TOKYO: Jepun bersiap sedia mengisytiharkan separa darurat seawal minggu ini di wilayah pulau selatan Okinawa disebabkan bilangan kes Covid-19 yang naik mendadak, menurut akhbar, The Mainichi, semalam.
Ini pengisytiharan yang pertama seumpamanya sejak 30 September lalu, apabila Jepun menarik balik semua arahan darurat dan separa darurat yang dilaksana bagi sebahagian besar tahun lalu.
Jangkitan baru di wilayah selatan Jepun itu melonjak kepada kira-kira 600 kes daripada 225 kes kelmarin, menurut seorang pegawai kerajaan Okinawa.
Namun, tiada butiran tentang jenis varian yang menyebabkan jangkitan baru itu walaupun gabenor Okinawa, Encik Denny Tamaki, memberitahu media bahawa rantau itu telah memasuki gelombang keenam jangkitan, dengan varian Omicron yang amat berjangkit bertanggungjawab bagi jumlah kes yang bertambah itu.
Sehingga Isnin lalu, sejumlah 993 kes varian Omicron telah dikesan di Jepun, termasuk 295 kes yang dianggap sebagai penularan dalam masyarakat, menurut Kementerian Kesihatan negara itu.
Pakar kesihatan Okinawa juga telah bertemu untuk memutuskan sama ada untuk meminta kerajaan pusat melaksana langkah segera, menurut pegawai kerajaan Okinawa itu.
Memberitahu media, Ketua Setiausaha Kabinet, Encik Hirokazu Matsuno, berkata kerajaan pusat berharap dapat memberi respons dengan segera terhadap sebarang permintaan bagi langkah kecemasan.
Menurut akhbar, The Mainichi, Encik Tamaki memberitahu Encik Matsuno bahawa beliau sedang mempertimbang untuk meminta arahan separa darurat dilaksana.
Ini termasuk mengehadkan waktu restoran dan bar dibenarkan dibuka.
Jepun juga meminta tentera Amerika Syarikat menjalankan segala usaha mengatasi koronavirus itu, kata Encik Matsuno.
Ini di tengah-tengah jumlah jangkitan yang bertambah di pangkalan tentera Amerika di Okinawa.
Encik Tamaki berkata bilangan jangkitan di pangkalan tentera Amerika di wilayah itu terus meningkat.
Jumlah kes baru Covid-19 di Jepun meningkat hingga lebih 1,000 kes buat kali pertama dalam tempoh tiga bulan, kelmarin. - Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg