WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, dijadual bertemu dengan pemimpin dan pegawai dari beberapa negara majoriti Islam pada 23 September bagi membincangkan keadaan di Gaza, yang kini terus diserang sekutunya, Israel.
Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Cik Karoline Leavitt, berkata Encik Trump akan mengadakan mesyuarat pelbagai hala dengan Arab Saudi, Amiriah Arab Bersatu (UAE), Qatar, Mesir, Jordan, Turkey, Indonesia dan Pakistan seiring dengan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Presiden akan menggunakan kesempatan ini untuk membincangkan Gaza, termasuk usaha menghentikan perang dan rancangan pasca peperangan,” kata Cik Leavitt pada 21 September.
Encik Trump dijangka membentangkan cadangan mengenai keamanan dan pentadbiran Gaza selepas perang, termasuk pembebasan tebusan, pengunduran tentera Israel, serta pentadbiran tanpa penglibatan Hamas.
Washington mahu negara Arab dan Islam bersetuju menghantar pasukan tentera bagi memudahkan pengunduran Israel serta menyumbang dana untuk proses peralihan dan pembinaan semula Gaza.
“Amerika percaya rantau ini perlu berganding bahu, bukan hanya dengan kata-kata malah dengan tindakan,” kata seorang pegawai yang enggan dikenali.
Pertemuan itu dijadual berlangsung sehari selepas puluhan pemimpin dunia di PBB menyatakan sokongan terhadap penubuhan Negara Palestin, satu peralihan diplomatik besar yang ditentang keras oleh Amerika dan Israel.
Israel menolak langkah itu, dengan mendakwa ia hanya akan memberi ganjaran kepada ekstremisme.
Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, pula berjanji memperluaskan penempatan Yahudi di Tebing Barat walaupun dikecam masyarakat antarabangsa.
Encik Trump turut menentang tindakan Britain, Canada dan Australia yang mengiktiraf Palestin.
“Presiden jelas menolak keputusan ini. Beliau percaya ia adalah ganjaran kepada Hamas,” kata Cik Leavitt, sambil menambah Encik Trump akan menyentuh isu itu dalam ucapannya di PBB.
Sejak serangan Hamas pada 7 Oktober 2023 yang meragut 1,200 nyawa dan menawan lebih 250 tebusan, Israel melancarkan serangan besar-besaran yang mengorbankan puluhan ribu penduduk Palestin, memindahkan hampir keseluruhan penduduk Gaza, serta mencetuskan krisis kebuluran.
Beberapa pakar hak asasi, sarjana dan siasatan PBB menyifatkan tindakan Israel sebagai berpotensi menjurus kepada “genosid.”
Encik Trump sebelum ini berjanji menamatkan perang dengan cepat, namun lapan bulan selepas penggal keduanya bermula, penyelesaian masih belum dicapai.
Encik Trump dijadual menyampaikan ucapan sulung penggal kedua di Perhimpunan Agung PBB pada 23 September.
Cik Leavitt berkata ucapan itu akan menekankan “kebangkitan semula kekuatan Amerika di seluruh dunia” serta pencapaian Encik Trump dalam tempoh lapan bulan, termasuk dakwaan bahawa beliau telah “menamatkan tujuh peperangan dan konflik sejagat”.
Namun, ucapan itu juga dijangka penuh dengan kritikan terhadap institusi global.
“Presiden akan menghuraikan bagaimana institusi global telah merosakkan aturan dunia, dan beliau akan mengemukakan visi yang jelas serta membina untuk masa depan,” kata Cik Leavitt.
Encik Trump sebelum ini sering mengkritik PBB dan institusi pelbagai hala lain, sejajar dengan dasar ‘Utamakan Amerika’ yang menyaksikan pemotongan dana serta pengunduran Amerika daripada beberapa badan antarabangsa.
Selain mesyuarat dengan negara Islam, Encik Trump juga akan mengadakan pertemuan dua hala dengan Setiausaha Agung PBB, Encik Antonio Guterres; Presiden Ukraine, Encik Volodymyr Zelensky, serta pemimpin Argentina dan Kesatuan Eropah (EU).
Beliau dijadual menghadiri majlis resepsi bersama pemimpin dunia pada malam 23 September sebelum pulang ke Washington.
Pada Februari lalu, Trump pernah mencetuskan kecaman antarabangsa selepas mencadangkan pengambilalihan Gaza oleh Amerika dan pemindahan kekal penduduk Palestin.
Usulan itu dilabel sebagai “pembersihan etnik” oleh pakar hak asasi serta PBB, kerana pengusiran paksa menyalahi undang-undang antarabangsa.
Encik Trump ketika itu mempertahankan cadangannya dan menyifatkan ia sebagai, “pelan pembangunan semula,” namun ia hanya meningkatkan kemarahan dunia terhadap Washington. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg