MOKHA (Yaman): Berabad-abad sebelum menjadi medan perebutan dalam perang Yaman, Mokha sudah memahami nilai strategik geografi.

Pelabuhan di pantai Laut Merah itu pernah menjadi antara pusat perdagangan paling penting di dunia, terutama antara abad ke-16 dengan abad ke-18.

Ketika itu, sebahagian besar kopi yang memasuki pasaran antarabangsa melalui kota tersebut.

Kini, selepas kumpulan Houthi menawan Mokha, kepentingannya kembali menjadi perhatian.

Bezanya, komoditi utama yang menentukan nilainya bukan lagi kopi.

Sebaliknya, kedudukan Mokha berhampiran Selat Bab el-Mandab menjadikannya penting dalam persaingan menguasai salah satu laluan perdagangan dan tenaga utama dunia.

Itulah faktor utama yang menjelaskan mengapa sebuah bandar pelabuhan yang pernah kehilangan sebahagian besar kepentingan ekonominya kembali menjadi aset ketenteraan dan geopolitik.

Mokha terletak kira-kira 80 kilometer di utara Bab el-Mandab, selat sempit yang menghubungkan Laut Merah dengan Teluk Aden dan seterusnya Lautan Hindi.

Kapal yang bergerak antara Asia dengan Eropah melalui Terusan Suez perlu melalui kawasan itu.

Profesor sejarah Timur Tengah di Universiti Yale, Profesor Alan Mikhail, merumuskan kepentingan Mokha dengan ringkas: “Geografi penting.”

Dalam kajian geopolitik, kedudukan sesebuah wilayah sering menentukan nilainya melebihi kekuatan ekonomi tempatan.

Mokha adalah contoh klasik bagaimana lokasi yang strategik boleh mengekalkan kepentingan sebuah bandar merentasi beberapa abad, walaupun fungsi ekonominya berubah.

Daripada kampung nelayan kepada pusat kopi

Kebangkitan Mokha bermula selepas Empayar Uthmaniyah menguasai Yaman pada lewat 1530-an.

Daripada sebuah perkampungan nelayan kecil, Mokha berkembang menjadi pusat perdagangan kopi antarabangsa.

Yaman ketika itu mempunyai satu kelebihan penting.

Ia bukan sekadar antara tempat terawal masyarakat menjadikan kopi sebagai minuman, malah menjadi pusat pertama penanaman kopi secara besar-besaran untuk pasaran antarabangsa.

Menurut pengkaji, amalan meminum kopi mungkin berkembang dalam kalangan ahli sufi Arab yang menggunakannya untuk membantu mereka berjaga ketika beribadah pada waktu malam.

Menjelang pertengahan abad ke-16, kopi sudah menjadi minuman yang semakin meluas.

Empayar Uthmaniyah kemudian mengembangkan penanaman kopi secara komersial di kawasan tanah tinggi Yaman dan mengeksportnya ke wilayah lain.

Mokha menjadi pintu keluarnya.

Kedudukan bandar itu membolehkan pedagang menghubungkan pasaran Mediterranean melalui Laut Merah dengan India dan Asia melalui Lautan Hindi.

Pelabuhan itu menjadi tumpuan pedagang pelbagai bangsa dan agama untuk mengendalikan urus niaga tekstil, logam, rempah, serta pelbagai barangan lain.

Tetapi menjelang abad ke-17, nama Mokha semakin sinonim dengan kopi.

Syarikat perdagangan utama Eropah, termasuk Syarikat Hindia Timur Britain dan Belanda, membuka operasi di bandar itu.

Kopi yang dibeli di Yaman dan dihantar melalui pelabuhan tersebut kemudian dikenali sebagai ‘kopi Mokha’.

Warisan itu kekal sehingga hari ini menerusi penggunaan perkataan moka dalam budaya kopi moden.

Geografi sama, kepentingan berbeza

Dominasi Mokha mula berakhir apabila tanaman kopi tersebar ke kawasan lain.

Menjelang dekad 1720-an, peluasan ladang kopi di Caribbean dan Jawa, Indonesia, menamatkan monopoli Yaman sebagai pembekal utama dunia.

Kedudukan Mokha semakin merosot pada abad ke-19 selepas Britain menjadikan Aden sebagai pusat perdagangan utamanya di rantau itu.

Pelabuhan moden dibangunkan semula di Mokha pada 1950-an, tetapi bandar itu tidak pernah memperoleh kembali kedudukannya sebagai pusat perdagangan kopi dunia.

Ironinya, faktor yang membawa kemakmuran kepada Mokha beratus-ratus tahun lalu kini menjadikannya penting dalam perang.

Kawalan terhadap Mokha memberikan kelebihan strategik di pantai Laut Merah dan meningkatkan kemampuan sesuatu pihak mempengaruhi kawasan berhampiran Bab el-Mandab.

Bagi Houthi, yang disokong Iran, penguasaan wilayah sepanjang pantai Laut Merah mempunyai nilai yang jauh melangkaui perang saudara Yaman.

Ia memberi kumpulan itu kedudukan lebih kuat dalam persaingan serantau yang melibatkan Arab Saudi, Iran, Amerika Syarikat dan kuasa lain.

Serangan Houthi terhadap kapal dan kepentingan Saudi turut menunjukkan bagaimana konflik Yaman semakin berkait dengan keselamatan laluan perdagangan antarabangsa.

Secara strategik, sesiapa yang menguasai pesisir barat Yaman, bukan sahaja memperluas pengaruh wilayah, bahkan berupaya mengawal aliran perdagangan dan bekalan tenaga serantau sekali gus meningkatkan tekanan.

Bab el-Mandab gandakan nilai Mokha

Di sinilah nilai Mokha perlu dilihat dalam konteks lebih luas.

Bab el-Mandab adalah satu daripada beberapa laluan laut sempit yang mempunyai kesan tidak seimbang terhadap ekonomi dunia.

Gangguan di kawasan itu boleh memaksa kapal mengelilingi Tanjung Harapan di selatan Afrika, sekali gus memanjangkan perjalanan antara Asia dengan Eropah.

Ini bermakna konflik tempatan di Yaman berpotensi menghasilkan kesan antarabangsa melalui kenaikan kos pengangkutan, gangguan rantaian bekalan dan risiko terhadap penghantaran tenaga.

Bagi Arab Saudi, perkembangan itu amat membimbangkan.

Riyadh mempunyai kepentingan memastikan Laut Merah kekal sebagai laluan perdagangan dan tenaga yang selamat, terutama apabila laluan lain seperti Selat Hormuz turut terdedah kepada ketegangan dengan Iran.

Peluasan pengaruh Houthi di kawasan strategik Yaman secara langsung meningkatkan tekanan ke atas Arab Saudi, tanpa perlu bertempur secara konvensional dengan tenteranya.

Ia adalah bentuk kuasa berdasarkan geografi menguasai kawasan yang membolehkan tekanan dikenakan terhadap lawan pada kos lebih rendah.

Perang turut ancam kebangkitan kopi Yaman

Perebutan Mokha membawa satu lagi ironi sejarah.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, terdapat usaha menghidupkan semula industri kopi Yaman sebagai alternatif kepada tanaman khat, tumbuhan yang banyak ditanam dan digunakan dalam negara itu.

Khat merupakan sejenis daun perangsang yang lazim dikunyah untuk membuat seseorang berasa lebih berjaga dan bertenaga, dan banyak ditanam di negara itu.

Penanaman khat menggunakan bekalan air yang besar dan tidak menghasilkan pendapatan eksport seperti kopi.

Usahawan kopi Encik Mokhtar Alkhanshali, yang menghubungkan sekitar 6,000 petani Yaman dengan pemanggang kopi antarabangsa, berkata petani mula melihat kopi sebagai sumber pendapatan yang mampu memperbaiki kehidupan mereka.

Konflik terkini mengancam usaha tersebut.

Petani berdepan bahaya keselamatan, manakala gangguan di pelabuhan menyukarkan eksport.

Keadaan itu boleh mendorong sesetengah petani kembali kepada tanaman khat.

Perkembangan tersebut menunjukkan satu paradoks lebih besar dalam sejarah Mokha.

Pelabuhan yang pernah menghubungkan Yaman dengan ekonomi dunia melalui kopi kini berpotensi mengasingkan negara itu daripada perdagangan antarabangsa kerana perang.

Sejarah berulang dalam bentuk berbeza

Nilai strategik Mokha akhirnya tidak pernah benar-benar hilang.

Yang berubah hanyalah sumber kuasanya.

Pada abad ke-17, penguasaan Mokha bermakna menguasai pintu keluar salah satu komoditi paling bernilai ketika itu.

Pada abad ke-21, penguasaan Mokha bermakna mempunyai kedudukan berhampiran laluan laut yang menghubungkan Asia, Timur Tengah dan Eropah.

Sebab itu perebutan Mokha tidak boleh dilihat hanya sebagai satu lagi episod dalam perang saudara Yaman.

Ia sebahagian daripada persaingan lebih besar mengenai penguasaan Laut Merah, keselamatan Bab el-Mandab dan keseimbangan kuasa antara Houthi, Arab Saudi, Iran dengan Amerika.

Sejarah Mokha memperlihatkan satu prinsip geopolitik yang berkekalan – ekonomi boleh berubah, kerajaan boleh jatuh dan komoditi boleh kehilangan nilainya, tetapi geografi tidak bertukar.

Berabad-abad lalu, lokasi strategik Mokha membantunya menghantar kopi Yaman ke seluruh dunia.

Hari ini, lokasi yang sama menjadikannya rebutan dalam perang yang kesannya boleh dirasakan jauh melampaui sempadan Yaman. – Agensi berita.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti