Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:27
Maghrib
7:08
Isyak
8:22

Trump akhirnya mengaku kalah?

Dunia
28
0

BERITA

Trump akhirnya mengaku kalah?

Presiden AS akan meninggalkan Rumah Putih jika Badan Perwakilan Pemilih mengundi Presiden Dipilih Joe Biden
Nov 28, 2020 | 05:30 AM

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berkata beliau akan meninggalkan Rumah Putih jika Badan Perwakilan Pemilih mengundi Presiden Dipilih, Encik Joe Biden.

Kenyataan itu merupakan yang paling hampir pengakuannya kalah dalam pilihan raya presiden negara itu, walaupun beliau masih mengulangi dakwaannya yang tidak berasas mengenai penipuan pengundian besar-besaran.

Bercakap kepada wartawan sempena cuti Thanksgiving kelmarin, Encik Trump berkata jika Encik Biden - yang akan dilantik pada 20 Januari - disahkan sebagai pemenang pilihan raya oleh Badan Perwakilan Pemilih, beliau akan meninggalkan Rumah Putih, lapor Reuters.

Namun Encik Trump menambah, sukar baginya untuk mengaku kalah dalam keadaan sekarang dan enggan mengatakan sama ada akan menghadiri perasmian pelantikan Encik Biden sebagai presiden Amerika.

"Pilihan raya ini satu penipuan," tegas Encik Trump, namun tidak memberi sebarang bukti konkrit mengenai penipuan undi itu.

Badan Perwakilan Pemilih dijadual bertemu pada 14 Disember.

Di Amerika, calon menjadi presiden bukan dengan memenangi majoriti undi popular nasional tetapi melalui sistem Badan Perwakilan Pemilih, yang mengagihkan undi pemilih kepada 50 negeri dan Distrik Columbia berdasarkan penduduk mereka.

Terdapat sejumlah 538 undi pemilih, yang bermakna calon perlu memperoleh 270 undi untuk menang.

Sementara itu, Perancis dan Jerman sedang menerajui usaha di Eropah untuk melakukan hubungan awal dengan kumpulan Encik Biden, dengan tujuan mempercepat perbincangan untuk memulihkan hubungan perdagangan antara Amerika dengan Kesatuan Eropah (EU).

Agenda utama bagi Paris adalah menyelesaikan satu sengketa berkaitan kapal terbang yang telah menyaksikan tarif dikenakan pada barangan transatlantik bernilai lebih 10 bilion euro ($15.96 bilion), sementara Berlin berminat menghidupkan semula perbincangan perdagangan bebas, menurut pegawai kanan di kedua-dua negara.

"Kami telah bersedia dan dalam kedudukan untuk segera mengadakan perbincangan," kata Encik Johann Wadephul, seorang pakar dasar luar negara dan wakil ketua di Parlimen bagi pemimpin Canselor Jerman, Cik Angela Merkel.

Menteri Kewangan Perancis, Encik Bruno Le Maire, yang telah merancang untuk berbincang dengan pasukan Presiden Dipilih Amerika itu, awal minggu ini berkata:

"Saya amat berharap bahawa pentadbiran Biden yang baru ini akan memberi permulaan baru dalam hubungan antara Eropah dengan Amerika."

Keutamaan perdagangan EU lain yang dikongsi Perancis dan Jerman termasuk menghapuskan tarif yang dikenakan pentadbiran Trump terhadap eksport keluli dan aluminium Eropah; menyetujui peraturan cukai baru bagi syarikat digital yang menjalankan perniagaan di peringkat antarabangsa; mencapai perjanjian perdagangan terhad bagi produk perindustrian; dan reformasi Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).

Langkah terbaru Eropah itu berlaku setelah beberapa minggu timbul ketidakpastian mengenai peralihan kuasa di Amerika yang membuat banyak sekutunya mengambil pendekatan tunggu dan lihat.

Encik Le Maire dijadual mengadakan perbincangan dengan pasukan Encik Biden pada Isnin lalu tetapi pertemuan itu ditunda, menurut seorang pegawai Perancis yang meminta tidak dinamakan kerana rancangan itu bersifat peribadi.

Pegawai Jerman pula menjangka membuat hubungan dengan pihak Amerika dalam beberapa hari akan datang, kata Encik Wadephul.

Jerman, yang amat bergantung pada pasaran eksport dan melakukan perdagangan dua hala dengan Amerika bernilai AS$252 bilion ($337 bilion) setiap tahun, amat berhasrat mahu mengurangkan ketegangan dengan Amerika yang telah mengenakan tarif pada eksport Eropah, atas alasan membantu industri Amerika. - Reuters, Agensi berita.

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3