Timur Tengah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Negara Teluk perkukuh pertahanan bersama selepas serangan Doha

Sep 29, 2025 | 5:30 AM
Gambar edaran yang dikeluarkan oleh Agensi Berita Saudi (SPA) ini menunjukkan (dari kiri) Setiausaha Agung Majlis Kerjasama Teluk (GCC), Encik Jassim al-Budaiwi; Putera Mahkota Kuwait, Sheikh Sabah Khaled al-Hamad al-Sabah; Amir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani; Timbalan Perdana Menteri Hal Ehwal Pertahanan Oman, Encik Shihab bin Tarik Al Said; Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman; Wakil Peribadi Raja Bahrain, Encik Abdulla bin Hamad Al Khalifa; dan Naib Presiden merangkap Timbalan Perdana Menteri UAE, Sheikh Mansour bin Zayed al-Nahyan, bergambar bersama semasa Sidang Puncak Kecemasan Arab-Islam 2025 di Doha pada 15 September 2025.
Gambar edaran yang dikeluarkan oleh Agensi Berita Saudi (SPA) ini menunjukkan (dari kiri) Setiausaha Agung Majlis Kerjasama Teluk (GCC), Encik Jassim al-Budaiwi; Putera Mahkota Kuwait, Sheikh Sabah Khaled al-Hamad al-Sabah; Amir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani; Timbalan Perdana Menteri Hal Ehwal Pertahanan Oman, Encik Shihab bin Tarik Al Said; Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman; Wakil Peribadi Raja Bahrain, Encik Abdulla bin Hamad Al Khalifa; dan Naib Presiden merangkap Timbalan Perdana Menteri UAE, Sheikh Mansour bin Zayed al-Nahyan, bergambar bersama semasa Sidang Puncak Kecemasan Arab-Islam 2025 di Doha pada 15 September 2025. - Foto AFP

DOHA: Majlis Kerjasama Teluk (GCC) mengadakan mesyuarat khas pada 18 September di Doha, Qatar, susulan serangan udara Israel ke atas sasaran Hamas di ibu kota itu awal September.

Mesyuarat itu menandakan usaha serius untuk memperkukuh pertahanan bersama, dengan enam negara anggotanya – Arab Saudi, Amiriah Arab Bersatu (UAE), Kuwait, Bahrain, Qatar dan Oman menegaskan bahawa sebarang serangan terhadap satu anggota adalah serangan terhadap semua.

Kenyataan bersama Majlis Pertahanan GCC menegaskan bahawa keselamatan negara Teluk “tidak boleh dipisahkan, selaras dengan Perjanjian Pertahanan Bersama”.

Lima komitmen diumumkan melibatkan meningkatkan perkongsian risikan; mempercepat kerja sistem amaran awal; mengemas kini rancangan pertahanan; meningkatkan perkongsian imej satelit; serta menjalankan latihan ketenteraan bersama.

Serangan Israel pada 9 September ke atas Doha mencetuskan kecaman keras daripada GCC.

Kenyataan rasmi menegaskan bahawa tindakan itu “dikutuk sekeras-kerasnya” dan menjadi bukti rapuhnya keselamatan serantau.

Qatar merupakan negara ketujuh yang diserang Israel sejak awal 2025, sekali gus menimbulkan persoalan serius mengenai keberkesanan jaminan keselamatan yang diberikan Washington, sekutu utama GCC.

Penganalisis berpendapat, serangan itu telah mempercepat perdebatan tentang keperluan struktur pertahanan serantau yang lebih formal, malah ada yang mengaitkannya dengan idea membentuk pakatan ala-Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato).

Bagaimanapun, menurut Kolonel (B) Zafer Al Ajami dari Tentera Udara Kuwait, “serangan ini mendedahkan jurang kritikal dalam sistem pertahanan udara dan peluru berpandu Teluk, tetapi perpecahan politik masih menjadi penghalang kepada sebuah Arab-Nato”.

Walaupun GCC sejak ditubuhkan pada 1981 menekankan keselamatan bersama, pelaksanaannya sering bersifat teori.

Zamil Kanan Dasar Asia Barat di Institut Kajian Strategik Antarabangsa (IISS), Dr Hasan Alhasan, menegaskan:

“Komitmen keselamatan bersama ada pada terasnya, tetapi kebanyakan struktur ketenteraan bersama masih kekal dalam bentuk retorik.”

Namun, beliau melihat pengumuman Doha sebagai langkah awal ke arah membina keupayaan sebenar.

Kebimbangan terhadap kebergantungan kepada Amerika Syarikat semakin menonjol.

Dr Alhasan menjelaskan: “Amerika memang mempunyai kemampuan, tetapi soalnya ialah sama ada ia mempunyai kemahuan politik untuk menggunakan kemampuan itu, termasuk mengekang Israel. Di sinilah keraguan terhadapnya timbul.”

Kolonel Zafer Al Ajami turut sependapat, dengan menyatakan bahawa perlindungan Amerika kini dianggap “bersyarat dan mudah berubah mengikut keadaan politik”.

Sejarah menunjukkan, bukan sahaja musuh, malah sekutu Amerika sendiri boleh menyerang negara Teluk.

Iran pernah melancarkan serangan dron dan peluru berpandu terhadap kemudahan minyak Saudi pada 2019 tanpa tindak balas ketenteraan Amerika, manakala Israel kini menyerang Doha meskipun Qatar menjadi tuan rumah pangkalan tentera Amerika.

Arab Saudi sejak beberapa tahun lalu berusaha mendapatkan perjanjian pertahanan formal dengan Washington.

Mantan Presiden Amerika, Encik Joe Biden, pernah pada 2023 menawarkan pakatan pertahanan bersama sebagai pertukaran pemulihan hubungan Riyadh-Tel Aviv.

Tawaran itu diulang oleh Presiden Amerika, Encik Donald Trump, pada Mei lalu.

Namun, kedua-duanya gagal kerana Israel enggan menerima syarat utama Saudi iaitu pembentukan Negara Palestin yang merdeka.

Keengganan Amerika memberi jaminan bertulis menambahkan rasa ragu Riyadh terhadap kebergantungan penuh kepada Washington.

Serangan Israel ke atas Doha menjadi peringatan bahawa jawapan kepada keselamatan Teluk mungkin terletak di rantau itu sendiri.

Konsep penyepaduan pertahanan GCC sudah lama wujud melalui Penubuhan Pasukan Perisai Semenanjung pada 1984, serta perjanjian pertahanan bersama pada 2000.

Namun, setakat ini, tindakan nyata hanya berlaku sekali pada 2011 apabila tentera GCC dihantar ke Bahrain untuk mengekang pemberontakan.

Zamil Majlis Hal Ehwal Sejagat Asia Barat, Encik Rashid Al Mohannadi, menegaskan:

“Anggapan bahawa menjadi sekutu Amerika bermakna kita tidak akan diserang oleh sekutu Amerika ternyata meleset.”

Walaupun GCC membelanjakan AS$114.5 bilion ($146.9 bilion) untuk pertahanan pada 2023, dengan Arab Saudi sahaja berjumlah AS$69 bilion, usaha penyepaduan masih terbatas akibat persaingan dalaman.

Beberapa tahun lalu, Arab Saudi, UAE dan Bahrain mengenakan sekatan terhadap Qatar, menuduh Doha mencampuri urusan dalaman mereka.

Hubungan kini pulih, namun dinamik persaingan dan penyelarasan terus mewarnai politik Teluk.

Namun serangan Israel ke atas Doha memperlihatkan keperluan mendesak untuk mengutamakan keselamatan bersama berbanding pertikaian sesama sendiri.

Penyepaduan pertahanan GCC tidak perlu bermula dengan pakatan ala-Nato.

Ia boleh dibangunkan secara berperingkat melalui lima bidang utama iaitu perkongsian logistik, inovasi teknologi, pengurusan industri pertahanan, perkongsian risikan, serta pertahanan udara dan peluru berpandu.

Pendekatan itu tekal dengan strategi Amerika yang menekankan kerjasama serantau, tetapi dengan GCC mengambil daya usaha sebagai pelaksana utama.

“Kuncinya ialah kesediaan GCC menggunakan kekuatan kewangan dan aset ketenteraan mereka sendiri.

“Amerika boleh menjadi fasilitator, tetapi penyelesaian sebenar ada dalam rumah tangga Teluk sendiri,” kata seorang penganalisis pertahanan.

Peristiwa di Doha menunjukkan bahawa GCC kini berada di titik peralihan.

Buat kali pertama sejak sekian lama, negara Teluk diserang bukan sahaja oleh musuh tradisi seperti Iran, malah sekutu rapat Amerika, Israel.

Dalam kedua-dua kes, Washington gagal memberi perlindungan yang diharapkan.

Keadaan itu mendorong desakan agar GCC membina benteng keselamatan sendiri yang lebih bersepadu, tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada jaminan kuasa luar.

Langkah Doha menandakan permulaan baru dalam kerjasama pertahanan Teluk.

Sama ada ia mampu berkembang menjadi penyepaduan penuh masih belum pasti.

Namun mesejnya jelas: Keamanan dan kestabilan Asia Barat tidak boleh lagi hanya bergantung kepada Washington.

“Masa depan keselamatan Teluk bergantung pada usaha penyepaduan pertahanan serantau.

“Ia mungkin tidak sempurna, tetapi hanya dengan melaksanakannya secara menyeluruh barulah hasil sebenar dapat dicapai,” ujar penganalisis dasar, Encik Rashid. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg