Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Trump beri bayangan serangan kedua ke atas Venezuela

Tindakan sama terhadap Colombia, Mexico akan diambil jika mereka tidak kurangkan aliran dadah ke AS
Jan 5, 2026 | 2:20 PM
venezuela, nicolas maduro, amerika syarikat, donald trump
Anggota kumpulan yang dikenali sebagai ‘Colectivos’ menyertai satu perarakan menuntut pembebasan Presiden Venezuela, Encik Nicolas Maduro, selepas beliau dan isterinya, Cik Cilia Flores, ditahan susulan serangan Amerika Syarikat ke atas Venezuela, di Caracas, pada 4 Januari. - Foto REUTERS

WASHINGTON/CARACAS: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump pada 4 Januari memberi bayangan Washington mungkin melancarkan serangan ketenteraan kedua ke atas Venezuela, susulan penahanan Presiden Nicolas Maduro, jika baki anggota pentadbirannya enggan bekerjasama dengan usaha Amerika untuk “membetulkan” negara itu.

Kenyataan Encik Trump kepada wartawan di dalam pesawat Air Force One meningkatkan kebimbangan mengenai kemungkinan campur tangan ketenteraan Amerika yang lebih meluas di Amerika Latin, dengan Colombia turut disebut sebagai sasaran berpotensi jika ia gagal mengekang aliran dadah haram ke Amerika.

“Operasi Colombia kedengaran baik bagi saya,” kata Encik Trump.

Beliau turut memberi bayangan tindakan juga boleh diambil terhadap Mexico dan Cuba.

Mengenai Cuba, Encik Trump berkata negara sekutu rapat Venezuela itu “kelihatan hampir tumbang” kerana kehilangan sumber pendapatan utama iaitu minyak dari Venezuela.

Encik Maduro kini ditahan di sebuah pusat tahanan di New York dan dijadual hadir ke mahkamah pada 5 Januari bagi menghadapi pertuduhan berkaitan dadah.

Penahanannya oleh pasukan Amerika telah mencetuskan ketidaktentuan besar mengenai masa depan Venezuela, sebuah negara kaya minyak yang telah lama bergelut dengan krisis ekonomi dan politik.

Menurut Encik Trump, pentadbirannya akan bekerjasama dengan baki anggota pemerintahan Encik Maduro untuk membanteras penyeludupan dadah dan merombak industri minyak Venezuela dan bukannya mendesak pilihan raya segera bagi membentuk pemerintah baru.

Namun di Caracas, pegawai kanan pemerintah Encik Maduro menegaskan penahanan Encik Maduro dan isterinya, Cik Cilia Flores, merupakan satu penculikan.

“Di sini hanya ada seorang presiden dan namanya Nicolas Maduro Moros.

“Jangan sesekali terpedaya dengan provokasi musuh,” kata Menteri Dalam Negeri Venezuela, Encik Diosdado Cabello, dalam rakaman audio yang diedarkan Parti Sosialis Bersatu Venezuela (PSUV).

Imej Maduro yang berusia 63 tahun dalam keadaan mata ditutup dan tangan digari mengejutkan rakyat Venezuela.

Operasi itu disifatkan sebagai campur tangan Amerika paling kontroversi di rantau tersebut sejak pencerobohan ke atas Panama 37 tahun lalu.

Menteri Pertahanan Venezuela, Encik Vladimir Padrino Lopez, memberitahu siaran televisyen bahawa serangan Amerika mengorbankan anggota tentera, orang awam dan “sebahagian besar” pasukan keselamatan peribadi Encik Maduro “secara kejam”.

Menurutnya, angkatan bersenjata Venezuela telah diaktifkan untuk menjamin kedaulatan negara.

Pemerintah Cuba pula mendakwa 32 rakyatnya terbunuh dalam serangan tersebut.

Naib Presiden Venezuela, Cik Delcy Rodríguez, yang juga memegang portfolio menteri minyak, telah mengambil alih peranan sebagai pemimpin sementara dengan sokongan Mahkamah Agung negara itu.

Namun, beliau menegaskan bahawa Encik Maduro masih presiden sah Venezuela dan dianggap sebagai tokoh paling pragmatik dalam lingkaran dalaman Encik Maduro.

Pentadbiran Trump menyifatkan penahanan Encik Maduro sebagai satu operasi penguatkuasaan undang-undang bagi memaksanya menghadapi pertuduhan jenayah di Amerika yang difailkan pada 2020, termasuk Konspirasi Narko-Keganasan.

Encik Maduro sentiasa menafikan sebarang penglibatan jenayah.

Namun Encik Trump secara terbuka mengaitkan tindakan itu dengan kepentingan minyak Amerika dan isu migrasi.

“Apa yang benar-benar mendorong keputusan ini adalah hakikat bahawa Encik Maduro menghantar berjuta-juta orang dari penjara dan institusi mental, pengedar dadah dan penagih ke sini (Amerika),” dakwa Encik Trump.

Pemerintah Venezuela sejak sekian lama menuduh Encik Trump berhasrat merampas sumber asli negara itu, khususnya minyak.

“Kami marah kerana akhirnya semuanya terbongkar. Jelas mereka hanya mahukan minyak kami,” kata Encik Cabello.

Setiausaha Negara Amerika, Encik Marco Rubio, berkata pemimpin Venezuela harus memastikan industri minyak negara itu tidak jatuh ke tangan musuh Amerika dan menghentikan penyeludupan dadah.

Beliau merujuk kepada sekatan Amerika ke atas penghantaran minyak Venezuela.

“Ini bermakna ekonomi mereka tidak akan dapat bergerak ke hadapan sehingga syarat-syarat yang selaras dengan kepentingan nasional Amerika Syarikat dan kepentingan rakyat Venezuela dipenuhi,” katanya dalam rancangan, This Week di ABC.

Di Caracas, penyokong Envik Maduro menyertai satu perarakan propemerintah pada petang 4 Januari, namun suasana bandar secara keseluruhan dilihat lebih sunyi daripada kebiasaan.

“Rakyat Venezuela tidak boleh menyerah kalah dan tidak boleh sekali-kali menjadi jajahan sesiapa,” kata seorang penunjuk perasaan, Encik Reinaldo Mijares.

“Ini bukan negara orang yang kalah.”

Sebahagian rakyat dilihat membeli bekalan asas sebagai langkah berjaga-jaga.

“Semalam saya sangat takut untuk keluar, tetapi hari ini saya terpaksa,” kata seorang ibu tunggal di bandar minyak Maracaibo.

“Kami orang Venezuela sudah biasa hidup dalam ketakutan.”

Di peringkat antarabangsa, pemimpin Demokrat Senat Amerika, Encik Chuck Schumer, mempersoalkan hala tuju pentadbiran Trump.

“Rakyat Amerika bimbang langkah itu akan mencetuskan peperangan tanpa penghujung, perkara yang Encik Trump sendiri janjikan untuk elak,” katanya.

Majlis Keselamatan PBB dijadual bermesyuarat pada 5 Januari untuk membincangkan serangan tersebut, dengan Russia dan China, penyokong utama Venezuela.

Russia dan China mengecam keras tindakan Amerika. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg