Timur Tengah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pasukan pembedahan Saudi berjaya pisahkan kembar siam Eritrea

May 16, 2025 | 4:40 PM
 Pasukan perubatan dan pembedahan Program Kembar Siam Arab Saudi berjaya memisahkan kembar dari Eritrea, Asma dan Someya yang bercantum pada bahagian kepala.
 Pasukan perubatan dan pembedahan Program Kembar Siam Arab Saudi berjaya memisahkan kembar dari Eritrea, Asma dan Someya yang bercantum pada bahagian kepala. - Foto Saudi Gazette

RIYADH: Pasukan perubatan dan pembedahan Program Kembar Siam Arab Saudi berjaya memisahkan pasangan kembar siam dari Eritrea, Asma dan Someya, yang disatukan di bahagian kepala dalam satu pembedahan kompleks di Hospital Pakar Kanak-Kanak King Abdullah, Riyadh pada 14 Mei.

Kejayaan ini adalah selaras dengan arahan Penjaga Dua Masjid Suci, Raja Salman Abdulaziz Al Saud, dan Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Arab Saudi, Mohammed bin Salman. Pembedahan tersebut diketuai oleh Ketua Pengarah Pusat Bantuan dan Kemanusiaan Raja Salman (KSrelief), Dr Abdullah Al-Rabeeah.

Menurut Dr Al-Rabeeah, prosedur pemisahan itu mengambil masa 15 jam 30 minit dan melibatkan pasukan profesional terdiri daripada 36 perunding dan pakar dalam pelbagai bidang.

“Pembedahan ini menggunakan teknologi neuronavigasi dan mikroskop pembedahan bagi memastikan perancangan yang tepat serta keselamatan tertinggi untuk kedua-dua pesakit,” kata beliau seperti dilaporkan Saudi Gazette.

Beliau menjelaskan bahawa pembedahan ini merupakan kes ke-64 yang berjaya di bawah Program Kembar Siam Arab Saudi, yang telah merawat lebih 149 kes dari 27 negara sepanjang 35 tahun lalu. “Kejayaan ini sekali lagi membuktikan keupayaan cemerlang sektor kesihatan Arab Saudi serta profesionalisme pasukan perubatannya,” tambah Dr Al-Rabeeah.

Sementara itu, Pakar Bedah Saraf Pediatrik dan Ketua Jabatan Bedah Saraf Kanak-Kanak, Dr. Moutasem Azzubi, berkata proses penilaian menyeluruh mendapati kembar tersebut berkongsi tulang tengkorak, membran otak, urat dan beberapa arteri utama.

“Pemisahan dilakukan secara berperingkat, dimulakan dengan pembedahan awal dan diikuti tiga prosedur radiologi intervensi bagi menyekat salur darah yang dikongsi,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa pasukan bedah plastik pediatrik telah memasukkan alat peregang kulit beberapa bulan sebelum pembedahan bagi memastikan kulit mencukupi untuk menutup kawasan yang dipisahkan.

Keluarga kembar Asma dan Someya menzahirkan penghargaan mendalam kepada pimpinan Arab Saudi atas peluang menjalani prosedur menyelamatkan nyawa ini. Mereka turut memuji layanan mesra serta keprihatinan kerajaan Arab Saudi terhadap kebajikan mereka sepanjang berada di negara itu.

“Kami amat bersyukur atas rawatan terbaik yang diterima anak-anak kami. Arab Saudi bukan sahaja menyelamatkan nyawa mereka, tetapi juga menyambut kami dengan penuh kemanusiaan dan hormat,” kata keluarga kembar tersebut.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg