Topik diikuti
Pergi ke BHkuPerang kapal tangki di Hormuz uji kekuatan kewangan negara Teluk
Perang kapal tangki di Hormuz uji kekuatan kewangan negara Teluk
DUBAI: Negara Teluk mempunyai antara rizab kewangan terbesar di dunia.
Bagaimanapun, perang yang semakin tertumpu kepada kapal tangki di Selat Hormuz menimbulkan persoalan penting.
Berapa lamakah kekayaan itu mampu melindungi ekonomi mereka jika laluan tenaga utama dunia tersebut terus terganggu?
Buat masa ini, Amiriah Arab Bersatu (UAE), Qatar dan Kuwait mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh, termasuk aset besar melalui dana kekayaan negara.
Namun, kekuatan kewangan itu bukan tanpa had.
Fitch Ratings memberi amaran risiko terhadap penarafan kredit beberapa negara anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC) boleh meningkat sekiranya gangguan perkapalan di Selat Hormuz berlarutan sepanjang sebahagian besar 2027.
Menurut agensi penarafan itu, rizab kewangan kerajaan yang sangat besar di Kuwait, UAE dan Qatar setakat ini menjadi antara faktor utama yang mengehadkan kesan konflik terhadap penarafan kredit mereka.
Fitch turut menyatakan penutupan Selat Hormuz yang berpanjangan sehingga menjejas ekonomi dan kewangan kerajaan merupakan antara faktor yang boleh memberi tekanan kepada penarafan UAE.
Persoalannya adalah apakah yang berlaku sekiranya gangguan berterusan sehingga kerajaan terpaksa menggunakan lebih banyak rizab untuk menampung kehilangan pendapatan eksport, peningkatan kos pengangkutan dan insurans serta kelembapan ekonomi.
Profesor pengurusan kewangan di Universiti Basaksehir Istanbul, Profesor Firas Shaabo, berkata masalah segera bukan sama ada negara Teluk mempunyai wang yang mencukupi.
Sebaliknya, yang perlu diperhatikan adalah ‘kos kejutan’ yang terus terkumpul.”
Dana kekayaan negara memberikan kerajaan ruang besar untuk menyerap kesan krisis, tetapi perlindungan itu bersifat sementara dan bukannya tanpa batas.
Krisis itu semakin serius apabila pertempuran Amerika-Iran merebak kepada kapal tangki dan laluan perdagangan.
Serangan terhadap kapal komersial meningkatkan risiko kepada syarikat perkapalan, penanggung insurans dan institusi yang membiayai perdagangan.
Data terbaharu menunjukkan trafik melalui Hormuz masih jauh lebih rendah berbanding sebelum perang.
Agensi berita, Reuters, melaporkan hanya 17 kapal komoditi melalui selat itu pada hujung minggu 19 dan 20 September, berbanding purata sekitar 125 kapal sehari sebelum perang.
Hormuz penting kerana sebelum konflik, kira-kira satu perlima bekalan minyak dan gas dunia melalui laluan sempit itu.
Bagi beberapa negara Teluk, ia bukan sekadar laluan perdagangan, bahkan pintu utama untuk membawa minyak dan gas mereka ke pasaran antarabangsa.
Pada pandangan pertama, harga minyak yang meningkat mungkin kelihatan memberi kelebihan kepada negara pengeluar.
Setiap tong minyak yang berjaya dieksport membawa pendapatan lebih tinggi.
Namun, kelebihan itu semakin kecil jika pengeluar tidak dapat menghantar jumlah minyak seperti biasa.
Sekatan laluan bermakna jumlah eksport berkurangan, sedangkan kos pengangkutan dan insurans meningkat.
Malah, kos membawa minyak keluar dari rantau itu kini meningkat dengan ketara.
Reuters melaporkan pengeluar semakin menggunakan pemindahan minyak dari kapal ke kapal berhampiran Oman bagi memastikan eksport diteruskan.
Jumlah pemindahan itu meningkat kepada sekitar 2.5 juta tong sehari pada September, daripada 1.4 juta tong sehari pada Ogos.
Namun, langkah tersebut mahal.
Kos penghantaran menggunakan kapal tangki minyak mentah sangat besar kini melebihi AS$30 ($38) bagi setiap tong dalam sesetengah urus niaga.
Ini menunjukkan harga minyak tinggi sahaja tidak menjamin keuntungan besar sekiranya sebahagian pendapatan tambahan itu terhakis akibat kos membawa minyak ke pasaran.
Profesor Shaabo turut mengingatkan bahawa saiz dana kekayaan negara boleh memberikan gambaran yang mengelirukan mengenai kemampuan sesebuah kerajaan menghadapi krisis panjang.
Aset bernilai ratusan bilion dolar tidak bermakna semua wang itu boleh digunakan serta-merta.
Dana tersebut mempunyai gabungan wang tunai, saham, bon, hartanah dan pelaburan jangka panjang.
Sebahagiannya boleh dijual dengan cepat, tetapi penjualan ketika pasaran tidak stabil boleh menyebabkan kerugian.
Aset lain pula mengambil masa untuk ditukar kepada wang tunai.
Justeru, persoalan penting bukan hanya berapa besar dana kekayaan sesebuah negara, tetapi berapa banyak wang yang boleh digunakan dengan segera untuk membiayai perbelanjaan kerajaan dan menyokong ekonomi.
Semakin lama krisis berlangsung, semakin penting perbezaan itu.
Kerajaan boleh berdepan pendapatan minyak yang berkurangan.
Pada masa yang sama, mereka perlu meningkatkan perbelanjaan bagi menyokong syarikat, pengguna dan sektor yang terjejas.
Tahap risiko juga berbeza antara negara.
Arab Saudi mempunyai kelebihan kerana sebahagian minyaknya boleh disalurkan melalui rangkaian paip Timur-Barat menuju Yanbu di Laut Merah, sekali gus mengurangkan pergantungannya kepada Hormuz.
Namun, kelebihan itu juga terdedah kepada konflik.
Serangan terhadap saluran paip tersebut pada September memaksa operasi dihentikan sementara, menunjukkan bahawa laluan alternatif juga boleh menjadi sasaran.
Negara Teluk yang tidak mempunyai laluan alternatif pula menghadapi pilihan lebih sempit.
Pakar ekonomi dan penasihat kewangan, Encik Ali Ahmed Darwish, berkata amaran Fitch perlu diberi perhatian kerana krisis itu menunjukkan perbezaan besar dalam daya tahan ekonomi antara negara GCC.
Menurutnya, bank, syarikat insurans dan sebagainya, boleh memainkan peranan lebih besar dalam mengekalkan pembiayaan perdagangan serta membantu mengawal peningkatan kos insurans.
Langkah itu boleh mengurangkan keperluan kerajaan menggunakan dana kekayaan negara secara berterusan.
Tetapi ia juga mempunyai had.
Profesor Shaabo melihat tiga kemungkinan.
Jika penyelesaian diplomatik dicapai dengan cepat dan operasi perkapalan kembali bergerak secara beransur-ansur, negara Teluk mempunyai rizab dan kemampuan berhutang yang mencukupi untuk menyerap sebahagian besar kejutan.
Jika gangguan berlarutan beberapa bulan, masalahnya boleh berubah daripada krisis perkapalan kepada masalah ekonomi lebih luas.
Pertumbuhan boleh perlahan, inflasi meningkat, keuntungan bank terjejas dan pelaburan besar dalam pelancongan, hartanah, pengangkutan serta prasarana mungkin ditangguhkan.
Senario paling serius adalah kerosakan berpanjangan terhadap pelabuhan, loji penapisan, saluran paip, kemudahan minyak dan stesen jana kuasa.
Dalam keadaan itu, dana kekayaan negara mempunyai kemampuan lebih terhad untuk menyelesaikan masalah kerana yang terjejas bukan lagi sekadar aliran tunai, malah, keupayaan sesebuah negara menjana pendapatan pada masa depan.
Di sinilah krisis Hormuz boleh menjadi ujian sebenar kepada model ekonomi Teluk.
Kuwait, UAE dan Qatar mempunyai kekayaan yang cukup besar untuk menyerap kejutan dalam jangka pendek.
Tetapi jika gangguan berlarutan hingga 2027, persoalannya bukan lagi berapa besar rizab yang mereka miliki.
Persoalan yang lebih penting adalah berapa lamakah rizab itu boleh digunakan sebelum gangguan perdagangan, kehilangan hasil eksport dan peningkatan kos mula menghakis kekuatan kewangan yang selama ini menjadi benteng utama ekonomi negara-negara Teluk. – Agensi berita.