KUALA LUMPUR: Majoriti responden wanita muda di Malaysia yang ditinjau menyatakan mereka berasa tidak selamat memandu sendirian pada waktu malam.
Hasil satu tinjauan baru-baru ini mendapati 68 peratus wanita yang berusia antara 18 hingga 30 tahun menyatakan demikian.
Ini berbanding 15 peratus responden yang menyatakan mereka berasa selamat memandu berseorangan pada waktu malam manakala 17 peratus tidak tahu.
Angka itu adalah antara dapatan tinjauan oleh Centre for Governance and Political Studies (Cent-GPS), dengan kerjasama All Women's Action Society (Awam) antara 24 Ogos hingga 15 September lalu membabitkan 1,056 wanita warga, lapor Berita Harian Malaysia.
Tinjauan itu bertujuan mengenal pasti taraf keselamatan yang dirasakan oleh wanita kumpulan usia terbabit ketika mereka melakukan aktiviti harian.
Cent-GPS dalam kenyataan medianya berkata tinjauan dijalankan melalui kaedah temu ramah peribadi dibantu komputer (Capi) dalam bahasa pilihan mereka.
Menurut kenyataan itu, 44 peratus responden juga menyatakan mereka pernah mengalami pengalaman di mana guru membuat jenaka provokatif secara seksual, 45 peratus tidak ada pengalaman itu, manakala 11 peratus tidak pasti.
Ia menyatakan sebanyak 57 peratus pula pernah menerima sentuhan tidak diingini, 40 peratus tidak pernah manakala tiga peratus pula tidak tahu.
"Ketika ditanya adakah mereka berasa selamat menonton filem sendirian di pawagam, 52 peratus menyatakan mereka tidak berasa selamat, 37 peratus menyatakan selamat manakala 11 peratus pula tidak tahu.
"Daripada tinjauan, 71 peratus menyatakan mereka terpaksa mengubah laluan atau rutin perjalanan mereka kerana takut diganggu secara seksual, tiga peratus tidak tahu, manakala 26 peratus menyatakan tidak.
"Tinjauan juga mendapati 41 peratus menyatakan mereka pernah menerima mesej seksual yang tidak diingini di media sosial, 30 peratus menyatakan mereka pernah menerima mesej seksual yang tidak diingini di media sosial secara berkala, dan 25 peratus tidak pernah, manakala empat peratus tidak tahu," kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu lagi, sebanyak 37 peratus responden menyatakan berasa tidak selamat ketika dirawat oleh doktor lelaki, 11 peratus tidak pasti, manakala 52 peratus menyatakan merasa selamat.
Sebanyak 79 peratus responden pula menyatakan mereka tidak pernah menjadi mangsa sentuhan yang tidak diingini atau provokasi seksual daripada ahli keluarga, 18 peratus menyatakan pernah diperlakukan demikian manakala tiga peratus menjawab tidak tahu.
Cent-GPS berkata setiap persoalan harus menjadi pembuka mata bagi pemimpin dan golongan lelaki walaupun ia hanya tinjauan awal.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg