Topic followed successfully
Go to BHkuToleransi budaya jadi perhatian di M'sia di tengah-tengah tengkarah perayaan Jepun
Toleransi budaya jadi perhatian di M'sia di tengah-tengah tengkarah perayaan Jepun
Toleransi budaya jadi perhatian di M'sia di tengah-tengah tengkarah perayaan Jepun
KUALA LUMPUR: Sebuah pesta tarian kebudayaan Jepun yang disambut lebih 40 tahun di Malaysia mendapat perhatian selepas parti Islam dalam gabungan kerajaan meminta umat Islam menjauhinya.
Ini sekali lagi menimbulkan persoalan tentang toleransi budaya dan kepelbagaian dalam negara dengan majoriti penduduk Islam itu, lapor The Straits Times.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad, daripada Parti Islam SeMalaysia (PAS) pada 6 Jun lalu menasihatkan umat Islam supaya tidak menghadiri Pesta Bon Odori bulan depan, sambil mendakwa ia "dipe-ngaruhi oleh unsur agama lain".
Festival tarian itu mencetuskan polemik panas awal minggu lalu apabila kenyataan tegas beliau itu turut disokong ramai mufti negeri dan tokoh agama, kerana program tersebut ada unsur pemujaan roh hantu dan bertentangan dengan syarak.
Ini mendapat reaksi yang jarang berlaku daripada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, yang merupakan ketua agama Islam di negeri paling maju di Malaysia itu.
Bagaimanapun, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan Jabatan Agama Islam Selangor tidak menyekat masyarakat Islam menghadiri festival itu atas alasan ia hanya berbentuk kebudayaan.
Sultan Sharafuddin berkata walaupun perayaan itu bermula sebagai perayaan keagamaan, ia telah berkembang menjadi perayaan budaya sejak beberapa dekad lalu, dan beliau menggesa Datuk Idris menghadirinya.
Menurut Sultan Sharafuddin, beliau menghadiri festival itu pada 2016 dan tidak perasan terdapat sebarang unsur keagamaan di dalamnya.
Acara itu disokong oleh kerajaan negeri Selangor, yang diketuai oleh pembangkang persekutuan Pakatan Harapan.
Festival yang dirayakan lebih 500 tahun di Jepun itu dikembangkan masyarakat bukan Islam Jepun di luar negara dengan kerjasama Kedutaan Jepun bagi meraikan kepulangan hantu moyang.
Perayaan ini diadakan di Malaysia sejak 1977 sebagai satu cara untuk meraikan budaya Jepun.
Anjuran bersama Kedutaan Jepun, Sekolah Jepun Kuala Lumpur dan Kelab Jepun Kuala Lumpur, sambutan itu menarik 35,000 peserta setiap tahun sebelum pandemik Covid-19.
Sambutan pertama daripada dua sambutan Bon Odori tahun ini akan berlangsung di Shah Alam, ibu negeri Selangor, pada 16 Julai.
Satu lagi akan diadakan di Pulau Pinang pada 30 Julai.
Datuk Idris enggan mengulas mengenai perkara itu menyusuli titah Sultan Sharafuddin.
Pemimpin PAS, bagaimanapun, terus bersuara menentang perayaan itu, dengan Ketua PAS Selangor, Encik Ahmad Yunus Hairi, mencadangkan Jumaat lalu supaya kerajaan negeri Selangor melarang orang Islam menghadiri perayaan itu.
Pada hari sama, Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, mencadangkan Festival Bon Odori di Malaysia diberi nama baru atau nama tambahan bagi mengelak kekeliruan kepada umat Islam.
Beliau berkata langkah tersebut bertujuan mengelak sebarang kekeliruan kepada umat Islam mengenai asal usul acara tersebut, yang mengandungi unsur syirik dan khurafat.
Zamil kanan di Majlis Profesor Malaysia, Dr Jeniri Amir, berkata kontroversi itu berpunca daripada keengganan PAS melihat isu di luar perspektifnya sendiri.
"Mereka gagal memahami kepelbagaian budaya, bahawa mereka tidak boleh memaksakan nilai mereka ke atas orang lain," katanya kepada The Straits Times.
Dr Jeniri memberi amaran bahawa pandangan PAS mungkin menjejaskan kepelbagaian budaya di Malaysia dan juga boleh mencemarkan nama baik negara di luar negara.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang, Encik Yeoh Soon Hin, berkata festival Bon Odori akan tetap berlangsung seperti biasa, sejak lebih 10 tahun lalu, di Pulau Pinang.
"Saya memang rasa terkejut (mengenai kenyataan Datuk Idris tentang Bon Odori) kerana program ini melibatkan kebudayaan dan bukan melibatkan unsur keagamaan serta tiada apa-apa unsur pemujaan atau sembahyang diadakan ketika festival berlangsung.
"Kita tidak boleh menghalang sesiapa sahaja yang mahu datang ke festival ini kerana kita bukan polis agama, kita juga tidak pernah menggabungkan festival ini dengan apa-apa unsur agama," katanya.
Encik Yeoh menambah bahawa festival itu juga diadakan sebagai tanda persahabatan antara Malaysia dan Jepun serta dapat membantu merangsang ekonomi dan pelancongan di Pulau Pinang.
