Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

TEKANAN DI SEMPADAN RUSSIA-UKRAINE

AS tolak permintaan utama Russia halang Ukraine sertai Nato

Jan 28, 2022 | 05:30 AM



WASHINGTON: Amerika Syarikat menolak permintaan utama Russia untuk menghalang Ukraine daripada menyertai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) sambil berkata ia percaya Moscow bersedia menyerang negara jirannya itu.



Namun, Amerika juga menawarkan apa yang dipanggilnya "laluan diplomatik" baru untuk keluar daripada krisis itu.



Setiausaha Negara Amerika, Encik Antony Blinken, berkata beliau akan berbincang lagi dalam masa beberapa hari akan datang bersama Menteri Luar Russia, Encik Sergey Lavrov, sedang satu inisiatif berasingan oleh Perancis membawa kepada janji oleh Moscow untuk sekurang-kurangnya terus berbincang dengan Ukraine.



Sebulan selepas Russia mengemukakan cadangan keselamatan menyeluruh, setelah menghantar lebih 100,000 tentera ke sempadan Ukraine, Amerika menyampaikan jawapan, dengan penyelarasan bersama sekutu Nato, dan berkata ia bersedia bagi sebarang kemungkinan.



"Ia menetapkan laluan diplomatik yang serius ke hadapan sekiranya Russia memilihnya," kata Encik Blinken kepada wartawan mengenai respons Amerika, yang tidak didedahkan kepada umum.



Beliau memperbaharui tawaran mengenai langkah "timbal balik" untuk menangani kebimbangan keselamatan bersama, termasuk pengurangan peluru berpandu di Eropah dan ketelusan mengenai latihan ketenteraan dan bantuan Barat ke Ukraine.



Namun beliau menegaskan bahawa Amerika tidak akan berganjak berkaitan permintaan utama Russia supaya Ukraine tidak dibenarkan menyertai Nato, satu pakatan tentera yang disokong Amerika.



"Daripada perspektif kami, saya tidak boleh lebih jelas - pintu Nato terbuka, tetap terbuka, dan itu adalah komitmen kami," jelas Encik Blinken.



Russia, yang mempunyai hubungan penuh ketegangan dengan Ukraine, telah mencetuskan pemberontakan di kawasan timur bekas republik Soviet itu yang telah membunuh lebih 14,000 orang sejak 2014.



Pada tahun itu juga Russia merampas wilayah Crimea daripada Ukraine.



Amerika Syarikat telah memberi amaran tentang akibat amat buruk dan pantas jika Russia menceroboh Ukraine, termasuk kemungkinan sekatan peribadi terhadap Presiden, Encik Vladimir Putin, dengan Nato telah meletakkan ribuan tentera dalam tahap bersiap sedia untuk dikerah.



"Walaupun kami harapkan dan berusaha bagi penyelesaian baik, kami juga bersedia hadapi yang terburuk," kata Setiausaha Agung Nato, Encik Jens Stoltenberg.



Sementara itu, dalam satu panggilan telefon dengan rakan sejawatannya dari China, Encik Wang Yi, Encik Blinken berusaha meyakinkan Beijing tentang "keselamatan global dan risiko ekonomi yang ditimbulkan oleh pencerobohan lanjut Russia terhadap Ukraine", menurut jurucakap Jabatan Negara, Encik Ned Price.



Dalam satu kenyataan selepas panggilan itu, Kementerian Luar China berkata Encik Wang memberitahu Encik Blinken bahawa "kebimbangan keselamatan Russia yang munasabah harus diambil serius dan diselesaikan".



Sementara itu, dalam usaha berasingan untuk meredakan ketegangan, pegawai kanan Russia dan Ukraine bertemu selama lapan jam di Paris, bersama wakil Perancis dan Jerman.



Encik Dmitry Kozak, timbalan ketua kakitangan Kremlin, berkata rundingan itu "tidak mudah", tetapi satu lagi pusingan akan berlangsung dalam dua minggu di Berlin.



Selepas perbincangan yang dipanggil Format Normandy, Perancis berkata utusan negara masing-masing komited kepada gencatan senjata yang rapuh di timur Ukraine yang dicapai pada Julai 2020, antara tentera Ukraine dengan pemisah pro-Moscow.



Perancis dan Jerman telah bersama Amerika dalam memberi amaran kepada Russia terhadap sebarang pencerobohan, tetapi masih belum jelas mengenai sekatan yang akan dikenakan. - AFP.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >