BANDAR KUWAIT: Kementerian Hal Ehwal Islam Kuwait mengumumkan pada 16 April pemotongan bekalan elektrik berjadual di masjid di seluruh enam wilayah gabenor negara itu.
Langkah itu, yang turut disertai dengan arahan memperketat penggunaan tenaga dalam masjid, telah mencetuskan perdebatan hangat melibatkan keseimbangan antara keperluan tenaga negara dengan amalan keagamaan umat Islam.
Arahan tersebut menetapkan penutupan ruang solat utama di dalam masjid kecuali bagi solat Jumaat.
Bagi solat harian lima waktu, jemaah diarah bersolat di kawasan halaman luar masjid.
Penggunaan penyaman udara juga dihadkan kepada suhu 25 darjah Celsius dalam mod automatik, dan hanya dibenarkan kepada ruang terhad seperti kelas pengajian agama wanita.
Penyaman udara bagi solat Jumaat pula dibenarkan dipasang pada suhu 22 darjah Celsius bermula selepas isyak hari Khamis.
Pihak kementerian turut menasihatkan imam dan bilal agar memendekkan iqamah dan tidak memanjangkan solat bagi waktu zuhur dan asar.
Pemotongan bekalan elektrik dijadual berlangsung dari 30 minit selepas azan zuhur hingga 15 minit sebelum solat asar, serta dari 30 minit selepas asar hingga 5 petang.
Langkah itu merupakan sebahagian daripada dasar penjimatan tenaga yang lebih meluas, hasil kerjasama antara Kementerian Hal Ehwal Islam dengan Kementerian Elektrik, Air dan Tenaga Boleh Diperbaharui.
Ia bertujuan mengurangkan tekanan ke atas grid elektrik negara akibat peningkatan suhu musim panas.
Bagaimanapun, pendekatan itu mencetuskan kritikan daripada pelbagai pihak.
Ada yang menyifatkan langkah itu sebagai terlalu drastik dan memberi kesan tidak seimbang kepada institusi keagamaan berbanding sektor lain.
Pengamat dasar awam dari Universiti Kuwait, Dr Adnan Alanzi, menyatakan Kuwait sebagai negara kaya sumber tenaga sepatutnya mempertimbangkan kaedah lebih mampan dan tidak mengganggu kegiatan keagamaan secara langsung.
“Kuwait merupakan negara yang kaya dengan sumber tenaga.
“Pendekatan lebih progresif, seperti pelaburan dalam teknologi grid pintar dan penguatkuasaan kecekapan tenaga di sektor swasta dan kerajaan, lebih wajar dipertimbangkan sebelum menyentuh aspek asas kehidupan beragama,” ujarnya.
Dalam kritikan yang dikemukakan, beberapa cadangan turut dibentangkan sebagai alternatif kepada tindakan mengehadkan kegiatan masjid.
Antaranya, pengawalan terhadap papan tanda dan lampu komersial yang berlebihan, pengurangan sistem penyejukan luaran di kawasan tidak penting, serta pelaksanaan audit tenaga secara menyeluruh terhadap bangunan kerajaan.
Di samping itu, pihak berkuasa turut digesa memperkenal insentif kepada sektor swasta agar melaksanakan sistem bangunan hijau dan mengurangkan pergantungan kepada tenaga elektrik konvensional.
Kesan dasar itu bukan sekadar bersifat teknikal, malah turut mencetus implikasi sosial dan keagamaan yang lebih luas.
Penutupan ruang solat utama dan penyusunan semula jadual solat berpotensi mengurangkan keterlibatan masyarakat dalam kegiatan keagamaan.
Masjid selama ini memainkan peranan sebagai pusat masyarakat, bukan sekadar ruang ibadah.
Had ke atas ruang dan masa solat berisiko menghakis unsur kekitaan dalam kalangan jemaah dan membantutkan usaha membina semangat kemasyarakatan melalui kegiatan masjid.
Di samping itu, penempatan jemaah di kawasan terbuka pada musim panas yang keterlaluan di Kuwait boleh menimbulkan risiko kesihatan, terutama kepada golongan warga emas dan mereka yang mempunyai penyakit kronik.
Dalam konteks ini, kebimbangan juga timbul mengenai keselesaan dan keselamatan jemaah yang terpaksa bersolat di luar bangunan dalam cuaca yang tidak menentu.
Dari sudut persepsi awam, tindakan kerajaan yang mendahulukan penjimatan tenaga berbanding keperluan asas keagamaan boleh dilihat sebagai mengabaikan sensitiviti umat Islam.
Dalam masyarakat yang menjadikan masjid sebagai nadi kehidupan rohani dan sosial, pendekatan itu mungkin menimbulkan rasa tidak puas hati dan ketegangan antara pihak berkuasa dengan rakyat.
Seorang imam dari Hawalli yang enggan dinamakan menyuarakan kebimbangan dengan berkata:
“Kami faham keperluan negara, tetapi seharusnya ada pertimbangan yang lebih halus. Masjid bukan sekadar tempat solat, tetapi nadi komuniti, tempat masyarakat mencari ketenangan dan kekuatan.
“Kami faham keperluan negara, tetapi seharusnya ada pertimbangan yang lebih halus. Masjid bukan sekadar tempat solat, malah nadi masyarakat.”
Satu kajian oleh Pensyarah Jabatan Seni Bina, Universiti Kuwait, Cik Sara Akasha dan Dr Adnan Alanzi, mendapati penggunaan tenaga di masjid meningkat hampir 8 peratus semasa Ramadan, berikutan waktu operasi yang lebih panjang dan peningkatan kegiatan keagamaan serta sosial.
“Model tenaga yang dibangunkan melalui simulasi dan data pemantauan menunjukkan lonjakan 2.7 peratus dalam penggunaan tenaga hanya semasa Ramadan.
“Kajian ini menyerlahkan keperluan untuk merancang keperluan tenaga masjid secara lebih tepat dan berasaskan data,’‘ ujar Dr Adnan.
Antara cadangan praktikal yang dikemukakan termasuk penggunaan lampu LED lebih jimat tenaga; pemasangan sensor pergerakan di ruang yang jarang diguna; menghentikan penggunaan pemanas air elektrik pada musim panas; penyelenggaraan penyaman udara secara berkala; dan penggunaan termostat boleh disesuaikan.
Selain itu, pemasangan peranti penjimatan air pada pili wuduk turut diusul sebagai sebahagian daripada pendekatan menyeluruh dalam kecekapan sumber.
Dalam konteks perubahan iklim sejagat dan peningkatan permintaan tenaga, dasar penjimatan tenaga seperti yang dilaksanakan di Kuwait adalah penting.
Namun, keseimbangan antara keperluan teknikal dengan keperluan rohani harus dititikberatkan.
Negara Teluk yang berkemampuan seharusnya menjadi contoh dalam menerajui penggunaan tenaga mampan tanpa menjejas keperluan asas komuniti agama.
Sheikh Ibrahim Al-Sabah, sarjana fiqah awam, berkata:
“Apa sahaja dasar yang menyentuh urusan ibadah perlu ditangani dengan penuh hikmah. Keseimbangan antara maslahat umum dengan kehormatan tempat ibadah adalah prinsip utama dalam pentadbiran Islam.”
Pelaksanaan dasar penjimatan tenaga di masjid Kuwait mencerminkan realiti baharu yang dihadapi negara-negara Teluk dalam mengurus sumber secara mampan.
Namun, kejayaan dasar itu bukan sahaja bergantung pada kecekapan pelaksanaannya, malah kepada cara kerajaan mendengar suara masyarakat, mempertimbangkan pandangan pakar serta menyesuaikan pelaksanaan dengan realiti sosioagama.
Anggota jemaah yang ditemui di Masjid Agung Kuwait berkata: “Kami bukan menolak penjimatan, tetapi kami berharap pendekatannya lebih terangkum dan mengambil kira sensitiviti keagamaan.
“Masjid adalah tempat naungan jiwa, bukan sekadar bangunan untuk menjimatkan voltan.” – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg