JAKARTA: Satu tinjauan terkini oleh Indikator Politik Indonesia menunjukkan bahawa majoriti besar rakyat Indonesia mempunyai keyakinan yang tinggi terhadap kemampuan Presiden Prabowo Subianto untuk memimpin negara itu dalam tempoh lima tahun akan datang.
Dengan 85 peratus responden menyatakan keyakinan mereka sebelum Encik Prabowo memulakan tugasnya dan kajian itu mencerminkan harapan tinggi serta keinginan rakyat untuk melihat perubahan positif di bawah kepimpinan baru.
Tinjauan dari 10 hingga 15 Oktober itu melibatkan 1,200 responden seluruh negara dalam lingkungan usia layak mengundi. Dapatan hasil tinjauan diumumkan pada 27 Oktober.
Margin ralat kajian tersebut adalah 2.9 peratus dengan tahap keyakinan 95 peratus.
Pengarah Eksekutif Indikator, Dr Burhanuddin Muhtadi, menyatakan bahawa keyakinan rakyat terhadap Encik Prabowo adalah jauh lebih tinggi berbanding dengan pendahulunya, Encik Joko ‘Jokowi’ Widodo dan Encik Susilo Bambang Yudhoyono.
“Keyakinan rakyat terhadap dua mantan presiden pada awal tempoh mereka adalah sekitar 60 peratus.
“Oleh itu, jika dibandingkan dengan mereka, Prabowo mempunyai sokongan rakyat yang sangat tinggi,” ujar Dr Burhanuddin dalam laporan, The Jakarta Post.
Terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada keyakinan tinggi itu.
Pertama, Encik Prabowo menjalankan kempen yang menekankan kesinambungan program yang telah dilaksanakan oleh Encik Jokowi.
Dengan sokongan kepada Encik Jokowi yang tinggi pada akhir tempoh pemerintahannya – sekitar 75 peratus, Encik Prabowo dilihat sebagai penyambung yang mampu meneruskan agenda pembangunan yang telah dimulakan.
Pengamat politik, Dr Philips Vermonte, menekankan bahawa hasil kajian itu menunjukkan kematangan politik dalam kalangan pengundi.
Beliau menyatakan: “Peratusan mereka yang yakin dengan kepimpinan Prabowo adalah jauh lebih tinggi daripada peratusan undi yang diterimanya semasa pilihan raya presiden iaitu 58 peratus.”
Ini menunjukkan bahawa walaupun terdapat pengundi yang tidak memilih Encik Prabowo, mereka tetap memberikan peluang kepada beliau untuk membuktikan diri.
Bagaimanapun, Dr Burhanuddin memberi amaran bahawa keyakinan tinggi itu mungkin menjadi “pedang bermata dua” untuk Encik Prabowo.
“Di satu pihak, ini menunjukkan bahawa Prabowo mempunyai modal politik yang besar untuk pentadbirannya, tetapi di pihak lain, jika beliau gagal memenuhi harapan tinggi rakyat terhadap kepimpinannya, penilaian beliau akan merudum dengan mendadak,” tambah Dr Burhanuddin.
Sebanyak 86 peratus responden menyatakan bahawa mereka mengetahui tentang program makanan percuma itu, dan 77.6 peratus menyokong daya usaha tersebut.
Program itu bertujuan memberikan makanan kepada 82 juta kanak-kanak dan wanita hamil bagi meningkatkan zat pemakanan anak.
Masalah kekurangan zat makanan adalah isu serius di Indonesia. Seorang daripada lima kanak-kanak berusia di bawah lima tahun mengalami masalah pertumbuhan.
Dalam wawancara televisyen, Liputan6, pada 28 Oktober, Encik Prabowo menegaskan:
“Sebagai sebuah negara yang mempunyai sumber daya alam yang kaya, kita tidak boleh membiarkan rakyat kita, terutama kanak-kanak, kelaparan.”
Encik Prabowo turut menyatakan keyakinannya bahawa Indonesia boleh mengikut kejayaan India dalam menyediakan makanan percuma kepada kanak-kanak sekolah.
Namun, terdapat keraguan mengenai logistik dan bebanan kewangan yang akan dihadapi dalam melaksanakan program tersebut.
Dalam kajian Indikator, responden mengenal pasti isu seperti harga barang makanan yang tinggi, pengangguran, kemiskinan, dan rasuah sebagai isu utama yang perlu ditangani oleh pemerintah dalam lima tahun akan datang.
Dr Burhanuddin menekankan: “Harga makanan yang tinggi, pengangguran, dan kemiskinan adalah isu yang perlu segera ditangani oleh pemerintah.”
Tinjauan itu kata Dr Burhanuddin menunjukkan bahawa, walaupun ada keyakinan terhadap kepimpinan Encik Prabowo, rakyat tetap prihatin terhadap isu mendesak yang memerlukan penyelesaian segera.
Tinjauan tersebut turut mendapati bahawa 81 peratus responden yakin Encik Prabowo dapat mengekalkan kedaulatan Indonesia dalam menghadapi situasi geopolitik yang tidak menentu.
Keyakinan itu mencerminkan harapan rakyat bahawa kepimpinan Encik Prabowo dapat menangani cabaran sejagat seperti perubahan iklim dan kecerdasan buatan (AI).
Dalam ucapan sulungnya, Encik Prabowo menekankan keperluan untuk mencapai kecukupan tenaga melalui pembangunan biofuel atau bahan api yang dihasilkan daripada sumber organik seperti tanaman atau sisa pertanian, tenaga geoterma, dan tenaga arang batu.
“Kita mesti sentiasa menyedari bahawa sebuah negara merdeka adalah negara yang rakyatnya bebas. Mereka mesti bebas daripada ketakutan, kemiskinan, kelaparan, dan penindasan,” ujar Encik Prabowo.
Tinjauan itu juga menunjukkan keyakinan rakyat Indonesia terhadap Encik Prabowo adalah hasil daripada harapan tinggi ke arah perubahan positif.
Namun, dengan harapan yang tinggi itu juga, ia datang seiring tanggungjawab yang besar.
Keberkesanan kepimpinan Encik Prabowo akan dinilai berdasarkan sejauh mana beliau dapat memenuhi janjinya dan menangani isu genting yang dihadapi oleh rakyat.
Melihat kepada keadaan semasa, Encik Prabowo mempunyai peluang besar untuk mencipta legasi positif. Tetapi ia memerlukan pendekatan strategik dan pemahaman mendalam terhadap keperluan rakyat.
Dengan sokongan yang tinggi itu, harapannya adalah agar kepimpinan Encik Prabowo tidak hanya memenuhi jangkaan, malah dapat membawa Indonesia ke arah kemajuan yang lebih mapan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg