TOKYO: Syarikat pengeluar kereta Jepun, Toyota Motor dan Honda Motor telah menghentikan pengeluaran mereka di Malaysia bermula semalam, sedang negara jiran itu melaksanakan Perintah Sekatan Pergerakan (PKP) penuh, sekali gus menimbulkan keprihatinan lonjakan kes koronavirus akan menjejas rantaian bekalan di Asia Tenggara, lapor Nikkei Asia semalam.
Malaysia melaksanakan perintah sekatan penuh semalam, dengan menutup hampir keseluruhan sektor perusahaan sehingga 14 Jun ini.
Syarikat pengeluar auto dan pembuat keluli dibenarkan meneruskan operasi tetapi hanya membolehkan 10 peratus sahaja kakitangan untuk ke tempat kerja, sementara syarikat elektronik, kimia dan farmaseutikal dibataskan kepada 60 peratus tenaga kerja.
Malaysia, Thailand dan Vietnam, merupakan negara yang sebelum ini dapat mengelak penularan teruk pandemik Covid-19, tetapi kini menyaksikan lonjakan dalam jangkitan koronavirus.
Rantau ini bertindak sebagai hab pengeluaran utama bagi barangan pertengahan sedang pengeluaran syarikat beralih dari China.
Kini lonjakan kes mengancam menjejas pengeluaran sedunia.
Toyota, yang menghasilkan kira-kira 50,000 kenderaan di Malaysia tahun lalu, telah menggantung pengeluaran dan penjualannya sejak semalam.
Honda akan menutup dua lojinya semasa PKP ini.
Malaysia merupakan salah satu hab pengeluaran terbesar di rantau ini, dengan keupayaan menghasilkan 300,000 motosikal dan 100,000 kenderaan empat roda setahun.
Perintah sekatan itu juga amat mencabar bagi Daihatsu Motor, yang juga menghentikan dua lojinya di Malaysia yang membentuk hampir separuh jumlah pengeluarannya di luar Jepun.
Jumlah jangkitan sehari-hari di Malaysia telah meningkat hampir seganda sejak lebih seminggu lalu dengan kadar vaksinasi yang rendah menyebabkan penularan terus merebak.
Jumlah kes mencapai paras tertinggi 9,020 kes pada Sabtu lalu, atau lebih 200 bagi setiap sejuta orang - lebih tinggi daripada kadar di India, yang menunjukkan tanda-tanda awal lebih positif baru-baru ini daripada penularan terburuk di dunia yang dihadapinya.
Kadar jangkitan menunjukkan peningkatan di Thailand sejak Mac, di mana sekelompok kes dikaitkan dengan jenis kuman yang pertama kali ditemui di United Kingdom (UK), dan mula dikesan di kawasan kelab malam Bangkok.
Kumpulan New Kinpo milik Taiwan telah menghentikan operasi di kilang percetakan dan telekomunikasi di Thailand pada 20 Mei lalu selepas penularan mula dikesan.
Sementara itu, sejenis kuman semacam 'kacukan' antara varian UK dengan India mula dikesan di beberapa kawasan di utara Vietnam yang dipenuhi dengan taman perindustrian.
Pihak berkuasa bimbang ia mengancam bekalan rantaian.
Kesemua 10 negara anggota Asean mulai menjadi pengeluar dan pengeksport penting bagi barangan pertengahan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Nilai tambah tahunan bagi eksport dari sembilan anggota Asean telah meningkat lebih seganda berbanding sedekad lalu sejak 2019, menurut firma penyelidikan Mizuho Research & Technologies, di mana lima rantau utama sedunia dikajinya.
Rantau ini menguasai 10.5 peratus pegangan bagi nilai tambah tersebut.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg