Topik diikuti
Pergi ke BHkuYaman di ambang perang baharu: Bab el-Mandeb jadi rebutan, Houthi mara, Saudi tertekan
Yaman di ambang perang baharu: Bab el-Mandeb jadi rebutan, Houthi mara, Saudi tertekan
Konflik bukan lagi perang saudara ia kian jadi saingan serantau lebih luas berkait perang Amerika-Iran
Yaman di ambang perang baharu: Bab el-Mandeb jadi rebutan, Houthi mara, Saudi tertekan
SANAA: Selepas hampir empat tahun tanpa perubahan besar di medan perang, Yaman sekali lagi berada di ambang konflik berskala penuh.
Ia didorong bukan sahaja oleh persaingan dalaman, malah pertarungan lebih luas membabitkan Houthi, pemerintah Yaman, Arab Saudi, Iran dan Amerika Syarikat.
Perkembangan terkini menunjukkan hampir setiap pihak mempunyai sebab tersendiri untuk meningkatkan tekanan ketenteraan.
Keadaan menjadi kian genting selepas Houthi melancarkan serangan besar-besaran di sepanjang pantai Laut Merah dan menawan Mokha serta kawasan berhampiran Selat Bab el-Mandeb, salah satu laluan perkapalan paling penting di dunia.
Menurut penyelidik Yaman dan penasihat dasar, Encik Ibrahim Jalal, kemaraan itu memberikan Houthi kedudukan strategik yang jauh lebih kuat kerana Bab el-Mandeb menghubungkan Laut Merah dengan Teluk Aden dan seterusnya Laut Arab.
Agensi berita, Reuters, melaporkan kemaraan Houthi turut mendedahkan kelemahan pasukan Yaman yang disokong Arab Saudi.
Ia termasuk masalah penyelarasan dan kegagalan mengesan persiapan besar Houthi sebelum serangan dilancarkan.
Perkembangan itu bermakna konflik Yaman tidak lagi boleh dilihat semata-mata sebagai perang saudara.
Ia semakin menjadi sebahagian daripada persaingan serantau lebih luas yang kini turut berkait dengan perang Amerika-Iran.
Houthi mahu kuasa dan sumber, Iran mahu tingkat tekanan ke atas AS
Houthi muncul sebagai kuasa utama selepas menawan Sanaa pada 2014 dan mengusir pemerintah Yaman dari ibu kota.
Campur tangan tentera pakatan pimpinan Arab Saudi bermula pada tahun berikutnya, tetapi gagal menyingkirkan Houthi.
Gencatan senjata usaha Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 2022 membawa tempoh relatif tenang.
Houthi kemudian mengukuhkan penguasaannya di utara Yaman, termasuk kawasan yang menempatkan sebahagian besar penduduk negara itu.
Masalahnya, Houthi tidak mempunyai akses penuh kepada hasil minyak Yaman.
Rundingan perkongsian hasil negara gagal menemukan penyelesaian khusus yang muktamad, sedangkan keadaan ekonomi di wilayah kawalan Houthi kian merosot.
Krisis itu memicu Houthi untuk meningkatkan tekanan ketenteraan demi meraih kelebihan dalam rundingan.
Antara tuntutan yang pernah dikemukakan termasuk pembayaran gaji kakitangan awam di kawasan mereka menggunakan hasil minyak Yaman; pampasan akibat perang; serta kelonggaran sekatan terhadap pelabuhan dan lapangan terbang di bawah kawalan Houthi.
Dengan menawan kawasan strategik di Laut Merah, Houthi kini mempunyai aset rundingan yang lebih besar.
Faktor kedua ialah Iran.
Houthi mempunyai hubungan rapat dengan Teheran, walaupun kumpulan itu mempunyai agenda politik dan kepentingan tersendiri di Yaman.
Kedudukan geografi Yaman yang strategik melonjakkan nilai geopolitik Houthi sebagai proksi utama Iran.
Iran mempunyai pengaruh terhadap pergerakan kapal melalui Selat Hormuz, manakala Houthi kini berada dalam kedudukan lebih kuat untuk mengancam perkapalan melalui Bab el-Mandeb.
Ini memberikan Teheran dan sekutunya keupayaan memberi tekanan terhadap dua laluan penting perdagangan tenaga dunia.
Menurut Reuters, sumber pemerintah Yaman, Iran dan serantau berkata Iran membekalkan senjata serta memberikan panduan ketenteraan kepada Houthi.
Ia melibatkan serangan terbaharunya di sepanjang pantai Laut Merah, termasuk operasi yang membawa kepada penawanan pelabuhan strategik Mokha.
Teheran menafikan dakwaan Houthi merupakan proksinya atau operasi ketenteraan kumpulan itu didalangi oleh Iran.
Kepentingannya menjadi lebih besar sejak perang Amerika-Iran bermula pada Februari.
Gangguan di Selat Hormuz menyebabkan Arab Saudi semakin bergantung kepada laluan alternatif untuk menghantar minyak melalui Laut Merah.
Tekanan terhadap Bab el-Mandeb memberi kesan ekonomi jauh melampaui sempadan Yaman.
Pada 21 September, trafik kapal komoditi melalui Selat Hormuz dilaporkan jauh di bawah paras sebelum perang, manakala trafik melalui Bab el-Mandeb turut berkurangan.
Dengan kata lain, Yaman kini menjadi salah satu medan yang boleh digunakan untuk meningkatkan kos ekonomi perang serantau.
Bagi pemerintah Yaman yang diiktiraf masyarakat antarabangsa, peningkatan ketegangan antara Houthi dengan Arab Saudi pula membuka peluang untuk cuba merampas semula wilayah.
Selama beberapa tahun, matlamat itu sukar dicapai.
Pasukan anti-Houthi terdiri daripada pelbagai kumpulan dengan kepentingan dan struktur kepimpinan berbeza.
Perpecahan itu jelas kelihatan dalam kemaraan terkini Houthi apabila sebahagian pertahanan di pantai Laut Merah runtuh dengan pantas.
Arab Saudi kini berusaha memperkukuh penyelarasan pasukan berkenaan.
Matlamat maksimum pemerintah Yaman adalah mengembalikan seluruh negara di bawah penguasaannya.
Tetapi sasaran yang lebih praktikal mungkin untuk melemahkan Houthi dan menolak kumpulan itu dari kawasan strategik di pantai Laut Merah.
Persoalannya adalah sejauh manakah Riyadh bersedia menyokong operasi sedemikian?
Arab Saudi berdepan dilema, risiko perang lebih luas
Penganalisis mengenai Yaman dan negara-negara Teluk di Institut Perkhidmatan Bersatu Diraja (RUSI), sebuah badan pemikir yang berpangkalan di London, Encik Baraa Shiban, berkata bagi Arab Saudi, keadaan sekarang mewujudkan pilihan yang sukar.
Campur tangan ketenteraannya sebelum ini gagal mencapai matlamat utama untuk menewaskan Houthi, selain membawa kos kewangan dan politik yang tinggi.
Sejak 2022, Riyadh beralih kepada rundingan dengan harapan dapat menjamin keselamatan sempadan selatannya dan mengurangkan hubungan Houthi dengan Iran.
Pendekatan itu kini semakin terhakis.
Houthi bukan sahaja semakin kuat di Yaman, malah meningkatkan serangan terhadap bandar dan prasarana tenaga Arab Saudi.
Reuters melaporkan serangan terkini menyasarkan Riyadh dan kemudahan Saudi Aramco di Yanbu.
Bagi Riyadh, membiarkan Houthi mengukuhkan kedudukan di Bab el-Mandeb membawa risiko strategik.
Namun, perang besar juga boleh mengundang lebih banyak serangan dron dan peluru berpandu terhadap bandar, lapangan terbang dan kemudahan minyaknya.
Ia turut boleh menjejas usaha Putera Mahkota Mohammed bin Salman membangunkan Arab Saudi sebagai pusat perniagaan, pelancongan dan acara antarabangsa menjelang Ekspo Dunia 2030 dan Piala Dunia 2034.
Pilihan Riyadh menjadi lebih rumit kerana sokongan Amerika tidak semestinya merangkumi campur tangan ketenteraan secara langsung.
Paradoks Yaman sekarang
Presiden Amerika, Encik Donald Trump, dilaporkan tidak bersetuju dengan permintaan supaya Amerika melancarkan serangan terhadap Houthi, walaupun Washington menawarkan perkongsian risikan dan bantuan mengenal pasti sasaran kepada Riyadh.
Kebimbangan terbesar ketika ini adalah tanggapan setiap pihak bahawa peningkatan tekanan mampu mengukuhkan kedudukan mereka.
Houthi mahu menggunakan kejayaan ketenteraan untuk mendapatkan konsesi.
Pemerintah Yaman melihat peluang melemahkan Houthi.
Iran mendapat satu lagi cara menekan Amerika dan sekutunya, sementara Arab Saudi bimbang sikap berdiam diri hanya akan membolehkan Houthi menjadi lebih kuat.
Gabungan kepentingan itu menjadikan pendekatan bertolak ansur semakin sukar.
Golongan awam sekali lagi menanggung akibatnya.
Pertubuhan antarabangsa melaporkan sekurang-kurangnya 112,000 orang kehilangan tempat tinggal dalam tempoh dua minggu, sementara hampir 3,000 lagi melarikan diri melalui laut ke Djibouti.
Itulah paradoks Yaman sekarang.
Hampir semua pihak mempunyai sebab untuk mengelakkan satu lagi perang besar, tetapi pada masa yang sama masing-masing mempunyai sebab strategik untuk meningkatkan tekanan.
Jika perhitungan itu berterusan, konflik yang selama beberapa tahun berada dalam keadaan buntu boleh berubah menjadi perang yang lebih luas.
Kali ini, kesannya bukan sahaja menentukan masa depan Yaman, malah keselamatan Arab Saudi, persaingan Amerika-Iran serta aliran perdagangan dan tenaga melalui dua laluan maritim paling penting di dunia. – Agensi berita.