OTTAWA: Perdana Menteri menanti Justin Trudeau berkata pada Selasa (20 Okt) beliau telah memberitahu Presiden Amerika Syarikat, Encik Barack Obama, bahawa jet pejuang Canada akan dikeluarkan daripada perjuangan menentang militan Negara Islam di Iraq dan Syria (ISIS atau ISIL).
Bagaimanapun, beliau tidak memberi sebarang garis masa.
"Kira-kira sejam lalu, saya bercakap bersama Presiden Obama," kata Encik Trudeau dalam satu sidang akhbar.
Walaupun Canada kekal sebagai "anggota kuat perikatan menentang ISIL", Encik Trudeau berkata beliau menjelaskan kepada pemimpin Amerika itu "komitmen yang saya telah buat mengenai menamatkan misi pertempuran itu".
Encik Obama menelefon Encik Trudeau pada Selasa untuk mengucapkan tahniah bagi kemenangan beliau dalam pilihan raya, ujar Rumah Putih, sambil menambah kedua-duanya berikar bekerjasama lebih rapat berhubung perdagangan dan perubahan iklim.
Canada tahun lalu mengerahkan jet pejuang CF-18 ke Timur Tengah hingga Mac depan, serta kira-kira 70 askar pasukan khas tentera untuk melatih kaum Kurdi di utara Iraq.
Sepanjang kempen pilihan raya, Encik Trudeau berjanji akan membawa pulang jet pejuang Canada dan menamatkan misi tempurnya.
Tetapi beliau berikrar akan sentiasa mengekalkan jurulatih tentera di sana. - AFP