Topik diikuti
Pergi ke BHkuTrump berdepan dilema susulan permintaan bantuan ketenteraan Saudi
Trump berdepan dilema susulan permintaan bantuan ketenteraan Saudi
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, dilaporkan menangguhkan rancangan melancarkan serangan udara terhadap kumpulan Houthi di Yaman.
Ini selepas beberapa kali mengubah pendiriannya, sedang Washington cuba mengelak negara itu ikut terheret dengan pembukaan medan perang baharu ketika konflik dengan Iran masih berlarutan.
Selama kira-kira dua minggu, Encik Trump mempertimbangkan permintaan Arab Saudi supaya tentera Amerika membantu mengekang kemaraan Houthi, yang disokong Iran dan kini menguasai kawasan strategik di pesisir Laut Merah berhampiran Selat Bab el-Mandeb.
Ketegangan meningkat selepas Houthi melancarkan serangan peluru berpandu dan dron terhadap Arab Saudi, termasuk mendakwa menyasarkan beberapa lokasi ‘sensitif’ di Riyadh dan kemudahan minyak Saudi Aramco di Yanbu.
Menurut laporan media Amerika, pegawai pemerintah Amerika dipetik sebagai berkata Putera Mahkota Saudi, Putera Mohammed bin Salman, telah menghubungi Encik Trump pada 17 September dan sekali lagi meminta Washington agar campur tangan bagi membantu menghentikan kemaraan Houthi.
Sehari sebelumnya, Encik Trump dilaporkan memberitahu penasihatnyabeliau tidak menyokong serangan.
Bagaimanapun, selepas bercakap dengan Putera Mohammed, beliau dilaporkan mengubah pendiriannya dan mengarahkan Pentagon agar membuat persiapan melancarkan serangan udara terhadap Houthi.
Persiapan itu dikatakan sudah mencapai peringkat lanjut.
Senarai sasaran telah diluluskan dan bom sedang dimuatkan ke dalam pesawat tentera Amerika yang dipilih untuk menjalankan operasi tersebut.
Menjelang tengah hari 20 September, Encik Trump sekali lagi mengubah pendiriannya dan memutuskan serangan itu tidak akan dilancarkan, sekurang-kurangnya buat masa ini, tambah laporan tersebut.
Agensi berita, Reuters, turut melaporkan, Encik Trump setakat ini telah menolak permintaan Arab Saudi bagi campur tangan operasi ketenteraan secara langsung terhadap Houthi. Rumah Putih tidak mengulas secara terperinci mengenai pertimbangan ketenteraan Encik Trump.
Seorang pegawai kanan pemerintah Amerika hanya menegaskan bahawa Washington mempunyai perjanjian pertahanan dengan Arab Saudi dan akan mempertahankan sekutunya.
Keputusan itu mencerminkan dilema yang dihadapi Washington.
Houthi setakat ini mengelak daripada menyerang kapal Amerika selepas mencapai gencatan senjata dengan Washington pada Mei 2025.
Pertemuan sulit antara pegawai Amerika dengan wakil Houthi turut berlangsung di Muscat, Oman, baru-baru ini.
Dalam pertemuan itu, Houthi dilaporkan memberi jaminan kumpulan itu tidak akan menyerang kapal Amerika, Israel atau kapal dagang lain, tetapi tidak memberikan jaminan yang sama bagi kapal Saudi.
Encik Trump pada 20 September berkata Amerika terus berkomunikasi dengan Houthi dan menyatakan bahawa kumpulan itu setakat ini bersetuju untuk tidak berperang dengan Washington.
Pada masa yang sama, beliau berkata pihaknya sedang mempertimbangkan langkah seterusnya dalam konflik lebih luas dengan Iran.
Sebahagian penasihat beliau dilaporkan bimbang serangan terhadap Houthi akan mengheret Amerika lebih jauh ke dalam konflik serantau ketika sumber tenteranya sudah terikat dengan perang Iran.
Campur tangan Amerika juga boleh menyebabkan Houthi kembali menyerang kapal dan aset tentera Amerika di Laut Merah.
Washington mempunyai pengalaman terbaru mengenai risiko itu.
Pada 2025, tentera Amerika menjalankan kempen pengeboman selama lebih 50 hari terhadap Houthi bagi menghentikan serangan kumpulan itu terhadap kapal dagang dan tentera di Laut Merah.
Markas Pusat Amerika (Centcom) ketika itu menyerang lebih 1,000 sasaran, termasuk sistem radar, pertahanan udara, tapak peluru berpandu balistik dan kawasan pelancaran dron.
Kempen itu bagaimanapun tidak memusnahkan keupayaan Houthi sepenuhnya.
Kumpulan tersebut menembak jatuh beberapa dron Amerika dan terus melancarkan serangan terhadap kapal tentera.
Encik Trump akhirnya mengumumkan gencatan senjata dengan Houthi pada Mei 2025, selepas kumpulan itu dikatakan bersetuju menghentikan serangan terhadap kapal Amerika.
Sejak itu, Houthi dilaporkan membina semula sebahagian keupayaan ketenteraannya.
Kebimbangan Washington kini meningkat selepas kumpulan tersebut mencatat kemaraan besar di pesisir barat Yaman, termasuk menguasai kawasan yang membolehkannya meningkatkan tekanan terhadap laluan perkapalan di Bab el-Mandeb.
Pertempuran terkini sudah menyebabkan sekurang-kurangnya 112,000 penduduk kehilangan tempat tinggal di Yaman dalam tempoh dua minggu, manakala hampir 3,000 lagi melarikan diri dengan bot ke Djibouti.
Bab el-Mandeb merupakan laluan strategik yang menghubungkan Laut Merah dengan Teluk Aden dan menjadi laluan penting perdagangan serta penghantaran tenaga dunia.
Ancaman terhadap laluan itu menjadi lebih serius kerana Selat Hormuz turut terjejas akibat konflik Amerika-Israel dengan Iran, sekali gus menimbulkan kebimbangan mengenai bekalan minyak sejagat.
Pegawai semasa dan bekas tentera serta diplomat Amerika turut mempersoalkan sama ada serangan udara terhad mampu memaksa Houthi berundur.
Mereka juga meragui kemampuan pasukan pemerintah Yaman yang disokong Saudi untuk memanfaatkan serangan udara Amerika bagi melancarkan serangan darat yang berkesan.
Buat masa ini, Washington memilih untuk tidak membuka satu lagi medan pertempuran secara langsung.
Namun, keputusan Encik Trump boleh berubah sekiranya Houthi terus menyerang Arab Saudi atau memperkukuh penguasaan mereka berhampiran Bab el-Mandeb, ketika Washington cuba mengimbangi komitmennya kepada Riyadh dengan risiko memperluas lagi perang di Timur Tengah. – Agensi berita.