PARIS: Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani, mendedahkan bahawa para pengantara yang membantu mencapai perjanjian gencatan senjata di Gaza telah menangguhkan rundingan mengenai isu lebih rumit seperti pelucutan senjata Hamas kerana kedua-dua pihak belum bersedia mencapai persetujuan menyeluruh.
Dalam temu bual bersama The New York Times, Sheikh Mohammed, menjelaskan bahawa keutamaan kini adalah untuk menamatkan pertempuran dan menyelamatkan nyawa, sebelum beralih kepada isu struktur keselamatan dan pentadbiran pascaperang.
“Jika kami teruskan rundingan secara menyeluruh sejak awal, kami tidak akan mencapai hasil seperti ini,” katanya ketika ditemui di Paris pada 10 Oktober selepas menghadiri mesyuarat bersama Presiden Perancis, Encik Emmanuel Macron, serta beberapa menteri luar Arab dan Eropah bagi membincangkan masa depan Gaza.
Sheikh Mohammed, yang memainkan peranan utama dalam rundingan antara Israel dengan Hamas, berkata keputusan menangguhkan isu sukar itu membolehkan perjanjian dicapai termasuk gencatan senjata dan pertukaran semua tebusan Israel di Gaza dengan kira-kira 2,000 tahanan Palestin.
Menurut beliau, Hamas kini menunjukkan kesediaan untuk berbincang mengenai hubungan baru dengan Israel.
“Hamas sebenarnya terbuka untuk berbincang tentang bagaimana mereka tidak lagi menjadi ancaman kepada Israel,” ujar Sheikh Mohammed.
Kenyataan itu dilihat sebagai isyarat perubahan nada daripada kepimpinan Hamas, yang sebelum ini menolak sebarang bentuk pelucutan senjata.
Setakat ini, pejabat Perdana Menteri Israel dan Kementerian Luar Israel belum memberikan sebarang ulasan terhadap kenyataan tersebut.
Hamas sebelum ini pernah menyatakan kesediaan untuk melaksanakan gencatan senjata jangka panjang.
Pada Mac lalu, ketua perunding Hamas, Encik Khalil al-Hayya, memaklumkan kepada pegawai Amerika Syarikat di Qatar bahawa kumpulan itu terbuka untuk gencatan lima hingga 10 tahun dalam tempoh tersebut.
Namun selepas perang berlarutan selama dua tahun, Hamas kekal menolak pelucutan senjata secara terbuka.
Kumpulan itu mencadangkan satu dialog nasional Palestin bagi menentukan masa depan Gaza, termasuk soal pengurusan senjata.
Sumber dalaman Hamas turut mengakui berlaku perpecahan pandangan dalam kalangan pemimpinnya.
Ada yang mahu terus mempertahankan senjata walaupun berisiko mencetuskan perang baru, manakala sebahagian lain berpendapat Hamas perlu lebih pragmatik demi kelangsungan politiknya.
“Dengan menyerahkan baki tebusan, Hamas sebenarnya telah melepaskan pengaruh penting terhadap Israel tanpa jaminan jelas bahawa semua tuntutannya akan dipenuhi,” kata seorang diplomat Arab yang terlibat dalam rundingan tersebut.
Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, berulang kali menegaskan bahawa pelucutan senjata Hamas adalah syarat utama untuk menamatkan perang Gaza secara kekal.
“Hamas mesti dilucutkan senjata dan Gaza perlu bebas tentera, sama ada melalui diplomasi atau kekuatan tentera,” katanya.
“Ia pasti akan dicapai sama ada cara mudah atau sukar.”
Bagi Hamas, tuntutan Israel itu dianggap sebagai bentuk penyerahan kerana perjuangan bersenjata telah lama menjadi asas penentangan mereka terhadap pendudukan Israel.
Namun beberapa pengantara Arab percaya mereka boleh meyakinkan Hamas untuk melucutkan senjata secara berperingkat dengan syarat Presiden Amerika, Encik Donald Trump, memberi jaminan bahawa Israel tidak akan menyambung semula perang.
Sheikh Mohammed menjelaskan bahawa satu persoalan besar yang masih belum diselesaikan ialah “kepada siapa Hamas akan menyerahkan senjatanya”.
“Memberi senjata kepada pihak berkuasa Palestin tidak sama dengan menyerahkannya kepada entiti lain,” katanya, dan menekankan bahawa isu itu memerlukan rundingan teliti dan jaminan politik.
Pelan jalan damai Presiden Trump untuk menamatkan perang Gaza menyeru penubuhan pasukan penstabilan antarabangsa sementara bagi mengawasi peralihan kuasa di Gaza.
Sheikh Mohammed menyatakan bahawa perbincangan mengenai pembentukan pasukan itu perlu dimulakan segera.
“Pasukan penstabilan itu berkait rapat dengan pelucutan senjata Hamas dan pengunduran berperingkat tentera Israel,” katanya.
Menurut rancangan Amerika, pasukan tersebut akan mengambil alih kawalan keselamatan dan melatih anggota polis Palestin serta membantu mengawasi sempadan.
Tentera Israel pula dijangka berundur mengikut “piawaian, pencapaian dan tempoh masa” yang telah dipersetujui sejajar dengan proses pengunduran ketenteraan berperingkat.
Sheikh Mohammed menegaskan hanya dengan langkah berperingkat dan komitmen kedua-dua pihak, “peluang sebenar untuk keamanan kekal di Gaza akhirnya dapat direalisasikan.” – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg