Topic followed successfully
Go to BHkuTrump ancam musnahkan prasarana Iran dalam empat jam
Trump ancam musnahkan prasarana Iran dalam empat jam
Trump ancam musnahkan prasarana Iran dalam empat jam
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, mengulangi ancaman keras terhadap Iran apabila memberi amaran bahawa tentera Amerika mampu memusnahkan semua jambatan dan loji janakuasa negara itu dalam tempoh hanya empat jam, sambil menegaskan, cadangan gencatan senjata masih belum mencukupi.
Lima minggu selepas perang Asia Barat tercetus menyusuli serangan udara bersama Amerika dan Israel ke atas Teheran, Encik Trump menuntut Iran membuka semula laluan perkapalan di Selat Hormuz menjelang tengah malam Selasa, 7 April waktu GMT, atau berdepan serangan baharu yang lebih dahsyat.
“Saya maksudkan pemusnahan sepenuhnya menjelang pukul 12 malam, dan ia boleh dilakukan dalam tempoh empat jam jika kami mahu,” katanya dalam sidang media di Washington.
Walaupun sebelum ini menyifatkan cadangan gencatan senjata 45 hari itu sebagai “langkah penting”, Encik Trump menegaskan ia masih tidak mencukupi.
Pada masa yang sama, Iran turut menolak cadangan tersebut dan menegaskan keperluan menamatkan konflik itu secara muktamad.
Media rasmi Iran melaporkan Teheran “menolak gencatan senjata dan menuntut penyelesaian kekal”, mencerminkan pendirian tegas kedua-dua pihak yang terus menghalang usaha damai.
Encik Trump berkata perantara antarabangsa kini sedang berusaha menambah baik cadangan tersebut, dengan laporan media Amerika menyebut penglibatan Pakistan, Mesir dan Turkey dalam rundingan tersebut.
Namun, pihak tentera Iran memberi isyarat jelas bahawa konflik akan berterusan.
“Tentera akan meneruskan perang selagi pihak politik menganggapnya perlu,” menurut kenyataan tentera Iran.
Ketua Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah, Cik Mirjana Spoljaric, turut memberi amaran bahawa ancaman terhadap prasarana awam adalah melanggar undang-undang antarabangsa.
“Ancaman sengaja terhadap prasarana awam adalah tidak sah di sisi undang-undang,” katanya.
Di lapangan, serangan udara Amerika dan Israel terus menyasarkan kemudahan strategik Iran, termasuk kompleks petrokimia utama di Asaluyeh dan kawasan berhampiran Shiraz.
Tentera Israel turut memaklumkan serangan ke atas aset tentera udara Iran termasuk pesawat dan helikopter di beberapa lapangan terbang di Teheran dan bahagian lain Iran.
Dalam perkembangan lain, Iran mengesahkan bahawa Ketua Perisikan Pengawal Revolusi, Mejar Jeneral Majid Khademi, terbunuh dalam serangan tersebut, manakala Israel mendakwa telah membunuh komander Pasukan Quds, Encik Asghar Bagheri.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, menegaskan serangan akan diteruskan.
“Kami akan sasar kepada sesiapa sahaja yang cuba mencederakan kami,” katanya.
Sebagai tindak balas, Pengawal Revolusi Iran berikrar melancarkan serangan balas besar-besaran.
Kumpulan Houthi di Yaman turut mengumumkan serangan ke atas Israel sebagai tanda sokongan kepada Iran dan Hezbollah.
Konflik yang bermula pada 28 Februari itu telah menggegarkan ekonomi global, dengan sekatan tidak rasmi Iran ke atas Selat Hormuz menyebabkan harga minyak dan gas melonjak mendadak.
Kesan tersebut turut dirasai sektor penerbangan, apabila Indonesia mengumumkan kenaikan caj bahan api jet, manakala syarikat penerbangan tambang rendah AirAsia X menaikkan harga tiket sehingga 40 peratus.
Beberapa negara mula mengubah laluan bekalan tenaga bagi mengelakkan Selat Hormuz, termasuk Korea Selatan dan Taiwan yang memilih laluan Laut Merah.
Negara Teluk sekutu Amerika seperti Kuwait dan Amiriah Arab Bersatu turut menerima kesan konflik tersebut, dengan laporan serangan dan kecederaan dilaporkan dalam tempoh 24 jam lalu.
Sementara itu, Iran terus melancarkan serangan balas ke atas Israel, dengan empat mayat ditemui di bandar Haifa selepas sebuah bangunan kediaman terkena serangan peluru berpandu.
Media Iran turut melaporkan serangan ke atas kawasan kediaman di Teheran serta gangguan bekalan gas selepas satu serangan ke atas sebuah universiti.
Dalam kenyataan terbaharu, Encik Trump sekali lagi menegaskan keupayaan tentera Amerika untuk melumpuhkan Iran sepenuhnya.
“Kami mempunyai pelan di mana setiap jambatan di Iran boleh dimusnahkan menjelang esok malam, dan semua loji janakuasa akan terhenti, terbakar dan tidak dapat digunakan lagi,” katanya. – Agensi berita.

