KAHIRAH: Kemenangan Dr Abdul El-Sayed, sebagai senator Islam pertama Amerika Syarikat bukan sahaja mencetuskan kegembiraan dalam kalangan masyarakat Arab dan Islam di negara itu, malah turut disambut dengan rasa bangga, jenaka dan perdebatan politik dari Detroit hingga ke Kahirah.

Di media sosial, rakyat Mesir berkongsi rakaman ucapan kemenangan beliau, lagu popular Arab dan video tarian sebagai tanda meraikan kejayaan seorang ahli politik berketurunan Mesir yang berjaya menembusi salah sebuah institusi politik paling berpengaruh di Washington.

Ungkapan ringkas beliau, “JD, habibi”, yang ditujukan kepada Naib Presiden Amerika, Encik JD Vance, turut menjadi sebutan ramai.

Namun, di sebalik sambutan meriah itu, kemenangan Dr El-Sayed, 42 tahun, turut memperlihatkan percanggahan menarik antara kebanggaan masyarakat Mesir dengan sikap lebih berhati-hati pemerintah negara tersebut.

Ketika ramai rakyat Mesir menganggap kejayaannya sebagai satu pencapaian membanggakan, media yang rapat dengan pemerintah Kahirah tidak memberikan perhatian besar kepada kemenangan itu.

Puncanya bukan kerana Dr El-Sayed kurang dikenali atau kejayaannya tidak penting.

Sebaliknya, beliau pernah mengkritik keras sistem pemerintahan Mesir, termasuk menyifatkannya sebagai pemerintahan diktator tentera yang mendapat sokongan kewangan daripada Amerika.

Keadaan itu menimbulkan persoalan lebih besar: Adakah kemenangan seorang ahli politik Amerika berketurunan Mesir harus dianggap sebagai kejayaan negara asal keluarganya, sedangkan pendirian politik beliau mungkin bertentangan dengan kepentingan pemerintah Kahirah?

Pada masa yang sama, kemenangan Dr El-Sayed turut membawa makna lebih luas kepada masyarakat Arab dan Islam yang selama ini berdepan prejudis, khususnya selepas serangan pengganas 11 September 2001.

Ia memperlihatkan bahawa calon yang secara terbuka mempertahankan identiti Islam, menyokong perjuangan Palestin dan mengkritik dasar luar Washington masih mampu memenangi pilihan raya penting di Amerika.

Kebanggaan rakyat Mesir

Dr El-Sayed, daripada Parti Demokrat, menewaskan calon Republikan, Encik Mike Rogers, dalam pilihan raya pertengahan penggal Amerika pada 3 November lalu.

Kemenangannya menjadikan beliau individu Islam pertama dipilih menganggotai Dewan Senat Amerika, sekali gus mencatat sejarah baharu dalam politik negara itu.

Walaupun dilahir dan dibesarkan di Michigan, Dr El-Sayed mempunyai hubungan rapat dengan warisan Mesir melalui keluarganya.

Identiti tersebut menjadi antara sebab kejayaannya mendapat perhatian luar biasa di Mesir.

Menurut agensi berita, Reuters, pengacara televisyen terkenal Mesir, Encik Amr Adib, merupakan antara tokoh yang menyambut kemenangan itu dengan penuh kekaguman.

Beliau memuji sistem politik Amerika yang membolehkan seorang rakyat berketurunan Mesir dan beragama Islam dipilih sebagai senator, meskipun mendapat tentangan daripada Presiden Donald Trump.

Dalam hantaran di platform X, beliau sengaja menggunakan nama penuh Dr El-Sayed iaitu Abdulrahman Mohamed El-Sayed, bagi menonjolkan identiti Arab dan Islamnya.

Encik Adib turut menarik perhatian kepada bunyi sorakan tradisional wanita Arab, dikenali sebagai ‘zaghrouta’, yang kedengaran ketika Dr El-Sayed menyampaikan ucapan kemenangan.

Sorakan bernada tinggi itu lazimnya digunakan dalam majlis perkahwinan, perayaan dan acara menggembirakan masyarakat Arab.

Seorang lagi pengacara televisyen Mesir, Cik Yasmine El-Khateib, turut memuji kejayaan tersebut.

Beliau melihatnya sebagai bukti bahawa sistem demokrasi Amerika, walaupun mempunyai pelbagai kelemahan, masih memberikan peluang kepada rakyat memilih pemimpin tanpa mengira agama atau keturunan.

Malah, Encik Alaa Mubarak, anak mantan Presiden Mesir, Encik Hosni Mubarak, turut berkongsi rakaman ucapan kemenangan Dr El-Sayed.

Reaksi daripada tokoh yang mempunyai latar belakang politik berbeza itu memperlihatkan bagaimana kejayaan Dr El-Sayed mampu membangkitkan rasa bangga terhadap identiti Mesir, walaupun beliau sendiri merupakan ahli politik Amerika.

‘JD, habibi’ jadi sebutan

Antara detik paling menarik perhatian dunia Arab ialah ucapan kemenangan Dr El-Sayed yang mengandungi ungkapan Arab, “JD, habibi”.

Perkataan ‘habibi’ bermaksud sayang atau orang yang disayangi, tetapi turut digunakan secara bersahaja untuk memanggil rakan atau seseorang yang dikenali.

Dalam konteks ucapan tersebut, Dr El-Sayed menggunakannya sebagai sindiran terhadap Encik Vance, yang sebelum itu mengkritik beliau sepanjang kempen pilihan raya.

Dr El-Sayed mengingatkan Naib Presiden Amerika itu bahawa beliau akhirnya perlu menyempurnakan upacara angkat sumpahnya sebagai senator pada Januari 2027.

Sindiran tersebut menjadi lebih menarik kerana disampaikan menggunakan perkataan Arab yang begitu dekat dengan kehidupan masyarakat Timur Tengah.

Ada yang berkongsi video penyanyi Mesir, Sherine Abdel Wahab, menari sambil berseloroh bahawa lagunya mungkin menjadi lagu kebangsaan Amerika yang baharu.

Rakaman penyanyi Lebanon, Haifa Wehbe, turut digunakan untuk menggambarkan kegembiraan terhadap kemenangan Dr El-Sayed.

Seorang ahli akademik Mesir, Dr Khalil al-Anani, memuji penggunaan ungkapan ‘habibi’ dan berterima kasih kepada Dr El-Sayed kerana membawa kegembiraan kepada rakyat Mesir.

Namun, makna ungkapan itu jauh lebih besar daripada sekadar jenaka politik.

Dalam suasana politik Amerika yang sering menyaksikan identiti Arab dan Islam dijadikan bahan serangan, Dr El-Sayed, memilih untuk menonjolkan warisan budayanya secara terbuka.

Beliau turut menggunakan ungkapan Islam seperti insya-Allah dan alhamdulillah dalam ucapan kemenangan.

Bagi sebahagian masyarakat Arab, tindakan itu mencerminkan keyakinan seorang ahli politik yang tidak perlu menyembunyikan identiti agama atau keturunannya untuk diterima pengundi Amerika.

Pemerintah Mesir kurang ghairah

Bagaimanapun, kegembiraan masyarakat Mesir tidak semestinya dikongsi oleh pemerintah negara itu.

Reuters melaporkan bahawa media pemerintah Mesir memberikan perhatian agak terhad kepada kemenangan Dr El-Sayed, berbeza daripada sambutan besar yang pernah diberikan kepada kejayaan tokoh Amerika berketurunan Mesir.

Sebagai contoh, kemenangan pelakon Hollywood berketurunan Mesir, Rami Malek, dalam Anugerah Oscar sebelum ini mendapat liputan meluas.

Namun, Dr El-Sayed membawa cabaran politik yang berbeza.

Beliau bukan sekadar tokoh terkenal yang mempunyai pertalian keluarga dengan Mesir, malah, ahli politik yang pernah mengkritik pemerintah Kahirah secara terbuka.

Kritikan tersebut menyentuh hubungan keselamatan dan ketenteraan yang sudah lama menjadi asas kerjasama Washington dengan Kahirah.

Mesir merupakan antara penerima utama bantuan ketenteraan Amerika dan mempunyai kepentingan strategik besar kepada Washington, khususnya dalam soal keselamatan Israel, Gaza dan kestabilan Timur Tengah.

Justeru, kejayaan Dr El-Sayed menimbulkan keadaan yang agak rumit bagi pemerintah Mesir.

Di satu pihak, beliau boleh dianggap sebagai lambang kejayaan masyarakat keturunan Mesir di luar negara.

Namun, di pihak lain, pandangan politiknya mungkin tidak seiring dengan kepentingan pemerintah Presiden Abdel Fattah al-Sisi.

Pengulas yang menyokong pemerintah Mesir, Encik Loay El-Khateeb, turut mempersoalkan kecenderungan sesetengah rakyat Mesir menganggap kemenangan Dr El-Sayed sebagai kejayaan negara mereka.

Menurut beliau, asal usul Mesir Dr El-Sayed merupakan sebahagian daripada latar belakang peribadinya, tetapi tidak bermakna beliau akan memperjuangkan kepentingan Kahirah.

Pandangan tersebut memperlihatkan perbezaan antara kebanggaan terhadap kejayaan seseorang yang mempunyai pertalian keturunan dengan sesebuah negara dan sokongan terhadap pendirian politik individu berkenaan.

Bukan musuh, bukan sahabat

Penganalisis politik Mesir turut mengingatkan bahawa kemenangan Dr El-Sayed, tidak semestinya membawa perubahan besar kepada hubungan Kahirah dengan Washington.

Presiden Yayasan Arab untuk Pembangunan dan Pengajian Strategik, Encik Samir Ragheb, dalam wawancara yang dilaporkan agensi berita Amerika, The Media Line, berkata identiti Mesir dan Islam Dr El-Sayed, serta pendiriannya yang menentang campur tangan ketenteraan Amerika menjadikan beliau mendapat simpati di dunia Arab.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa pandangan Dr El-Sayed terhadap pemerintah Mesir perlu dinilai secara berasingan.

“Kami tidak menganggap beliau sebagai musuh mahupun sahabat,” ujar Encik Ragheb.

Kenyataan itu menggambarkan sikap berhati-hati sebahagian pemerhati politik Mesir terhadap seorang senator Amerika yang mempunyai hubungan keturunan dengan negara tersebut.

Menurut Encik Ragheb, kedudukan strategik Mesir dalam hubungan dengan Amerika tidak akan berubah hanya kerana kemenangan seorang senator.

Mesir tetap memainkan peranan penting dalam keselamatan serantau, termasuk melalui Terusan Suez, sempadannya dengan Gaza dan pengurusan lintasan Rafah.

Hubungan ketenteraan serta diplomatik antara kedua-dua negara juga dibentuk oleh kepentingan keselamatan yang jauh lebih besar daripada pandangan seorang ahli politik.

Namun, Dr El-Sayed berpotensi menambahkan tekanan terhadap dasar Washington yang selama ini memberikan sokongan besar kepada pemerintah Mesir, khususnya jika beliau terus membangkitkan isu demokrasi, hak asasi manusia dan bantuan ketenteraan.

Kemenangan terhadap Islamofobia

Di luar Mesir, kemenangan Dr El-Sayed turut membawa makna penting kepada masyarakat Arab dan Islam yang selama ini berdepan prejudis dalam politik Amerika.

Sepanjang kempen, beliau menjadi sasaran serangan berunsur Islamofobia, termasuk kenyataan Encik Trump yang mengaitkannya dengan fahaman ekstremisme dan serangan 11 September 2001.

Encik Trump turut mempersendakan nama beliau.

Namun, Dr El-Sayed tidak memilih untuk menjauhkan dirinya daripada identiti Islam bagi mengelakkan serangan tersebut.

Sebaliknya, beliau menjadikan latar belakang agama dan keturunannya sebahagian daripada identiti politik yang dibawa kepada pengundi.

Dalam ucapan kemenangan, beliau menyindir Encik Trump dengan menyatakan bahawa selepas mengangkat sumpah, Encik Trump boleh memanggilnya senator.

Kemenangan tersebut menunjukkan serangan terhadap agama dan keturunan seseorang calon tidak semestinya berkesan untuk menghalang kejayaannya.

Bagaimanapun, keputusan itu juga tidak boleh ditafsirkan sebagai bukti bahawa Islamofobia sudah berakhir dalam politik Amerika.

Sebaliknya, ia menunjukkan bahawa pengundi boleh memberikan keutamaan kepada isu seperti kos sara hidup, penjagaan kesihatan dan pekerjaan, walaupun seseorang calon berdepan serangan terhadap identiti peribadinya.

Bagi masyarakat Arab Amerika, khususnya di Michigan yang mempunyai masyarakat Arab dan Islam yang besar, kejayaan Dr El-Sayed memperlihatkan peningkatan pengaruh politik kelompok tersebut.

Harapan baharu bagi Palestin

Kemenangan Dr El-Sayed turut mempunyai kepentingan kepada perbahasan mengenai Palestin dan hubungan Amerika dengan Israel.

Beliau merupakan antara ahli politik Demokrat yang secara terbuka mengkritik dasar Washington terhadap Israel dan menyuarakan sokongan kepada hak rakyat Palestin.

Pendirian tersebut menjadikannya berbeza daripada sebahagian ahli politik arus perdana Amerika yang selama ini memberikan sokongan kuat kepada Israel.

Kehadiran Dr El-Sayed dalam Senat berpotensi mengukuhkan suara yang menuntut Washington menilai semula bantuan ketenteraan kepada Israel, dasar terhadap Gaza dan pendekatan diplomatik kepada konflik Israel-Palestin.

Namun, harapan tersebut perlu dinilai secara realistik.

Seorang senator tidak mempunyai kuasa untuk mengubah dasar luar Amerika secara bersendirian.

Sebarang perubahan besar memerlukan sokongan anggota Kongres lain, selain bergantung kepada pendirian Rumah Putih.

Tambahan pula, hubungan strategik Amerika dengan Israel mempunyai sokongan politik dan institusi yang sudah lama terbentuk.

Oleh itu, kemenangan Dr El-Sayed lebih tepat dilihat sebagai perkembangan yang boleh mengubah perbahasan politik di Washington, bukan jaminan perubahan segera terhadap dasar Amerika di Timur Tengah.

Di samping itu, ia turut memberikan isyarat bahawa sokongan terhadap hak rakyat Palestin tidak semestinya menjadi penghalang kepada kejayaan seseorang calon dalam pilihan raya Amerika.

Dunia Arab melihat perubahan politik Amerika.

Bagi pemerintah negara Arab, kemenangan Dr El-Sayed berlaku ketika hubungan dengan Washington sedang melalui perubahan besar akibat konflik di Timur Tengah.

Perang melibatkan Iran, keselamatan negara Teluk, masa depan Gaza dan hubungan Amerika dengan Israel terus menjadi antara pertimbangan utama pemimpin serantau.

Dalam keadaan tersebut, kemenangan Demokrat dalam pilihan raya pertengahan penggal boleh memberikan ruang kepada Kongres untuk meningkatkan pengawasan terhadap dasar luar pentadbiran Encik Trump.

Namun, negara seperti Arab Saudi, Mesir, Bahrain dan Amiriah Arab Bersatu (UAE) tidak mungkin mengubah hubungan strategik mereka dengan Washington hanya kerana kemenangan seorang senator.

Kepentingan keselamatan, perdagangan, bekalan tenaga dan kerjasama pertahanan tetap menjadi keutamaan.

Kemenangan Dr El-Sayed bagaimanapun mencerminkan perubahan yang lebih luas dalam politik Amerika, apabila suara masyarakat Arab dan Islam semakin mendapat tempat dalam perbahasan nasional.

Ia turut menunjukkan bahawa identiti agama, asal usul pendatang dan pendirian terhadap Palestin semakin menjadi sebahagian daripada persaingan politik arus perdana Amerika.

Bagi masyarakat Arab, kejayaan tersebut membawa mesej bahawa anak keturunan mereka mampu mencapai kedudukan tinggi dalam sistem politik negara yang sering dikritik kerana dasar luarnya terhadap Timur Tengah.

Tetapi bagi pemerintah serantau, perkara lebih penting bukanlah asal usul Dr El-Sayed, sebaliknya pendirian dan tindakan beliau apabila mula menjalankan tugas sebagai senator.

Akhirnya, kemenangan Dr El-Sayed memperlihatkan dua wajah berbeza hubungan dunia Arab dengan Amerika.

Bagi rakyat biasa, ia menjadi lambang kebanggaan, peluang dan kejayaan mengatasi prejudis.

Bagi pemerintah pula, ia menimbulkan persoalan tentang kemunculan seorang ahli politik Amerika berketurunan Arab yang mungkin lebih lantang mempersoalkan dasar Washington dan sekutunya di Timur Tengah.

Seperti yang ditegaskan Encik Ragheb mengenai kedudukan Dr El-Sayed dalam hubungan dengan Mesir:

“Kami tidak menganggap beliau sebagai musuh mahupun sahabat.”

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti