Hampir setahun selepas Habsyah merasmikan Empangan Besar Kebangkitan Habsyah (GERD) di Sungai Nil Biru, pertikaian air dengan Mesir bukan sahaja gagal diselesaikan, malah berisiko memasuki fasa baharu yang lebih rumit.

Puncanya ialah rancangan Addis Ababa membina tiga lagi empangan hidroelektrik di Sungai Nil Biru, ketika Mesir pula meningkatkan tekanan terhadap Habsyah melalui kerjasama strategik dengan negara di sekitar Laut Merah.

Keadaan itu menjadikan pertikaian Sungai Nil bukan lagi semata-mata mengenai pembahagian air.

Ia semakin berkait dengan persaingan geopolitik di Tanduk Afrika, termasuk usaha Habsyah mendapatkan akses ke laut dan kebimbangan Mesir terhadap perubahan imbangan kuasa serantau.

Pada 21 Ogos, Menteri Air dan Tenaga Habsyah, Encik Habtamu Itefa Gelata, menegaskan negaranya tidak memerlukan kebenaran pihak lain untuk membangunkan sumber airnya.

Beliau mempertahankan hak Habsyah untuk menggunakan air Sungai Nil secara saksama dan menolak tuntutan supaya GERD dikendalikan secara bersama.

Pendirian itu mencetuskan kebimbangan di Mesir, yang memperoleh lebih 97 peratus sumber air tawar boleh diperbaharuinya dari Sungai Nil.

Menteri luar dan menteri pengairan Mesir memberi amaran pada Ogos bahawa Kahirah tidak akan “membenarkan” pembinaan empangan tambahan yang boleh menjejas kepentingannya dan menegaskan negara itu berhak mempertahankan keselamatan airnya.

Ketegangan meningkat selepas Habsyah mengumumkan pada Mac 2026 rancangan membangunkan tiga projek hidroelektrik – Karadobi, Mandaya dan Beko Abo.

Ketiga-tiganya dilaporkan mempunyai kapasiti penjanaan gabungan sekitar 5,700 megawatt (MW), dengan kos keseluruhan dianggarkan AS$10.5 bilion ($13.5 bilion).

Projek itu masih pada peringkat perancangan dan prapembinaan, menyebabkan reka bentuk dan kapasitinya masih boleh berubah.

Tapak berkenaan juga pernah dimasukkan dalam kajian terdahulu mengenai pembangunan Lembangan Nil.

Perubahan lebih penting adalah keyakinan Habsyah untuk meneruskan pembangunan Sungai Nil Biru walaupun pertikaiannya dengan Mesir dan Sudan mengenai GERD belum selesai.

Pengasas yang juga Ketua Editor penerbitan bebas Habsyah, Addis Standard, Cik Tsedale Lemma, berkata Habsyah sudah lama mahu membangunkan sumber air dan hidroelektriknya, tetapi kekurangan pembiayaan serta tentangan Mesir sebelum ini membataskan cita-cita itu.

Pembinaan empangan tersebut bermula pada 2011 ketika Mesir dilanda pergolakan politik akibat revolusi yang menggulingkan Presiden Hosni Mubarak.

Walaupun berdepan bantahan Mesir dan Sudan, Habsyah meneruskan pembinaan sebelum merasmikan projek bernilai AS$5 bilion itu pada 9 September 2025.

GERD mempunyai kapasiti terpasang 5,150 MW.

Tiga empangan baharu yang dirancang menunjukkan Habsyah kini melihat GERD sebagai permulaan kepada program pembangunan hidroelektrik jangka panjang di Sungai Nil Biru.

Menurut Cik Tsedale, ramai rakyat Habsyah berpendapat negara itu berhak menggunakan sumber airnya untuk menjana elektrik, pengairan, menjamin keselamatan makanan dan merangsang pembangunan ekonomi, selagi tidak sengaja menyebabkan kemudaratan besar kepada negara hiliran.

Perbezaan asas inilah yang menyukarkan rundingan.

Mesir mahu perjanjian yang mengikat dari segi undang-undang bagi melindungi bekalan airnya.

Habsyah pula menuntut penggunaan Sungai Nil yang lebih saksama antara semua negara lembangan dan bimbang peraturan GERD akhirnya menjadi mekanisme kekal yang menyekat projek masa depannya.

Empangan hidroelektrik sebenarnya tidak menggunakan air seperti projek pengairan berskala besar kerana air yang menjana turbin akhirnya terus mengalir ke hilir.

Risiko utama adalah takungan empangan.

Sebahagian air hilang melalui penyejatan, sementara proses mengisi dan mengendalikan takungan boleh mengubah corak semula jadi aliran sungai.

Mantan Duta Amerika Syarikat ke Habsyah, Encik David Shinn, berkata pengisian GERD sebelum ini tidak menyebabkan gangguan besar terhadap bekalan air Mesir kerana paras hujan ketika itu normal atau lebih tinggi daripada biasa.

Namun, beliau memberi amaran Habsyah perlu menguruskan pengisian tiga empangan baharu dengan amat berhati-hati supaya tidak menjejas Mesir.

Kejadian pada Julai menunjukkan mengapa penyelarasan masih penting.

Kementerian Pengairan Sudan merekodkan aliran masuk ke Empangan Roseires merosot daripada 207 juta meter padu kepada 129 juta meter padu sehari antara 7 dengan 9 Julai.

Khartoum mengaitkannya dengan pengurangan sementara pelepasan air GERD, walaupun Habsyah tidak mengesahkan bahawa aliran telah dikurangkan.

Kejadian itu menunjukkan perlunya perkongsian data, pemberitahuan awal dan peraturan jelas mengenai operasi empangan.

Mesir pula tidak hanya memberi tekanan melalui isu Sungai Nil.

Ketika Habsyah yang tidak mempunyai pantai berusaha mendapatkan akses ke Laut Merah, Kahirah memperkukuh hubungan dengan negara-negara di sekeliling Habsyah.

Mesir meningkatkan kerjasama ketenteraan dengan Somalia selepas Habsyah menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) dengan Somaliland pada Januari 2024 yang membuka kemungkinan Addis Ababa memperoleh akses maritim sebagai pertukaran kepada pengiktirafan Somaliland.

Deklarasi Ankara yang diusahakan Turkey pada Disember 2024 meredakan pertikaian antara Habsyah dengan Somalia, tetapi persoalan mengenai akses tetap Habsyah ke laut masih belum diselesaikan.

Mesir turut mempererat hubungan dengan Eritrea ketika hubungan dengan Addis Ababa kembali merosot.

Habsyah dan Eritrea mempunyai sejarah hubungan yang tegang.

Kedua-duanya berperang dalam konflik sempadan dari 1998 hingga 2000, lima tahun selepas kemerdekaan Eritrea menyebabkan Habsyah kehilangan akses langsung ke laut.

Pada Mei, Mesir dan Eritrea menandatangani perjanjian pengangkutan maritim serta bersetuju mewujudkan laluan perkapalan yang menghubungkan pelabuhan mereka di Laut Merah.

Dalam sidang kemuncak di Kahirah pada Jun, Presiden Mesir, Encik Abdel Fattah al-Sisi, dan Presiden Eritrea, Encik Isaias Afwerki, bersetuju meningkatkan penyelarasan mengenai keselamatan Laut Merah.

Mereka turut menegaskan urusan Laut Merah harus dikendalikan negara-negara pesisir – pendirian yang secara tersirat menentang cita-cita Habsyah memainkan peranan maritim di kawasan tersebut.

Semakin Mesir memperkukuh hubungan dengan negara jiran Habsyah, semakin Addis Ababa mungkin berasa dikepung. Ini boleh mendorong Habsyah mengambil pendirian lebih keras dalam isu Sungai Nil dan menjadikan penyelesaian melalui rundingan semakin sukar.

Arab Saudi dan Turkey dilihat antara negara yang berpotensi membantu memecahkan kebuntuan kerana mempunyai hubungan dengan Mesir dan Habsyah.

Riyadh pernah menawarkan pengantaraan pada 2021, manakala kejayaan diplomasi Ankara dalam meredakan ketegangan Habsyah-Somalia meningkatkan kedudukan Turkey sebagai pengantara berpotensi.

China juga boleh memainkan peranan lebih besar.

Semasa lawatan negara Presiden China, Encik Xi Jinping, ke Mesir dari 1 hingga 3 September, Beijing mengiktiraf Sungai Nil sebagai “talian hayat” Mesir dan menyokong hak Kahirah melindungi keselamatan air dan makanannya mengikut undang-undang antarabangsa.

China pada masa sama mempunyai hubungan ekonomi dan pelaburan yang mendalam dengan Habsyah, termasuk sebagai pembiaya utama projek prasarana.

Kedudukan ini mungkin membolehkan Beijing menjadi jambatan antara kedua-dua pihak.

China juga boleh menawarkan kerjasama teknikal, termasuk teknologi penyahgaraman air dan bantuan penderiaan jauh.

Tetapi sebarang pengantaraan hanya berkesan jika Habsyah yakin China tidak sekadar menyebelahi Mesir.

Menurut Cik Tsedale, Addis Ababa melihat pertikaian itu sebagai pertembungan antara tuntutan Kahirah terhadap “hak air yang telah ditetapkan” dengan tuntutan Habsyah supaya sumber Sungai Nil digunakan secara lebih saksama oleh semua negara lembangan.

Habsyah juga bimbang peraturan mengenai GERD akhirnya boleh berubah menjadi perjanjian pembahagian air Sungai Nil secara kekal yang mengehadkan pembangunan projek hulu pada masa depan.

Pengalaman lalu menjelaskan mengapa Addis Ababa berhati-hati terhadap pengantara luar.

Pada Februari 2020, selepas Habsyah tidak menghadiri rundingan terakhir dan meminta lebih banyak masa, Amerika meneruskan proses itu bersama Mesir dan Sudan.

Washington kemudian menyifatkan perjanjian yang dicadangkan sebagai seimbang dan memberi amaran kepada Habsyah supaya tidak mengisi takungan GERD tanpa persetujuan.

Amerika kemudian membekukan bantuan sehingga AS$100 juta apabila Habsyah mula mengisi takungan.

Kenyataan Presiden Donald Trump ketika itu bahawa Mesir mungkin “meletupkan” GERD turut menghakis kepercayaan Habsyah terhadap Washington sebagai pengantara neutral.

Pada Januari 2026, Encik Trump sekali lagi menawarkan Amerika sebagai pengantara dalam pertikaian pembahagian air Sungai Nil.

Presiden Sisi dan ketua tentera Sudan, Jeneral Abdel Fattah al-Burhan, menyambut baik cadangan tersebut, tetapi sehingga kini belum ada proses rundingan rasmi diumumkan.

Empangan boleh jadi jalan kerjasama

Profesor penyelidikan keamanan dan konflik Universiti Uppsala, Encik Ashok Swain, berpendapat lebih banyak empangan tidak semestinya membawa kepada konflik.

Sebaliknya, rangkaian empangan yang diselaraskan boleh mengawal aliran air, mengurangkan risiko banjir, menghasilkan tenaga dan membuka ruang kepada perdagangan elektrik antara Habsyah, Sudan dengan Mesir.

“Haluan yang dipilih akan kurang bergantung pada empangan itu sendiri berbanding bagaimana ia dirancang dan dikendalikan,” katanya.

Jalan penyelesaian justeru memerlukan lebih daripada perjanjian teknikal mengenai GERD.

Perkongsian data, rundingan sebelum pembinaan empangan, peraturan pembahagian air ketika kemarau dan kemungkinan Mesir membeli elektrik dari Habsyah boleh mewujudkan kepentingan bersama.

Pada masa sama, isu akses Habsyah ke Laut Merah mungkin perlu dimasukkan dalam perbincangan keselamatan serantau yang lebih luas.

Encik Shinn berkata satu isu yang mungkin menarik perhatian Habsyah terhadap tolak ansur mengenai Sungai Nil ialah jika Mesir membantu membuka rundingan dengan Eritrea mengenai akses kekal Habsyah ke Laut Merah.

Namun, persoalannya ialah apakah keuntungan yang bakal diperoleh Mesir daripada aturan sedemikian, sementara Eritrea juga mungkin menuntut insentif besar.

Tanpa pendekatan lebih luas, pembinaan empangan secara sepihak, ancaman, sentimen nasionalisme dan persaingan mengenai pelabuhan, Somalia serta Laut Merah hanya akan menegarkan pendirian kedua-dua pihak.

Persoalannya kini bukan lagi sama ada Habsyah akan terus membangunkan Sungai Nil Biru.

GERD menunjukkan Addis Ababa mempunyai keupayaan dan kemahuan politik untuk berbuat demikian.

Persoalan yang lebih besar ialah sama ada Mesir dan Habsyah dapat membina mekanisme untuk menguruskan sungai yang mereka sama-sama perlukan sebelum persaingan mengenai air dan Laut Merah bertukar menjadi krisis geopolitik yang jauh lebih berbahaya.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti
Laporan berkaitan