Timur Tengah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ribuan rai pembebasan tebusan dan tahanan Israel, Palestin

1,968 tahanan Palestin, 20 tebusan Israel dibebaskan
Oct 14, 2025 | 4:16 PM
tahanan, palestine, israel, dibebaskan
Tahanan Palestin yang dibebaskan oleh Israel sebagai sebahagian daripada pertukaran tebusan-tahanan dan perjanjian gencatan senjata antara Hamas dengan Israel di Khan Younis, selatan Jaluran Gaza, pada 13 Oktober. - Foto REUTERS

GAZA/TEL AVIV: Kegembiraan bergema di dua tanah air berbeza – satu di Ramallah, satu lagi di Tel Aviv – apabila tahanan Palestin dan tebusan Israel akhirnya pulang ke pangkuan keluarga selepas dua tahun peperangan berlarutan dan menelan puluhan ribu nyawa.

Di Tebing Barat dan Gaza, ribuan rakyat Palestin meraikan kepulangan hampir 2,000 tahanan dan banduan Palestin yang dibebaskan oleh Israel di bawah perjanjian gencatan senjata terkini yang diusul Amerika Syarikat.

Pada masa yang sama, Israel turut bersatu dalam saat penuh emosi apabila tebusan terakhir mereka pulang dari Gaza.

Di Ramallah, suasana penuh emosi menyelubungi jalan utama sejak awal pagi 13 Oktober.

Keluarga menunggu dengan linangan air mata ketika bas membawa tahanan.

Mereka berlari memeluk insan tersayang, sebahagiannya kelihatan lemah dan kurus selepas bertahun-tahun dipenjara.

“Perasaan ini sukar digambarkan,” kata Encik Nasser Shehadeh, yang dibebaskan selepas tiga tahun menjalani hukuman penjara 17 tahun kerana menyerang dua askar Israel.

“Saya diberitahu tiga hari lalu bahawa saya akan bebas. Sejak itu, saya tidak dapat tidur,” katanya.

Menurut Perkhidmatan Penjara Israel, semua 1,968 tahanan Palestin yang dijadual untuk pertukaran telah dibebaskan pada 13 Oktober.

Ini termasuk 250 pesalah yang disabit kesalahan keganasan serta 1,700 tahanan yang ditahan tanpa perbicaraan sepanjang perang.

Daripada jumlah itu, lebih 150 dihantar ke buangan, manakala tahanan Gaza dibawa melalui lintasan Rafah ke Mesir.

Bagi ramai keluarga, kepulangan itu disambut dengan linangan air mata kesyukuran bercampur sedih melihat keadaan insan tersayang.

“Kami gembira abang saya pulang, tapi keadaannya menyedihkan,” kata Cik Halima Abu Shanab, 53 tahun, apabila melihat abangnya Encik Kamal yang telah dipenjara selama 23 tahun.

“Dia penuh lebam, bahunya cedera dan tidak dirawat selama berbulan-bulan.”

Bapa kepada Encik Nasser Shehadeh, Encik Bilal, turut meluahkan kebimbangan.

“Mereka bukan sahaja kekurangan makanan, malah tidak dibenarkan mandi atau menggunakan sabun.

“Keutamaan kami sekarang ialah memastikan Nasser mendapat rawatan perubatan,” katanya.

Namun, pihak Perkhidmatan Penjara Israel menafikan dakwaan penderaan terhadap tahanan, dengan kenyataan bahawa mereka “beroperasi mengikut undang-undang dan tidak menyedari sebarang kejadian seperti yang dilaporkan”.

Sementara itu di Israel, rakyat mengalirkan air mata kelegaan dan kegembiraan apabila 20 tebusan terakhir yang masih hidup dibebaskan dari Gaza.

Di Tel Aviv, Dataran Tebusan penuh sesak sejak awal pagi 13 Oktober dengan ribuan orang yang menyaksikan siaran langsung di skrin besar.

Di pangkalan tentera Re’im di selatan Israel, keluarga memeluk insan tersayang yang baru kembali – kurus, letih, namun masih mampu berdiri.

“Ini hari penuh makna, hari kebahagiaan besar untuk Israel,” kata Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, dalam ucapannya di Knesset bersama Presiden Amerika, Encik Donald Trump.

“Dua tahun ini adalah masa peperangan. Tahun-tahun mendatang, kita harap, akan menjadi masa untuk kedamaian – di dalam dan luar Israel.”

Antara yang menarik perhatian ialah pertemuan semula pasangan dan saudara yang terpisah selama dua tahun.

Kembar Encik Gali dan Encik Ziv Berman, yang diculik dari kampung mereka pada 2023, akhirnya berpelukan semula, memakai baju kuning pasukan bola sepak kegemaran mereka, Maccabi Tel Aviv.

Di Gaza, wanita muda bernama Cik Amani Nasir, 30 tahun, turut menyaksikan kenderaan Palang Merah membawa tebusan Israel pulang ke sempadan.

Namun baginya, hari itu membawa makna yang lebih luas.

“Hari ini hari paling bahagia dalam hidup kami,” katanya.

“Kami gembira untuk tahanan Palestin dan juga untuk rakyat Israel. Kami cintakan keamanan dan gencatan senjata.”

Kata-kata Cik Amani menggambarkan sentimen bersama yang jarang berlaku antara dua pihak yang berperang.

Dalam detik singkat itu, kegembiraan dua bangsa bertembung satu menyambut kepulangan tahanan, satu lagi menjemput tebusan pulang.

Namun, tidak semua mampu bergembira. Sesetengah keluarga di Ramallah pula kecewa apabila mendapati nama ahli keluarga mereka digugurkan pada saat akhir.

“Nama adik saya ada dalam senarai semalam (12 Oktober), tapi pagi ini (13 Oktober) tiada,” kata Encik Nuhad Hammami, yang menunggu abangnya, Mohammed.

“Kami takut dia mungkin dihantar ke Gaza. Di sana semuanya hancur di mana dia akan tidur?”

Bagi sesetengah rakyat Israel pula, pembebasan tahanan membawa kenangan pahit.

Cik Renana Meir, anak kepada Encik Dafna Meir, yang dibunuh oleh salah seorang tahanan yang kini dibebaskan, menulis dengan penuh emosi:

“Apabila pengganas itu dibebaskan, seluruh rakyat Israel akan membayar harga itu. Tiada rumah yang akan berasa selamat lagi.”

Namun ada juga yang memilih untuk memaafkan demi keamanan.

Encik Abraham Moses, yang kehilangan isteri dan anak akibat serangan pada 1987, berkata:

“Jika pembebasan mereka dapat menyelamatkan keluarga lain daripada penderitaan yang sama, maka biarlah.”

Bagi kededua belah pihak, perjanjian itu membawa penutupan simbolik kepada dua tahun peperangan.

Buat kali pertama, tiada lagi tebusan hidup di Gaza, dan gencatan senjata kekal tampak lebih nyata.

“Kita semua letih dengan peperangan,” kata seorang penduduk Gaza kepada Al Jazeera.

“Hari ini, kita menangis bukan kerana kehilangan, tetapi kerana harapan bahawa masa depan akan lebih aman.” – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg