Subuh
5:57
Syuruk
7:14
Zuhur
1:18
Asar
4:29
Maghrib
7:20
Isyak
8:29
Dapatkan laporan terkini berkaitan Covid-19. Ikuti kami di Telegram
Dunia0

Trump didakwa kali kedua atas salah laku

Presiden AS pertama didakwa dua kali | Ekoran hasut serangan di Bangunan Capitol
Jan 15, 2021 | 05:30 AM

WASHINGTON: Presiden Donald Trump telah secara rasmi dikenakan pendakwaan salah laku buat kali kedua kelmarin oleh Dewan Perwakilan Rakyat.

Ini setelah kesemua 222 anggota Demokrat, disertai 10 anggota Republikan di Dewan itu, mengundi untuk menuduhnya atas sebab menghasut pemberontakan berikutan serangan di Bangunan Capitol oleh kumpulan penyokong Encik Trump minggu lalu.

Encik Trump merupakan presiden Amerika pertama yang dikenakan pendakwaan dua kali, berikutan pendakwaan pertamanya pada 2019 kerana menyalahgunakan kuasa dan menghalang tugas Kongres, lapor laman The Straits Times (ST).

Tidak seperti pada 2019, apabila tiada seorang pun anggota Republikan mengundi menyokong pendakwaan beliau, undian kelmarin yang diusahakan Demokrat turut mendapat undi 10 anggota Republikan, dengan sebilangan pemimpin kanan parti itu turut membuat kecaman keras terhadap tindakan Encik Trump. Sebanyak 197 Republikan di Dewan itu pula mengundi membantah pendakwaan itu.

Undian sokongan pendakwaan itu membolehkan satu perbicaraan didengar di Senat sama ada untuk menyabitkan atau membebaskan Encik Trump, yang tinggal beberapa hari lagi selaku presiden Amerika, dan mungkin melarangnya daripada memegang jawatan awam pada masa depan.

Berita Popular

Namun perbicaraan Senat tidak akan berlaku sehingga Encik Trump meninggalkan pejabatnya, kata pemimpin majoriti Senat, Encik Mitch McConnell, dalam satu kenyataan, sambil menyatakan tiga perbicaraan presiden di Senat sebelumnya berlangsung selama 83 hari, 37 hari dan 21 hari.

Menolak seruan Demokrat untuk membawa anggota Senat kembali lebih awal bagi perbicaraan pemecatan segera, Encik McConnell berkata:

"Tidak ada kemungkinan bahawa perbicaraan yang adil atau serius dapat diselesaikan sebelum Presiden Dipilih Encik Joe Biden dilantik pada minggu depan. "Sekalipun proses Senat dimulakan minggu ini dan bergerak segera, tidak ada keputusan akhir yang akan dicapai sampai setelah Presiden Trump meninggalkan pejabat," katanya.

Encik McConnell menambah, adalah paling baik buat negara jika Kongres dan Rumah Putih menghabiskan tujuh hari berikutnya untuk memberi tumpuan kepada kelancaran acara perasmian yang selamat dan pemindahan kuasa secara teratur kepada pentadbiran Biden, lapor ST.

Ini juga bermakna jadual Senat mungkin dipenuhi dengan perbicaraan pendakwaan Encik Trump pada hari-hari atau minggu-minggu awal penggal Presiden Joe Biden, yang membuatkan sebilangan anggota Demokrat bimbang ia boleh menjejas kemampuan Encik Biden menjalankan agendanya.

Demokrat akan mengawal Senat pada penggal baru.

Pemimpin minoriti Senat sekarang, Encik Chuck Schumer, yang bakal memimpin Demokrat di Senat, berjanji Encik Trump akan menghadapi perbicaraan pendakwaan.

"Sudah jelas, akan ada perbicaraan pendakwaan di Senat Amerika; akan ada undian untuk menyabitkan presiden atas kesalahan besar dan salah laku; dan jika presiden disabit, akan ada undian untuk melarangnya mencalonkan diri lagi bagi jawatan (awam)," kata Encik Schumer dalam satu kenyataan kelmarin.

Sementara itu, dalam satu kenyataan, Encik Biden berkata Dewan telah menggunakan kuasa perlembagaan yang diberikan kepada mereka dan mengundi menyokong pendakwaan selain membuat Encik Trump bertanggungjawab atas serangan ke atas Capitol, yang disebut beliau sebagai "pemberontakan bersenjata".

Tetapi, katanya, Amerika masih berada dalam cengkaman virus yang bahaya dengan ekonominya teruk terjejas.

"Saya berharap kepimpinan Senat akan mencari jalan untuk menangani tanggungjawab perlembagaan mereka mengenai pendakwaan itu dan pada masa melakukan tugas penting berkaitan negara ini," katanya.

Pihak Demokrat berusaha mengaitkan serangan itu dengan kata-kata menghasut Encik Trump, yang mereka berpendapat tidak dilindungi oleh perlindungan Perlembagaan terhadap hak kebebasan bersuara, dan mengatakan dakwaan palsu berulang kali beliau mengenai penipuan pilihan raya telah menyebabkan kumpulan itu menjadi radikal.

LAPORAN LANJUT: Trump kecam keganasan politik

Video Baru

Podcast Baru

Try the new Halal Food Map