DHAKA: Encik Tarique Rahman, calon utama dalam pilihan raya Parlimen yang akan datang, menamatkan hidup pengasingan selama 17 tahun di London dan kembali ke Bangladesh, satu langkah yang dijangka membawa perubahan besar dalam landskap politik negara Asia Selatan itu.
“Akhirnya di Sylhet, di bumi Bangladesh!” kata Encik Rahman, 60 tahun, dalam catatan Facebook pada 25 Disember.
Encik Rahman mendarat di lapangan terbang Dhaka diapit oleh isterinya, Cik Zubaida Rahman, dan anak perempuannya, Cik Zaima Rahman.
Beliau berjabat tangan dan berpelukan dengan anggota parti yang datang menyambutnya.
Pemangku pengerusi Parti Nasionalis Bangladesh (BNP) itu telah menetap di Britain semasa menghadapi tuduhan rasuah dalam zaman pemerintah sementara yang disokong tentera.
Beliau menafikannya sebagai “palsu.”
Encik Rahman pada mulanya meninggalkan negara itu untuk rawatan perubatan.
Pada 25 Disember, beliau berdiri tanpa alas kaki di luar terminal lapangan terbang – satu simbolik untuk berhubung semula dengan tanah airnya – sebelum menaiki bas kalis peluru untuk perarakan perayaan sejauh 13 kilometer ke tempat resepsi untuk berucap di hadapan orang ramai.
Beliau pulang ke Bangladesh selepas pemberontakan besar-besaran pada 2024 yang menggulingkan Perdana Menteri Sheikh Hasina dan meninggalkan Bangladesh di bawah pentadbiran sementara yang diketuai oleh pemenang Hadiah Nobel, Encik Muhammad Yunus.
Encik Rahman juga dikehendaki pentadbiran Hasina dalam pelbagai kes.
Kehadirannya dijangka akan memberi tenaga kepada akar umbi BNP dan mengisi kekosongan politik.
“Saya mempunyai rancangan untuk rakyat negara saya,” kata Encik Rahman dalam ucapan kepada penyokong yang telah berkumpul di Dhaka.
“Rancangan ini direka untuk kepentingan rakyat, untuk pembangunan negara dan untuk mengubah nasib rakyat,” tegasnya.
Pihak berkuasa telah menggugurkan semua pertuduhan yang belum selesai terhadap Encik Rahman selepas kejatuhan pemerintah Liga Awami pada Ogos 2024, termasuk sabitan dalam beberapa siri kes yang difailkan di bawah rejim sebelumnya.
Beliau ialah anak sulung mantan Perdana Menteri Khaleda Zia dan mantan Presiden Ziaur Rahman, pengasas BNP yang dibunuh pada 1981.
Encik Rahman yang telah berkhidmat sebagai pemangku pengerusi parti sejak ibunya dipenjarakan pada 2018, dijangka bertanding di kawasan pilihan raya Bogura-6, kubu kuat tradisional BNP di utara Bangladesh.
“Pada masa lalu, BNP menyelamatkan negara daripada ambang kemusnahan, dan ia akan berbuat demikian sekali lagi,” tambahnya. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg