Timur Tengah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Trump umum perang Gaza telah berakhir

Presiden AS ke Israel dan kemudian ke Mesir bagi sidang puncak libat lebih 20 pemimpin dunia bagi sokong pelan damai Gaza usulannya
Oct 13, 2025 | 10:28 AM
Donald Trump, perang Gaza, Israel
Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, menunjukkan isyarat jempol sambil menaiki pesawat ‘Air Force One’ ketika berlepas ke Israel pada 12 Oktober. - Foto REUTERS

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, mengisytiharkan bahawa “perang di Gaza sudah berakhir” ketika beliau berlepas ke Israel dan Mesir untuk menghadiri siri mesyuarat penting bagi mengukuhkan pelan damai yang diusahakannya.

Bercakap kepada wartawan di atas pesawat Air Force One pada 12 Oktober, Encik Trump menyatakan keyakinannya terhadap perjanjian gencatan senjata dan pembebasan tebusan antara Israel dengan Hamas.

“Perang sudah berakhir. Faham? Ia sudah berakhir,” katanya dengan nada tegas.

Ketika ditanya sama ada gencatan itu akan kekal, beliau menjawab: “Saya rasa ia akan kekal. Semua orang sudah penat. Konflik ini sudah berlarutan selama berabad-abad.”

Encik Trump, 79 tahun, dijadual bertemu keluarga tebusan Israel yang diculik oleh Hamas dalam serangan rentas sempadan pada 7 Oktober 2023 sebelum menyampaikan ucapan di Parlimen Israel di Baitulmakdis.

Selepas itu, beliau akan menuju ke Mesir untuk mempengerusikan sidang kemuncak bersama Presiden Abdel Fattah al-Sisi, melibatkan lebih 20 pemimpin dunia bagi menyokong pelan damai Gaza anjurannya.

Di bawah pelan damai Amerika itu, Hamas akan membebaskan semua tebusan yang masih hidup, manakala Israel akan melepaskan kira-kira 2,000 tahanan Palestin.

Namun, rundingan terakhir masih berlangsung sehingga lewat malam 12 Oktober dengan dua sumber Hamas memberitahu agensi berita, AFP, bahawa kumpulan itu menuntut tujuh pemimpin kanan Palestin dimasukkan dalam senarai pembebasan.

Jurucakap pejabat Perdana Menteri Israel, Cik Shosh Bedrosian, berkata pembebasan tebusan dijadual bermula pada pagi 13 Oktober.

“Kami menjangkakan kesemua 20 tebusan hidup akan dibebaskan serentak,” katanya.

Namun, seorang pegawai kanan tentera Israel memberi amaran: “Malangnya, tidak semua mayat tebusan akan dipulangkan esok (13 Oktober).”

Menurut Cik Bedrosian, sebuah badan antarabangsa akan ditubuhkan untuk menjejak baki mangsa yang tidak dikembalikan.

Beliau menambah bahawa tahanan Palestin hanya akan dilepaskan selepas semua tebusan disahkan selamat kembali ke wilayah Israel.

Sumber Hamas memberitahu bahawa kumpulan itu telah “menyelesaikan semua persiapan” untuk menyerahkan semua tebusan hidup kepada Israel.

Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, dalam ucapannya menyifatkan saat ini sebagai “malam penuh emosi, malam air mata dan kegembiraan”.

“Esok (13 Oktober) anak-anak kita akan kembali ke tanah air,” katanya sambil menegaskan bahawa perjuangan masih belum berakhir.

“Kita mencapai kemenangan besar yang mengagumkan dunia, tetapi pertempuran belum selesai.”

Ketua Turus Tentera Israel, Leftenan Jeneral Eyal Zamir, pula mendakwa kemenangan berpihak kepada Israel.

“Tekanan ketenteraan yang kami jalankan selama dua tahun, bersama usaha diplomatik telah membuahkan hasil, satu kemenangan terhadap Hamas,” katanya.

Selepas lawatan ke Israel, Encik Trump dan Presiden al-Sisi akan mempengerusikan sidang kemuncak di Sharm El-Sheikh dengan kehadiran pemimpin daripada Britain, Italy, Sepanyol, Perancis, Jordan dan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Encik Antonio Guterres.

Namun, tiada wakil Israel atau Hamas akan hadir.

Sidang itu dijangka menandakan fasa baru dalam usaha damai Timur Tengah selepas dua tahun perang yang meragut lebih 67,000 nyawa di Gaza, kata Kementerian Kesihatan wilayah itu.

Data PBB menunjukkan lebih separuh daripada mangsa terdiri daripada wanita dan kanak-kanak.

Walaupun gencatan senjata masih berjalan, keadaan di Gaza kekal tegang.

Penduduk Khan Younis dilaporkan berebut mendapatkan bantuan makanan yang tiba melalui konvoi kemanusiaan.

“Semua orang takut perang akan kembali,” kata Encik Mahmud al-Muzain, seorang penduduk tempatan.

“Kami menyimpan makanan kerana kami tidak percaya rundingan ini akan membawa keamanan kekal.”

Di Israel, keluarga tebusan mula menunggu dengan penuh harapan.

Cik Einav Zangauker, ibu kepada Encik Ebci Matan Zangauker, 25 tahun, yang ditawan sejak 2023, berkata:

“Perasaan saya sukar digambarkan. Seluruh Israel menunggu mereka pulang.”

Encik Trump turut menyatakan hasrat untuk melawat Gaza suatu hari nanti.

“Saya berbangga untuk berbuat demikian. Saya mahu sekurang-kurangnya menjejakkan kaki di sana,” katanya.

Beliau berkata pelan damainya turut merangkumi pembentukan badan pentadbiran baru bagi Gaza yang akan ditubuhkan “dalam masa terdekat”.

Ketika ditanya mengenai penglibatan mantan Perdana Menteri Britain, Encik Tony Blair, dalam rancangan tersebut, Encik Trump berkata: “Saya sukakan Tony, tapi saya mahu pastikan semua pihak menerima beliau.”

Walaupun Hamas mengalami kehilangan besar termasuk terbunuhnya beberapa pemimpin utama, kumpulan itu masih enggan melucutkan senjata.

Sumber rapat dengan jawatankuasa rundingan Hamas memberitahu AFP bahawa mereka “tidak akan mengambil bahagian dalam pentadbiran Gaza pasca perang” tetapi juga “tidak akan menyerahkan senjata”.

Encik Trump, bagaimanapun, menegaskan beliau memiliki jaminan daripada semua pihak.

“Kami mempunyai banyak jaminan lisan, dan saya tidak fikir mereka akan mengecewakan saya,” katanya.

Beliau turut menegaskan hubungannya dengan Encik Netanyahu kini baik.

“Kami pernah berselisih, tapi semuanya telah diselesaikan,” ujar Encik Trump.

Lawatan tergempar itu, kata Encik Trump, merupakan “peristiwa istimewa” dan simbol kepada “permulaan baru bagi keamanan di Timur Tengah”. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg