TEL AVIV: Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, memberi amaran keras bahawa semuanya bakal jadi kacau-bilau jika Hamas enggan melucutkan senjata, sambil menegaskan bahawa keamanan hanya dapat dicapai melalui kekuatan.
Dalam temu bual eksklusif dengan CBS News, Encik Netanyahu yang sejak beberapa tahun lalu jarang bercakap kepada media Israel, mempertahankan pelan 20 perkara usulan Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, yang menjadi asas kepada perjanjian gencatan senjata antara Israel dengan Hamas.
“Kami telah bersetuju untuk memberi peluang kepada keamanan,” kata Encik Netanyahu, ketika ditanya bagaimana perang dikatakan telah tamat sedangkan tentera Israel masih berada di beberapa kawasan Gaza dan Hamas dilihat kembali menguasai wilayah itu.
Pelan Encik Trump, yang telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak, menetapkan bahawa Hamas mesti melucutkan senjata sepenuhnya; Gaza perlu bebas daripada unsur ketenteraan; semua kilang senjata ditutup dan kegiatan penyeludupan di sempadan dihentikan.
Encik Netanyahu berkata Israel telah melaksanakan bahagian pertama pelan itu dan kini tiba masa untuk memastikan pelaksanaan fasa kedua.
“Kami bersetuju untuk memulakan langkah pertama. Sekarang mari kita berikan peluang kepada langkah kedua,” katanya.
“Saya berharap Hamas akan menyerahkan senjata mereka secara aman. Jika tidak, seperti yang dikatakan Presiden Trump, keadaan akan menjadi kacau-bilau.”
Encik Trump sebelum ini memberi amaran bahawa sekiranya Hamas gagal mematuhi perjanjian, “kami akan melucutkan senjata mereka, mungkin secara keras”.
Apabila ditanya syarat untuk mengisytiharkan perang benar-benar berakhir, Encik Netanyahu menjawab dengan berhati-hati:
“Buat masa depan yang dapat dijangka, bukan hanya bagi Israel tetapi bagi dunia bebas dan beradab, kita mesti mengekalkan keupayaan mempertahankan diri.
“Kebebasan bukan kekal dan bukan automatik. Jika masyarakat bebas tidak mampu mempertahankan diri, mereka akan ditelan oleh rejim autoritarian.”
Apabila wartawan menyindir bahawa pandangannya menggambarkan Israel bakal berperang selama 100 tahun lagi, Encik Netanyahu menafikannya:
“Keamanan hanya dapat dibeli melalui kekuatan,” katanya sambil merujuk kepada perjanjian pemulihan hubungan yang ditandatanganinya pada 2020 dengan Amiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain, Maghribi dan Sudan.
Beliau menambah: “Saya percaya kita mempunyai peluang untuk membina keamanan dengan lebih banyak negara.
“Itulah hadiah terbesar yang boleh kita berikan kepada rakyat Israel, rantau ini dan dunia.”
Dalam temu bual itu juga, Encik Netanyahu ditanya tentang kenyataan Encik Trump di Parlimen Israel, Knesset, yang menyifatkan beliau sebagai “lelaki yang sukar untuk berurusan”.
Encik Netanyahu menjawab: “Saya harap beliau berkata begitu kerana saya tegas dalam hal-hal yang berkait dengan masa depan negara saya.
“Jika sesuatu permintaan itu wajar, saya akan setuju. Tetapi jika ia mengancam masa depan Israel, saya akan katakan tidak. Tugas saya adalah melindungi Israel dan masa depan rakyat kami.”
Sementara itu, ketika wawancara Encik Netanyahu disiarkan, ketegangan meningkat di Gaza apabila Israel memutuskan untuk mengurangkan separuh jumlah bantuan kemanusiaan yang dibenarkan masuk ke wilayah itu.
Israel memberitahu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bahawa hanya 300 trak bantuan sehari akan dibenarkan masuk mulai 15 Oktober, separuh daripada jumlah yang dipersetujui sebelum ini.
Jurucakap Pejabat Penyelaras Hal Ehwal Kemanusiaan PBB (Ocha), di Gaza, Cik Olga Cherevko, mengesahkan keputusan itu.
Dalam notis rasmi yang dikeluarkan oleh Cogat, agensi tentera Israel yang menguruskan bantuan ke wilayah Palestin, dinyatakan bahawa tiada bahan api atau gas akan dibenarkan masuk kecuali bagi keperluan kemanusiaan tertentu.
Al Jazeera melaporkan dari Bandar Gaza bahawa langkah itu bakal memperburuk keadaan.
“Sebanyak 300 trak tidak mencukupi. Ia tidak akan mengubah apa-apa bagi rakyat Gaza yang kini berdepan kebuluran,” lapor Al Jazeera.
Selain itu, Israel turut mengumumkan lintasan sempadan Rafah ke Mesir akan kekal ditutup sehingga diberitahu kelak.
Beberapa jam selepas pengumuman sekatan itu, tentera Israel dilaporkan membunuh sekurang-kurangnya sembilan penduduk Palestin dalam dua serangan berasingan di utara dan selatan Gaza.
Menurut sumber perubatan, enam orang terbunuh di Bandar Gaza manakala tiga lagi terbunuh di Khan Younis.
Hospital al-Ahli Arab memaklumkan kepada Al Jazeera Arabic, bahawa lima daripada mereka ditembak mati oleh tentera Israel di kawasan Shujaiya.
Tentera Israel mendakwa mereka melepaskan tembakan kerana individu berkenaan “mengancam keselamatan tentera” selepas menghampiri kedudukan pasukan Israel di utara Gaza.
PBB dan Palang Merah Antarabangsa (ICRC) menyeru Israel membuka semua lintasan sempadan bagi membolehkan penghantaran bantuan segera.
Jurucakap Ocha, Encik Jens Laerke, berkata sebanyak 190,000 tan bantuan kini menunggu untuk dihantar masuk ke Gaza.
Tabung Bantuan Darurat Kanak-Kanak PBB (Unicef) pula melaporkan 1,370 trak bantuan bersedia untuk bergerak.
“Tahap kemusnahan sangat besar. Sekurang-kurangnya 600 trak sehari diperlukan untuk memulihkan keadaan, dan kita masih jauh daripada angka itu,” kata jurucakap Unicef, Encik Ricardo Pires.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) turut menekankan bahawa lebih banyak bekalan perubatan perlu dihantar segera.
“Tekanan ke atas hospital tidak akan berkurangan dalam masa terdekat.
“Kami perlu menghantar seberapa banyak bekalan sekarang agar petugas kesihatan dapat terus berkhidmat,” kata jurucakap WHO, Encik Tarik Jasarevic. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg