SPH Logo mobile
Langgan|

Ribuan penduduk lari selamatkan diri dari Bandar Gaza ‘sedang terbakar’

Ribuan penduduk lari selamatkan diri dari Bandar Gaza ‘sedang terbakar’

Israel dikritik sekutu, Eropah kecam operasi tidak bertanggungjawab
Sep 17, 2025 | 10:42 AM

Ribuan penduduk lari selamatkan diri dari Bandar Gaza ‘sedang terbakar’

pelarian, palestin
Penduduk Palestin bergerak bersama barangan mereka menuju ke selatan di sebuah jalan di kawasan Kem Pelarian Nuseirat di tengah Jaluran Gaza susulan arahan pemindahan baru Israel untuk Bandar Gaza pada 16 September. - Foto AFP

BANDAR GAZA: Tentera Israel melancarkan serangan paling dahsyat dalam tempoh dua tahun peperangan, menghujani Bandar Gaza dengan bom dan peluru sehingga memaksa ribuan penduduk melarikan diri.

Serangan itu disifatkan oleh Setiausaha Agung, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Encik Antonio Guterres, sebagai “mengerikan”.

“Gaza sedang terbakar,” kata Menteri Pertahanan Israel, Encik Israel Katz di wadah X.

Gambaran itu disokong oleh deretan van, kereta keldai sarat dengan perabot, dan penduduk yang hanya mampu menggalas barang terakhir mereka, bergerak di sepanjang Jalan al-Rashid dengan asap hitam menjulang dari bangunan yang musnah.

Ramai penduduk yang pada awalnya bertekad bertahan akhirnya terpaksa mengalah.

“Kami bersumpah tidak akan tinggalkan rumah, tetapi selepas bom memusnahkan masjid berhampiran, tiada pilihan lagi,” kata seorang penduduk yang sedang menuju ke selatan bersama keluarganya.

Serangan udara Israel pada 17 September mengorbankan sekurang-kurangnya 91 orang di Bandar Gaza.

Menurut pihak kesihatan, salah sebuah bom mengenai sebuah kenderaan yang sedang membawa pelarian di jalan pesisir pantai.

Sebanyak 17 bangunan kediaman musnah, termasuk Masjid Aybaki di kejiranan Tuffah, timur Gaza, yang dibedil pesawat pejuang Israel.

Tentera Israel turut menggunakan robot sarat bahan letupan untuk meratakan kawasan utara, selatan, dan timur bandar itu.

Laporan daripada kumpulan hak asasi Euro-Med Monitor mendedahkan bahawa 15 mesin pemusnah itu mampu menghancurkan sehingga 20 unit rumah setiap satu.

Tentera Israel menganggarkan kira-kira 350,000 orang telah melarikan diri dari Bandar Gaza.

Namun, Pejabat Media Pemerintah Gaza menyatakan jumlah sebenar lebih tinggi, dengan 350,000 berpindah ke kawasan tengah dan barat bandar, serta 190,000 lagi meninggalkan bandar sepenuhnya.

Bagi mereka yang ke selatan, keadaan juga tidak menjanjikan harapan.

Kem al-Mawasi yang sudah sesak kini dibedil, menyebabkan sebahagian penduduk kembali semula ke Bandar Gaza.

“Kami kembali kerana keadaan di al-Mawasi lebih teruk daripada tinggal di antara runtuhan,” kata seorang wanita berusia 40 tahun.

Tentera Israel turut menayangkan rakaman udara yang menunjukkan puluhan kereta kebal mara lebih jauh ke dalam Bandar Gaza.

Jurucakap tentera, Encik Effie Defrin, mengakui operasi menawan bandar itu akan mengambil masa panjang.

“Tidak kira berapa lama diperlukan, kami akan terus beroperasi di Gaza,” katanya.

Menurut sumber perubatan, sekurang-kurangnya 106 orang terbunuh di seluruh Gaza sejak awal pagi 17 September.

Pada hari yang sama, Suruhanjaya Siasatan PBB menyimpulkan bahawa perang Israel di Gaza merupakan satu tindakan genosid.

Laporan itu menekankan “niat khusus” atau dolus specialis Israel untuk memusnahkan rakyat Palestin sebagai sebuah bangsa.

Kementerian Luar Palestin menyambut baik laporan itu.

“Keadaan di Gaza hari ini membawa kepada malapetaka kemanusiaan yang tidak boleh ditangguhkan lagi,” kata kenyataan kementerian itu di wadah X.

Gelombang kritikan terhadap Israel semakin meningkat.

Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres menegaskan bahawa perang itu “tidak boleh diterima dari segi moral, politik dan undang-undang”.

Kementerian Luar Perancis menggesa Israel menghentikan kempen pemusnahan yang “tidak lagi mempunyai logik ketenteraan”.

Presiden Ireland, Ebcik Michael D Higgins, pula menyelar pihak yang “melakukan genosid dan mereka yang menyokongnya dengan senjata”.

“Kita harus berani mempertimbangkan pengecualian mereka daripada PBB dan menamatkan perdagangan dengan pihak yang melakukan kekejaman ini,” katanya.

Beberapa sekutu lama Israel turut mengutuk operasi ke atas Bandar Gaza.

Menteri Luar Britain, Encik Yvette Cooper, menyifatkan tindakan Israel sebagai “sangat tidak bertanggungjawab dan mengerikan”.

Beliau menegaskan: “Ia hanya akan menambah pertumpahan darah, membunuh lebih ramai orang awam yang tidak berdosa, dan membahayakan tebusan yang masih tinggal.”

Jerman turut mengecam serangan itu. Menteri Luar, Encik Johann Wadephul, berkata:

“Israel sedang berada di jalan yang salah. Kami menolak perkara ini dan sudah menyatakannya kepada pemerintah Israel.”

Kesatuan Eropah (EU) memberi amaran bahawa serangan akan menambah penderitaan rakyat Gaza.

“Campur tangan ketenteraan akan membawa lebih banyak kemusnahan, lebih banyak kematian, dan lebih ramai yang kehilangan tempat tinggal,” kata Jurucakap Suruhanjaya Eropah, Encik Anouar El Anouni.

Menteri Luar Sweden, Cik Maria Stenergard, menggesa EU mengenakan sekatan ke atas “menteri Israel yang ekstremis” serta membekukan perdagangan tertentu.

Sementara itu, Ketua Dasar Luar EU, Cik Kaja Kallas, berkata Suruhanjaya Eropah akan membentangkan langkah baru bagi memberi tekanan kepada Israel.

“Penggantungan konsesi perdagangan dan sekatan terhadap menteri serta peneroka ganas akan memberi isyarat jelas bahawa EU menuntut perang ini dihentikan,” katanya.

Namun, Republik Czech mengambil pendirian berbeza.

Menteri Luar Encik Jan Lipavsky menegaskan bahawa beliau akan menolak sebarang cadangan menggantung perjanjian perdagangan dengan Israel.

Kritikan ini dikeluarkan selepas berbulan-bulan kemarahan dunia terhadap tindakan Israel.

Rancangan untuk menguasai Bandar Gaza menutup peluang rundingan gencatan senjata dengan Hamas.

Beberapa negara Eropah bersama Canada dan Australia sudah menyatakan kesediaan mengiktiraf negara Palestin sekiranya Israel enggan mengubah haluan.

“Ini bukan sekadar krisis Gaza, tetapi ujian kepada hati nurani antarabangsa,” kata seorang diplomat Eropah, memberi amaran bahawa kesabaran dunia semakin tipis terhadap tindakan Israel. – Agensi berita.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg