semakin sukar diperoleh sejak perang bermula – detik kegembiraan, harapan dan rasa bahawa mereka tidak dilupakan. – Agensi berita.