WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, berjanji akan membantu Lebanon “dengan sepenuh hati” ketika menerima kunjungan Presiden Lebanon, Joseph Aoun, di Rumah Putih pada 21 Julai, dalam usaha mengukuhkan kestabilan negara itu serta menyokong proses melucutkan senjata kumpulan Hezbollah dan memajukan rundingan damai dengan Israel.

Lawatan Aoun ke Washington adalah yang pertama dilakukan oleh seorang presiden Lebanon sejak 2009 dan berlangsung ketika Beirut berusaha melaksanakan perjanjian rangka kerja yang disokong Amerika Syarikat bagi menamatkan ketegangan di selatan Lebanon.

Dalam pertemuan itu, Encik Aoun meminta sokongan politik Washington serta bantuan berterusan kepada Angkatan Tentera Lebanon (LAF), yang kini mula ditempatkan di beberapa kawasan selatan yang sebelum ini dikuasai tentera Israel.

“Kita perlu menyokong LAF. Tanpa LAF, segala-galanya akan runtuh,” kata Encik Aoun.

Beliau menyifatkan tentera Lebanon sebagai “tulang belakang keselamatan dan kestabilan negara” serta institusi yang paling dipercayai rakyat.

Encik Trump pula berkata Lebanon telah lama menjadi mangsa konflik dan peperangan.

“Ia sebuah negara yang telah lama menderita dan menerima kesan yang sangat buruk selama beberapa dekad.

“Mungkin ia sebuah tempat yang berbahaya dalam banyak keadaan, tetapi rakyatnya sangat mencintai negara mereka... dan kami akan membantu mereka.

Kami akan membantu mereka dengan banyak,” katanya kepada pemberita.

Selepas pertemuan itu, Encik Trump turut mengumumkan beliau akan membenarkan semula syarikat penerbangan Amerika Syarikat mengendalikan penerbangan terus ke Lebanon.

Perkhidmatan itu digantung lebih 40 tahun lalu selepas pesawat TWA dibajak oleh kumpulan militan Lebanon pada 1985 dalam satu insiden yang melibatkan ramai rakyat Amerika Syarikat.

Perdana Menteri Lebanon, Encik Nawaf Salam, menyambut baik pengumuman itu dan berkata langkah tersebut akan meningkatkan hubungan perjalanan antara kedua-dua negara serta membantu memulihkan ekonomi Lebanon.

Dalam pertemuan berkenaan, Encik Aoun turut menegaskan bahawa kejayaan pelaksanaan perjanjian keselamatan bergantung kepada pengunduran penuh tentera Israel dari wilayah Lebanon yang masih didudukinya.

Menurut kenyataan pejabat presiden Lebanon, Encik Aoun menekankan bahawa pengunduran Israel merupakan syarat penting bagi membolehkan perjanjian itu dilaksanakan sepenuhnya.

Apabila ditanya sama ada Amerika Syarikat akan memberi tekanan tambahan kepada Israel supaya berundur, Encik Trump hanya menjawab:

“Kami akan menelitinya.”

Perjanjian rangka kerja yang disokong Washington itu menetapkan tentera Lebanon akan mengambil alih kawalan beberapa kawasan di selatan negara itu secara berperingkat, manakala Israel pula akan berundur daripada kawasan berkenaan.

Pelaksanaan perjanjian itu juga bertujuan membuktikan kerajaan Lebanon mampu mengembalikan kuasa negara ke seluruh wilayahnya dan melaksanakan usaha melucutkan senjata Hezbollah, yang disokong Iran.

Israel menjadikan pelucutan senjata Hezbollah sebagai syarat utama sebelum menamatkan kehadiran tenteranya di selatan Lebanon.

Bagaimanapun, pelaksanaan perjanjian itu masih berdepan cabaran.

Tentera Lebanon memaklumkan bahawa mereka mula ditempatkan di kampung Zawtar al-Gharbiya, salah satu daripada tiga zon perintis yang dipersetujui dalam perjanjian tersebut.

Namun, hanya beberapa jam selepas penempatan itu bermula, tentera Israel didakwa melepaskan tembakan berhampiran anggota tentera Lebanon.

Menurut tentera Lebanon, tembakan dilepaskan ketika anggotanya sedang melaksanakan penempatan di kawasan berkenaan.

Sebaliknya, Angkatan Pertahanan Israel (IDF) berkata tenteranya hanya melepaskan tembakan amaran ke udara selepas mendapati anggota tentera Lebanon memasuki kawasan yang bukan sebahagian daripada zon perintis.

IDF turut mengesahkan tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu.

Encik Aoun, bekas panglima tentera Lebanon yang memegang jawatan presiden sejak awal 2025, berulang kali mengkritik tindakan Hezbollah yang menurutnya telah mengheret Lebanon ke dalam peperangan dengan Israel.

Beliau turut berikrar untuk memastikan semua senjata di negara itu berada di bawah kawalan pemerintah.

Namun, Hezbollah terus menolak sebarang usaha melucutkan senjatanya dan membantah rundingan damai antara Lebanon dan Israel.

Menurut Encik Aoun, perjanjian rangka kerja tersebut tidak memerlukan kelulusan Parlimen kerana ia berada di bawah kuasa presiden berdasarkan Perlembagaan Lebanon.

Sementara itu, Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Encik Marco Rubio, yang bertemu Encik Aoun pada 19 Julai, berkata keamanan sebenar tidak akan dapat dicapai selagi Hezbollah masih bersenjata.

“Lebanon tidak akan benar-benar menikmati keamanan selagi Hezbollah terus memiliki senjata,” katanya.

Encik Rubio turut memuji usaha kerajaan Lebanon untuk memulihkan kedaulatan negara, melucutkan senjata Hezbollah dan membongkar apa yang disifatkannya sebagai “infrastruktur pengganas” kumpulan itu.

Konflik terbaharu antara Israel dan Hezbollah mengorbankan lebih 4,300 orang di Lebanon, menurut pihak berkuasa negara itu.

Bagaimanapun, tahap keganasan menurun dengan ketara selepas termeterainya perjanjian rangka kerja antara Amerika Syarikat dan Iran pada Jun lalu, diikuti persetujuan keselamatan antara Lebanon dan Israel yang membuka laluan kepada usaha menstabilkan sempadan kedua-dua negara. - Agensi berita