WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, mendakwa Iran melancarkan lebih banyak serangan peluru berpandu dan dron sepanjang minggu lalu berbanding mana-mana tempoh dalam tempoh lebih setahun, ketika ketegangan antara kedua-dua negara terus meningkat.

Bagaimanapun, Encik Trump berkata, semua peluru berpandu dan dron yang dilancarkan Iran berjaya dipintas oleh tentera Amerika tanpa menyebabkan sebarang kerosakan.

Dalam hantaran di platform media sosial Truth Social pada 22 November, Encik Trump mengaitkan peningkatan serangan Iran dengan kemenangan Parti Demokrat dalam pilihan raya pertengahan penggal pada 3 November lalu.

Pilihan raya itu menyaksikan Demokrat menguasai kedua-dua dewan Kongres, ketika pengundi semakin tidak berpuas hati terhadap perang dengan Iran dan kenaikan harga bahan api.

Encik Trump mendakwa beliau sudah menjangkakan dua perkembangan sekiranya Demokrat memenangi pilihan raya berkenaan, iaitu kejatuhan pasaran saham dan peningkatan serangan Iran.

“Seperti yang semua orang ingat, saya meramalkan dua perkara berkaitan pilihan raya pertengahan penggal pada 3 November.

“Pertama, jika Demokrat menang, pasaran saham akan jatuh dengan ketara, dan itulah yang berlaku.

“Kedua, Republik Islam Iran, yang sehingga hari ini telah membunuh 81,000 penunjuk perasaan, akan menjadi lebih agresif dalam serangannya. Perkara itu juga sudah berlaku,” katanya.

Lihat berita utama daripada semua kategori di satu tempat.

Bagaimanapun, Encik Trump tidak mengemukakan bukti bagi menyokong angka kematian penunjuk perasaan yang didakwanya.

Menurut Encik Trump, Iran melancarkan lebih banyak dron dan peluru berpandu sepanjang minggu lalu berbanding mana-mana tempoh dalam tempoh lebih setahun.

“Jangan bimbang, semuanya berjaya ditembak jatuh dan tidak menyebabkan sebarang kerosakan,” katanya.

Beliau turut mendakwa pemimpin Iran menganggap Demokrat sebagai lemah dan tidak berkesan dalam mempertahankan kepentingan Amerika.

“Pemimpin Iran menganggap Demokrat lemah, tidak berkesan dan merosakkan negara, tetapi saya tidak akan membiarkan perkara itu berlaku,” tegasnya.

Kenyataan Encik Trump dibuat beberapa hari selepas Senat Amerika menolak satu ketetapan yang bertujuan mengehadkan kuasa Presiden untuk meneruskan tindakan ketenteraan terhadap Iran.

Ketetapan mengenai kuasa perang itu ditolak dengan 51 undi berbanding 48 pada 19 November, sekali gus membolehkan Encik Trump mengekalkan kuasa ketenteraannya.

Dalam wawancara bersama Fox News pada awal 22 November, Encik Trump turut memberi amaran bahawa Amerika mungkin menyambung semula serangan terhadap Iran selepas tahun baharu sekiranya rundingan diplomatik gagal menghasilkan persetujuan.

Beliau juga memberi amaran keras kepada kapal Iran yang cuba mencabar sekatan laut yang dikuatkuasakan tentera Amerika.

Menurutnya, kapal berkenaan akan menerima nasib sama seperti kapal perang Iran lain yang didakwanya sudah dimusnahkan.

Encik Trump turut menuduh Demokrat dan Iran sengaja berusaha mengekalkan harga minyak pada paras tinggi menjelang pilihan raya pertengahan penggal bagi menjejaskan kedudukan politiknya.

“Kedua-dua Demokrat dan Iran berusaha sedaya upaya memastikan harga minyak kekal tinggi selama mungkin.

“Sejak pilihan raya berlangsung, harga minyak sudah jatuh pada kadar yang mencatat rekod,” katanya.

Bagaimanapun, beliau tidak mengemukakan bukti bagi menyokong dakwaan bahawa Demokrat dan Iran bekerjasama mempengaruhi harga minyak.

Encik Trump turut mempersoalkan perjalanan pilihan raya berkenaan, sambil menyifatkannya sebagai sesuatu yang luar biasa, namun tidak memberikan bukti berhubung sebarang penyelewengan.

“Amat malang pengundi tidak memahami perkara ini sebelum mereka membuat keputusan.

“Keseluruhan pilihan raya itu sangat pelik,” katanya.

Walaupun berdepan kekalahan politik dalam pilihan raya pertengahan penggal dan ketegangan yang semakin memuncak dengan Iran, Encik Trump menegaskan Amerika akhirnya akan muncul sebagai pemenang.

“Akhirnya, Amerika akan menang!” katanya. - Agensi berita

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti