Trump dilihat alami ruam merah di leher
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump muncul di acara Rumah Putih pada 2 Mac dengan ruam merah yang ketara dilihat di lehernya, yang dikaitkan oleh doktornya dengan rawatan “pencegahan”.
Gambar AFP menunjukkan ruam merah dengan beberapa keropeng keperangan yang menonjol, dilihat di atas kolar baju di sebelah kanan leher presiden berusia 79 tahun itu, presiden tertua yang pernah dipilih.
“Presiden Trump menggunakan krim biasa di sebelah kanan lehernya, yang merupakan rawatan pencegahan pada kulitnya, yang ditetapkan oleh Doktor Rumah Putih,” kata Dr Sean Barbabella, doktor perubatan presiden, dalam satu kenyataan.
“Presiden menggunakan rawatan ini selama seminggu, dan kemerahan itu dijangka berlarutan selama beberapa minggu,” tambahnya.
Tompok merah itu dikesan semasa majlis penyampaian Pingat Kehormatan, selepas hujung minggu yang sibuk - Encik Trump melancarkan serangan tentera Amerika ke atas Iran.
Encik Trump sebelum ini dilihat dengan lebam di tangannya, yang dikaitkan oleh Rumah Putih dengan penggunaan aspirin.
Spekulasi telah berlegar tentang kesihatan Encik Trump memandangkan lebam yang dialaminya, bersama-sama dengan bengkak di kakinya, dan beberapa saat yang jelas seperti mengantuk semasa acara awam.
Rumah Putih mendedahkan pada musim panas lalu bahawa bengkak di kaki Encik Trump telah didiagnosis sebagai gejala kekurangan vena kronik – satu keadaan biasa di mana injap urat yang rosak membolehkan darah berkumpul, menyebabkan bengkak, kekejangan dan perubahan kulit. - AFP

