Topik diikuti
Pergi ke BHkuHouthi kini jadi ancaman keselamatan Timur Tengah dan bekalan minyak dunia
Kemunculan pemberontak Yaman sebagai kuasa tentera, cetus kebimbangan perang saudara Yaman jadi konflik serantau yang lebih bahaya
Houthi kini jadi ancaman keselamatan Timur Tengah dan bekalan minyak dunia
RIYADH: Gerakan Houthi yang pada awalnya memperjuangkan hak masyarakat minoriti Syiah di utara Yaman kini muncul sebagai kuasa ketenteraan yang mampu menyerang Arab Saudi, mengancam laluan perdagangan dunia dan menggugat bekalan minyak antarabangsa.
Dengan sokongan Iran, kumpulan itu bukan sahaja menguasai sebahagian besar kawasan berpenduduk di Yaman, malah memiliki peluru berpandu dan dron yang mampu menyerang sasaran sejauh ribuan kilometer.
Serangan peluru berpandu dan dron oleh kumpulan Houthi terhadap lapangan terbang, pangkalan tentera dan kemudahan minyak Arab Saudi sejak kebelakangan ini meningkatkan kebimbangan bahawa perang saudara Yaman semakin berkembang menjadi konflik serantau yang lebih berbahaya.
Serangan terhadap Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Khalid di Riyadh pada 10 Oktober, yang dilaporkan mengorbankan sekurang-kurangnya 13 orang, memperlihatkan keupayaan kumpulan bersenjata itu menyerang sasaran strategik jauh di dalam wilayah Arab Saudi.
Ketegangan turut meningkat apabila pertempuran antara Houthi dengan pasukan pemerintah Yaman yang disokong Riyadh kembali tercetus berhampiran Selat Bab al-Mandab, antara laluan perdagangan dan penghantaran minyak terpenting dunia.
Perkembangan ini menimbulkan persoalan mengenai kekuatan sebenar Houthi, hubungannya dengan Iran dan sebab kumpulan itu terus menjadi ancaman walaupun menghadapi serangan tentera selama lebih sedekad.
Siapakah sebenarnya Houthi?
Houthi ialah gerakan politik, agama dan ketenteraan dari utara Yaman.
Kumpulan itu muncul pada 1990-an sebagai gerakan memperjuangkan hak masyarakat Zaidi, iaitu cabang Islam Syiah yang mempunyai sejarah panjang di Yaman.
Pada peringkat awal, perjuangannya tertumpu pada usaha mengatasi kemiskinan, peminggiran politik dan kekurangan pembangunan di kawasan utara negara tersebut.
Nama Houthi diambil sempena pengasasnya, Hussein Badruddin al-Houthi, yang terbunuh dalam pertempuran dengan tentera Yaman pada 2004.
Sejak itu, kumpulan berkenaan dipimpin adiknya, Abdul Malik al-Houthi, yang mengubah gerakan tersebut daripada kumpulan pemberontak tempatan kepada kuasa ketenteraan dan politik utama di Yaman.
Houthi kini menguasai sebahagian besar kawasan barat laut Yaman, termasuk ibu kota Sanaa, serta wilayah yang menempatkan majoriti penduduk negara itu.
Bagaimana Houthi jadi begitu kuat?
Kebangkitan Houthi berkait rapat dengan ketidakstabilan politik Yaman selepas pemberontakan rakyat Arab atau Arab Spring pada 2011.
Ketika itu, Presiden Ali Abdullah Saleh, terpaksa menyerahkan kuasa kepada timbalannya, Abdrabbuh Mansour Hadi, susulan bantahan besar-besaran terhadap pemerintahannya.
Namun, peralihan kuasa gagal menyelesaikan masalah politik dan ekonomi negara.
Houthi mengambil kesempatan daripada kelemahan pemerintah pusat untuk memperluas pengaruh sebelum menawan Sanaa pada September 2014.
Menjelang 2015, kumpulan itu menguasai sebahagian besar barat Yaman dan memaksa Hadi melarikan diri ke luar negara.
Arab Saudi kemudian mengetuai gabungan tentera negara Arab untuk membantu mengembalikan kuasa pemerintah Yaman yang diiktiraf masyarakat antarabangsa.
Bagaimanapun, serangan udara dan operasi darat selama bertahun-tahun gagal menyingkirkan Houthi daripada kawasan utama yang dikuasainya.
Peperangan tersebut mengorbankan puluhan ribu orang dalam pertempuran dan mencetuskan salah satu krisis kemanusiaan paling buruk di dunia, dengan lebih 22 juta penduduk Yaman memerlukan bantuan.
Apakah sebenarnya matlamat Houthi?
Matlamat Houthi berubah daripada perjuangan mempertahankan hak masyarakat Zaidi kepada usaha mengukuhkan kuasa politik dan ketenteraan di Yaman.
Kumpulan itu mahu mengekalkan penguasaan terhadap wilayah yang ditawannya, mendapatkan pengiktirafan politik dan mengurangkan pengaruh kuasa luar, khususnya Arab Saudi serta Amerika Syarikat.
Houthi juga menentang Israel dan mengisytiharkan dirinya sebahagian daripada Paksi Penentangan yang turut merangkumi Iran, Hezbollah di Lebanon dan beberapa kumpulan bersenjata lain.
Namun, walaupun mempunyai hubungan rapat dengan Teheran, Houthi tetap mempunyai kepentingan politik dan matlamat tersendiri di Yaman.
Mengapakah Arab Saudi jadi sasaran?
Permusuhan antara Houthi dengan Arab Saudi berpunca daripada campur tangan ketenteraan Riyadh dalam perang saudara Yaman sejak 2015.
Arab Saudi bimbang penguasaan Houthi akan menjadikan Yaman pangkalan kumpulan bersenjata yang mempunyai hubungan rapat dengan Iran, pesaing serantaunya.
Sebaliknya, Houthi menuduh Arab Saudi mencampuri urusan dalaman Yaman, menyekat pelabuhan dan melancarkan serangan udara yang menyebabkan kemusnahan besar.
Gencatan senjata yang diusahakan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 2022 berjaya mengurangkan pertempuran besar.
Namun, ketegangan kembali meningkat pada Julai 2026 apabila Houthi mengumumkan sekatan maritim terhadap Arab Saudi dan melancarkan serangan terhadap kemudahan tenaga serta lapangan terbang negara itu.
Pertempuran semakin sengit selepas Houthi menawan kawasan strategik di pantai Laut Merah pada September, sebelum pasukan pemerintah Yaman yang disokong Arab Saudi melancarkan serangan balas.
Sejauh manakah kekuatan ketenteraan Houthi?
Walaupun bukan tentera sebuah negara yang diiktiraf, Houthi memiliki keupayaan ketenteraan yang semakin canggih.
Pakar PBB menganggarkan kumpulan itu telah merekrut sehingga 350,000 anggota menjelang 2024, selain memiliki peluru berpandu balistik, peluru berpandu jelajah dan dron serangan.
Sebahagian senjatanya mampu mencapai sasaran sejauh kira-kira 2,000 kilometer, termasuk wilayah Israel.
Houthi juga menggunakan serangan serentak melibatkan peluru berpandu dan dron dengan kelajuan berbeza bagi menyukarkan sistem pertahanan udara mengesan serta memintas ancaman.
Keupayaan itu menjadi cabaran besar kepada Arab Saudi walaupun negara itu memiliki sistem pertahanan moden yang dibeli dengan perbelanjaan berbilion dolar.
Kawasan pergunungan Yaman yang sukar ditembusi turut membolehkan Houthi menyembunyikan senjata dan mempertahankan kedudukannya daripada serangan udara.
Apakah hubungan Houthi dengan Iran?
Iran dianggap penyokong utama Houthi, tetapi hubungan kedua-duanya lebih rumit daripada sekadar hubungan antara pemberi arahan dengan kumpulan yang menerima arahan.
Amerika Syarikat dan Arab Saudi menuduh Teheran membekalkan senjata, teknologi peluru berpandu, latihan serta bantuan kewangan kepada Houthi.
Laporan pakar PBB pada 2024 turut menyatakan bantuan daripada Pengawal Revolusi Iran, Hezbollah dan pakar ketenteraan Iraq telah meningkatkan kemampuan kumpulan itu.
Bagaimanapun, Iran menafikan membekalkan senjata, manakala Houthi menolak dakwaan mereka bertindak sebagai proksi Teheran.
Kumpulan itu juga tidak mengiktiraf pemimpin tertinggi Iran sebagai pihak berkuasa agama tertinggi mereka, berbeza daripada beberapa kumpulan bersenjata Syiah lain.
Mengapakah Houthi ancam ekonomi dunia?
Kedudukan Yaman berhampiran Selat Bab al-Mandab memberikan Houthi pengaruh strategik terhadap perdagangan antarabangsa.
Selat itu menghubungkan Laut Merah dengan Teluk Aden dan menjadi laluan penting kapal dagang serta kapal tangki minyak antara Asia dengan Eropah.
Dalam keadaan biasa, sekitar 10 hingga 12 peratus perdagangan maritim dunia melalui laluan tersebut.
Sejak perang Gaza bermula pada Oktober 2023, Houthi menyerang kapal perdagangan di Laut Merah dengan alasan menyokong perjuangan rakyat Palestin.
Serangan itu memaksa banyak kapal menggunakan laluan lebih jauh mengelilingi Afrika, sekali gus meningkatkan kos pengangkutan dan insurans.
Ancaman semakin serius apabila peperangan antara Amerika, Israel dan Iran pada 2026 menjejas perkapalan melalui Selat Hormuz, menyebabkan Arab Saudi lebih bergantung pada pelabuhan Laut Merah untuk mengeksport minyak.
Walaupun pasukan pemerintah Yaman dilaporkan merampas semula Pulau Perim dan kawasan berhampiran Bab al-Mandab pada Oktober, keselamatan laluan itu masih terancam.
Apakah perkembangan seterusnya?
Konflik terus meningkat apabila serangan Houthi terhadap Riyadh pada 10 Oktober mengorbankan 13 orang dan mencederakan lebih 300 yang lain.
Seorang lagi terbunuh dalam serangan terhadap lapangan terbang sama pada 11 Oktober, lapor agensi berita, Reuters.
Pada 13 Oktober, kemudahan Saudi Aramco di Dhahran turut menjadi sasaran serangan yang menyebabkan kebakaran terhad, sementara gabungan tentera pimpinan Arab Saudi melancarkan serangan udara terhadap kedudukan Houthi di Sanaa.
Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, pula menuduh Houthi cuba meningkatkan harga minyak dunia melalui serangan terhadap prasarana tenaga dan laluan perdagangan.
Namun, cabaran terbesar bukan sekadar mematahkan serangan Houthi, tetapi mencari penyelesaian politik terhadap perang saudara Yaman yang berlarutan lebih sedekad.
Selagi kumpulan itu menguasai kawasan utama Yaman, memiliki persenjataan jarak jauh dan mampu mengancam laluan perdagangan antarabangsa, Houthi akan terus menjadi faktor penting dalam menentukan kestabilan Timur Tengah.
Bagi Arab Saudi, persoalannya kini bukan hanya bagaimana menghentikan serangan Houthi, tetapi bagaimana mengelakkan peperangan baharu yang boleh menggugat keselamatan negara dan ekonomi dunia.
Mengapakah Houthi serang lapangan terbang Arab Saudi?
Serangan terhadap lapangan terbang awam menjadi antara perkembangan paling membimbangkan dalam konflik terbaharu.
Ini kerana ia menunjukkan perubahan tumpuan Houthi daripada medan perang tradisional kepada sasaran yang mempunyai kesan langsung terhadap kegiatan ekonomi dan kehidupan orang awam.
Sejak awal Oktober, beberapa lapangan terbang utama Arab Saudi menjadi sasaran serangan peluru berpandu dan dron.
Antaranya Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Khalid di Riyadh, Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Fahd di Dammam, Lapangan Terbang Antarabangsa Abha, Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdullah bin Abdulaziz di Jazan dan Lapangan Terbang Najran.
Serangan terhadap lapangan terbang berbeza daripada serangan terhadap pangkalan tentera kerana kesannya dapat dirasai secara langsung oleh penumpang, syarikat penerbangan, pelancong dan pelabur.
Lapangan terbang merupakan prasarana penting yang menghubungkan sesebuah negara dengan dunia luar.
Sebarang serangan terhadap kemudahan tersebut boleh menyebabkan penggantungan penerbangan, pembatalan perjalanan, peningkatan kos keselamatan dan kemerosotan keyakinan terhadap keselamatan sesebuah negara.
Dalam kes Arab Saudi, kesannya lebih besar kerana negara itu sedang berusaha memperkukuh kedudukannya sebagai pusat perdagangan, pelancongan, pelaburan dan penganjuran acara antarabangsa.
Riyadh juga merupakan pusat pentadbiran, kewangan dan perniagaan utama negara tersebut.
Oleh itu, serangan terhadap lapangan terbang ibu kota membawa mesej politik yang jelas bahawa Houthi mampu mengancam kepentingan Arab Saudi walaupun sasaran terletak jauh dari sempadan Yaman.
Penganalisis konflik dan penasihat Institut Keamanan Eropah, Encik Hisham al-Omeisy, berpendapat serangan terhadap lapangan terbang memberikan Houthi perhatian besar dan meningkatkan tekanan terhadap Riyadh.
Beliau menjangkakan kumpulan itu mungkin meneruskan serangan terhadap kemudahan penerbangan, saluran paip minyak dan prasarana tenaga bagi mendapatkan lebih banyak konsesi daripada Arab Saudi.
Menurut beliau, Houthi tidak semestinya akan menghentikan serangan hanya kerana sasaran tersebut merupakan kemudahan awam.
Pandangan itu mencerminkan kebimbangan bahawa kumpulan tersebut sanggup meningkatkan risiko konflik bagi mencapai matlamat politik dan ketenteraannya.
Namun, serangan terhadap lapangan terbang awam turut menimbulkan persoalan serius mengenai perlindungan orang awam di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
Kemudahan awam tidak boleh dijadikan sasaran serangan secara sengaja melainkan memenuhi syarat ketat yang menjadikannya matlamat ketenteraan yang sah.
Walaupun begitu, pihak yang menyerang tetap wajib mengambil langkah berjaga-jaga untuk melindungi orang awam.
Mesej Houthi
Sementara itu penganalisis keselamatan daripada Universiti Ottawa, Profesor Thomas Juneau, berkata Houthi mahu ‘mengubah peraturan’ dalam konflik Asia Barat berkenaan.
Beliau berkata, tatkala pesawat perang Arab Saudi menyerang lapangan terbang di Sanaa yang berada bawah kawalan Houthi, kumpulan itu mahu “melakukan perkara sama terhadap Arab Saudi seperti yang dilakukan Riyadh terhadap mereka”.
Bala tentera Houthi yang turut dikenali sebagai Ansar Allah, mempunyai puluhan ribu anggota yang terlatih, cekal dan berpengalaman dalam pertempuran sengit di kawasan pergunungan Yaman yang mencabar.
Peluru berpandu dan dron mereka telah bertahun-tahun memberi ancaman kepada negara-negara jiran di Teluk yang kaya dengan minyak, malah berjaya menjangkau hingga ke Israel, baru-baru ini.
Dr Juneau berkata, dengan menyasarkan prasarana penting Arab Saudi, Houthi mahu menyampaikan mesej bahawa “harga untuk mencapai keamanan akan terus meningkat” – merujuk kepada harapan untuk menyelesaikan perang Yaman pada akhirnya. – Agensi berita.