Trump berseloroh mengenai Pearl Harbor dalam pertemuan dengan PM Jepun

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Trump berseloroh mengenai Pearl Harbor dalam pertemuan dengan PM Jepun

Mar 20, 2026 | 11:08 AM

Trump berseloroh mengenai Pearl Harbor dalam pertemuan dengan PM Jepun

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, berdiri bersama Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi, ketika beliau menyampaikan ucapan semasa jamuan makan malam dua hala di State Dining Room, Rumah Putih di Washington, DC, pada 19 Mac 2026. Terdahulu pada hari yang sama, kedua-dua pemimpin bertukar pandangan mengenai isu Iran, tenaga serta perkembangan di rantau Indo-Pasifik.
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, berdiri bersama Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi, ketika beliau menyampaikan ucapan semasa jamuan makan malam dua hala di State Dining Room, Rumah Putih di Washington, DC, pada 19 Mac 2026. Terdahulu pada hari yang sama, kedua-dua pemimpin bertukar pandangan mengenai isu Iran, tenaga serta perkembangan di rantau Indo-Pasifik. - Foto EPA

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, mencetuskan perhatian apabila membangkitkan serangan Pearl Harbor tahun 1941 semasa pertemuan dengan Perdana Menteri Jepun, Cik Sanae Takaichi, sekali gus menyimpang daripada pendekatan diplomatik yang telah diamalkan selama beberapa dekad.

Sejak berakhirnya Perang Dunia Kedua, presiden-presiden Amerika Syarikat lazimnya mengelakkan kenyataan keras berkaitan serangan Jepun ke atas Pearl Harbor, sebaliknya memberi tumpuan kepada pengukuhan hubungan dua hala dengan Tokyo yang kini menjadi sekutu rapat Washington.

Namun, pendekatan itu tidak diikuti Encik Trump. Dalam suasana pertemuan yang pada mulanya dilihat mesra di Pejabat Oval, Encik Trump secara tiba-tiba merujuk kepada serangan pada 7 Disember 1941 ketika menjawab soalan wartawan mengenai mengapa Jepun dan sekutu lain tidak dimaklumkan lebih awal mengenai serangan Amerika Syarikat dan Israel ke atas Iran.

“Kami tidak memberitahu sesiapa kerana kami mahukan kejutan,” katanya. Beliau kemudian menambah dengan nada berseloroh, “Siapa lebih tahu tentang kejutan daripada Jepun? Kenapa anda tidak beritahu saya tentang Pearl Harbor?”

Kenyataan itu mengundang ketawa dalam kalangan pegawai dan wartawan yang hadir, namun reaksi Cik Takaichi dilihat berhati-hati apabila beliau hanya mendiamkan diri.
Menurut laporan, Cik Takaichi kelihatan terdiam sambil menarik nafas panjang dan tidak memberikan sebarang respons terhadap kenyataan tersebut.

Pemerhati melihat kenyataan Encik Trump itu sebagai satu lagi contoh kecenderungan beliau mengetepikan norma diplomasi yang lazim diamalkan oleh pemimpin Amerika sebelum ini.

Selepas Perang Dunia Kedua, Presiden Harry S. Truman menggunakan serangan Pearl Harbor sebagai alasan untuk menyusun semula sistem negara Jepun, termasuk memperkenalkan Perlembagaan berunsur damai yang mengehadkan peranan ketenteraan negara itu.

Amerika Syarikat turut mengetuai pendudukan Jepun dari tahun 1945 hingga 1952, menjadikan Tokyo bergantung kepada Washington dari segi keselamatan.

Namun, ketika era Perang Dingin, Amerika Syarikat mengubah pendekatannya dengan menggambarkan serangan Pearl Harbor sebagai satu tragedi sejarah, tanpa lagi menuding kesalahan secara langsung kepada Jepun.

Langkah itu bertujuan mengekalkan Jepun sebagai sekutu strategik ketika pengaruh komunisme berkembang di Asia, di samping membentuk kerjasama keselamatan dan ekonomi antara kedua-dua negara.

Pada 2016, sempena ulang tahun ke-75 serangan tersebut, Presiden Barack Obama melawat Pearl Harbor bersama Perdana Menteri Jepun ketika itu, Shinzo Abe.

Dalam lawatan tersebut, Encik Abe menyampaikan ucapan takziah kepada mangsa, manakala kedua-dua pemimpin meletakkan kalungan bunga sebagai simbol perdamaian.

Encik Obama menyifatkan lawatan itu sebagai bukti bahawa hubungan antara negara boleh berkembang melangkaui sejarah konflik. “Lawatan ini mengingatkan kita tentang apa yang boleh dicapai antara negara dan rakyat,” katanya ketika itu.

Penganalisis hubungan antarabangsa melihat kenyataan Encik Trump sebagai sesuatu yang luar biasa dalam konteks hubungan Amerika Syarikat dan Jepun.

Pengarah Pusat Kajian Dasar Asia di Brookings Institution, Mireya Solís, berkata pemimpin Amerika sebelum ini berhati-hati dalam menyentuh isu tersebut kerana hubungan kedua-dua negara telah melalui proses perdamaian yang mendalam. “Kenyataan ini luar biasa dan mengejutkan,” katanya.

Menurut beliau, tujuan utama pertemuan antara kedua-dua pemimpin adalah untuk menegaskan hubungan erat dan visi bersama antara Amerika Syarikat dan Jepun. “Bukan untuk mengungkit masa lalu yang memecahbelahkan atau konflik pahit semasa perang,” katanya.

Kenyataan Trump itu dilihat berpotensi menimbulkan ketidakselesaan dalam hubungan diplomatik, walaupun tiada reaksi rasmi dikeluarkan oleh pihak Jepun setakat ini. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg