Timur Tengah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mesir cuba keluar daripada bayangan Israel

Presiden Sisi gesa bentuk mekanisme keselamatan Arab-Islam yang mampu bertindak balas pantas jika mana-mana negara Arab diserang
Oct 13, 2025 | 5:30 AM
Sebuah bot melalui lukisan Presiden Mesir, Encik Abdel Fattah el-Sisi, di Terusan Suez, Ismailia, Mesir, pada 31 Julai 2025.
Sebuah bot melalui lukisan Presiden Mesir, Encik Abdel Fattah el-Sisi, di Terusan Suez, Ismailia, Mesir, pada 31 Julai 2025. - Foto REUTERS

KAHIRAH: Mesir di bawah Presiden Abdel Fattah el-Sisi kini menunjukkan isyarat ia mahu memainkan peranan lebih berani dalam krisis Gaza dan menjarakkan diri daripada bayang-bayang Israel.

Namun, di sebalik kenyataan tegas dan gerakan geopolitik, terdapat kekangan mendalam daripada kebergantungan ekonomi terhadap Amerika Syarikat hingga hubungan tenaga dengan Israel yang boleh mengehadkan keberanian langkah itu.

Pada Sidang Kemuncak Tergempar Arab-Islam di Qatar, pada 15 September, Encik Sisi mengejutkan dunia Arab apabila menyifatkan Israel sebagai “musuh”.

Ia adalah kali pertama beliau menggunakan istilah itu sejak mengambil alih kuasa pada 2014 dan yang pertama oleh mana-mana pemimpin Mesir dalam hampir setengah abad sejak mantan Presiden Mesir, Encik Anwar Sadat, menandatangani perjanjian damai dengan Israel pada 1979.

Beliau turut memberi amaran keras kepada Israel berhubung peluang perjanjian damai baru.

“Apa yang sedang berlaku kini menghakis peluang perjanjian keamanan, malah boleh menggagalkan perjanjian damai sedia ada,” katanya merujuk secara tidak langsung kepada Perjanjian Damai Mesir-Israel.

Encik Sisi turut menggesa pembentukan mekanisme keselamatan Arab-Islam yang mampu bertindak balas pantas jika mana-mana negara Arab diserang.

“Geografi negara Arab meliputi dari Lautan Atlantik hingga ke Teluk, dan payung ini cukup luas untuk semua negara Islam dan pencinta keamanan,” katanya, menegaskan keperluan perpaduan baru di rantau Timur Tengah.

Ketegangan di Sinai: Isyarat Perubahan Dasar

Perubahan paling ketara adalah peningkatan ketenteraan Mesir di Semenanjung Sinai.

Menurut sumber Israel, Mesir kini menempatkan kira-kira 40,000 askar hampir dua kali ganda had yang ditetapkan perjanjian Camp David 1979.

Bersama pasukan itu ialah kereta kebal M60, sistem pertahanan udara buatan China, dan landasan yang diperluas untuk jet pejuang.

Tel Aviv melihat langkah itu dengan kebimbangan strategik.

“Apa yang dilakukan Mesir di Sinai sangat serius dan membimbangkan kami,” kata seorang pegawai Israel kepada media tempatan.

Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, dilaporkan meminta Amerika sebagai penjamin perjanjian Camp David menekan Kahirah supaya mengurangkan kehadiran tentera.

Mesir menolak tuduhan itu.

Kenyataan rasmi Perkhidmatan Maklumat Negara (SIS) menegaskan kehadiran tentera di Sinai adalah untuk “melindungi keselamatan negara, mencegah penyeludupan dan serangan pengganas”.

Namun, penganalisis menyifatkan ia sebagai mesej jelas bahawa Kahirah tidak akan membenarkan penghijrahan besar-besaran penduduk Palestin dari Gaza ke Sinai, sesuatu yang disifatkan Encik Sisi sebagai “garisan merah”.

Seorang pegawai keselamatan Mesir yang enggan dikenali berkata:

“Kami tidak akan benarkan Gaza dihapuskan dan rakyatnya diusir ke tanah kami. Itu ancaman terhadap keselamatan dan kedaulatan Mesir.”

Hubungan Rantau Baru: Iran dan Turkey Dekat Kembali

Dalam masa yang sama, Mesir sedang membuka lembaran baru dengan negara yang dahulu dianggap musuh.

Hubungan diplomatik dengan Iran yang terputus sejak 1979 kini mula dipulihkan.

Menteri Luar Iran, Encik Abbas Araghchi, menyatakan selepas lawatan ke Kahirah pada Jun 2025, tahap kepercayaan antara kedua-dua negara “tidak pernah berlaku sebelum ini”.

Menteri Luar Mesir, Encik Badr Abdelatty, mengakui ada “keinginan bersama membina hubungan berdasarkan keprihatinan dan perspektif kedua pihak”.

Begitu juga dengan Turkey. Selepas 12 tahun tegang sejak kejatuhan Presiden Mohammed Morsi, Ankara dan Kahirah kini memulihkan hubungan sepenuhnya.

Presiden Turkey, Encik Recep Tayyip Erdogan, dan Encik Sisi saling berkunjung, dan latihan ketenteraan bersama laut pertama dalam 13 tahun berlangsung baru-baru ini.

Menteri Luar Turkey, Encik Hakan Fidan, menyebut hubungan dua negara kini pada “tahap terbaik dalam sejarah moden”.

Langkah itu memberi isyarat Mesir ingin kembali menjadi kuasa Arab yang disegani.

Namun, keupayaan untuk benar-benar memimpin rantau masih dipersoalkan.

Realiti Ekonomi dan Tekanan Washington

Di sebalik retorik tegas, Mesir masih bergantung kuat pada bantuan ekonomi dan ketenteraan Amerika yang mencecah AS$1.3 bilion ($1.69 bilion) setahun.

“Pemerintah Mesir tidak popular, ekonominya rapuh, dan tidak mampu menentang kehendak Washington secara terbuka,” kata Penyelidik Kanan, Institut Quincy di Amerika, Dr Annelle Sheline.

Apatah lagi Mesir kini bergantung pada bekalan gas asli Israel untuk menampung keperluan tenaga dalam negara selepas pengeluaran gas asli cair (LNG) sendiri merosot.

Pada Ogos lalu, perjanjian tenaga bernilai AS$35 bilion dimeterai untuk meningkatkan bekalan gas Israel ke Mesir.

Encik Netanyahu dilaporkan pernah mengugut menggantung bekalan sebagai tindak balas terhadap penempatan tentera Mesir di Sinai.

“Kahirah bergerak kerana keperluan dalaman yang tidak boleh dirunding memastikan lampu tidak padam,” tulis penganalisis tenaga, Encik Elfadil Ibrihim.

Walaupun Encik Sisi lantang di luar negara, kebebasan rakyat Mesir untuk menyuarakan sokongan terhadap Gaza amat terhad.

Sejak Oktober 2023, bantahan pro-Palestin ditekan, aktivis yang cuba menyertai flotila bantuan ke Gaza menerima ugutan keselamatan, malah beberapa orang dilaporkan hilang secara misteri.

Ini menunjukkan keinginan pemerintah memelihara kestabilan dalam negara mendahului semangat perpaduan terbuka.

Setelah hampir setengah abad, “perdamaian dingin” Mesir-Israel kini berada di ambang goyah.

Dahulu, Sinai berperanan sebagai benteng penampan, namun kini ia berubah menjadi garis hadapan ketegangan.

Kebuntuan isu pelarian Palestin, serangan ke atas Gaza, dan tekanan ekonomi semakin mempercepat hakisan kepercayaan antara kedua-dua negara.

Namun, penganalisis mengingatkan agar tidak menilai terlalu jauh.

“Mesir mungkin lantang secara simbolik tetapi sukar bertindak melampaui batas kerana kebergantungan pada Amerika dan kerumitan politik rantau ini,” kata Profesor Stephen Zunes dari Universiti San Francisco.

Dalam erti kata lain, Mesir mungkin berani bersuara tetapi dibatasi oleh realiti geopolitik dan ekonomi.

Masa depan hubungan Kahirah-Tel Aviv akan bergantung kepada cara Washington bertindak, sejauh mana Israel menguruskan perang Gaza, dan keupayaan Encik Sisi menyeimbangkan tekanan dalaman dengan aspirasi serantau.

Seperti yang ditegaskan seorang pegawai kanan Mesir, yang berkata: “Kami tidak mahu perang, tetapi kami juga tidak akan berdiam diri jika keselamatan dan maruah negara terancam.”

Itulah dilema Mesir hari ini – antara keinginan keluar daripada bayang-bayang Israel dan batasan yang membelenggu kebebasan strategiknya.

Dunia Arab menunggu untuk melihat sejauh manakah Presiden Sisi mampu menterjemahkan retorik kepada tindakan nyata. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg