Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Trump: Israel tidak akan serang Qatar lagi

Sep 16, 2025 | 11:03 AM
Qatar, Israel, Amerika Syarikat
Foto edaran yang dikeluarkan oleh Pejabat Akhbar Pemerintah (GPO) menunjukkan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu (kanan) bersama Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Marco Rubio (kiri) ketika pertemuan di pejabat Perdana Menteri di Baitulmaqdis, 15 September 2025. - Foto EPA

DOHA: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, sekali lagi menegaskan bahawa Israel tidak akan menyerang Qatar selepas insiden pengeboman pejabat politik Hamas di Doha pada 9 September lalu mencetuskan kecaman antarabangsa.

Namun, kenyataan Encik Trump itu bercanggah dengan pendirian Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, yang enggan menolak kemungkinan serangan lanjut terhadap pemimpin Hamas.

“Mereka tidak akan kebal, di mana sahaja mereka berada,” kata Encik Netanyahu dalam sidang media bersama Setiausaha Negara Amerika, Encik Marco Rubio, di Baitulmakdis.

Serangan ke atas Doha – sekutu rapat Amerika dan tuan rumah pejabat politik Hamas sejak 2012 telah membunuh enam orang, tetapi pemimpin tertinggi Hamas dilaporkan terselamat.

Tindakan Israel menimbulkan kejutan, bukan sahaja di dunia Arab tetapi juga di Eropah, malah mengundang rasa tidak senang Encik Trump sendiri.

Rumah Putih sebelum ini mengumumkan bahawa Encik Trump telah memberi jaminan kepada Qatar bahawa serangan sedemikian “tidak akan berulang di tanah mereka”.

Pada 15 September, beliau mengulangi perkara itu. “Beliau (Netanyahu) tidak akan menyerang di Qatar,” kata Encik Trump kepada pemberita di Pejabat Oval Office.

Namun, dalam sidang media di Baitulmakdis, Encik Netanyahu mempertahankan tindakannya.

“Setiap negara mempunyai hak mempertahankan diri di luar sempadannya,” katanya, dengan menegaskan Israel bertindak sendiri tanpa penglibatan Amerika. “Kami melakukannya sendiri. Noktah.”

Walaupun terdapat ketegangan berhubung serangan di Doha, Encik Rubio menunjukkan sokongan penuh kepada Netanyahu.

“Rakyat Gaza berhak mendapat masa depan yang lebih baik, tetapi masa depan itu tidak akan bermula selagi Hamas masih wujud,” kata Encik Rubio.

Beliau turut mempersoalkan sama ada jalan diplomasi mampu menamatkan perang yang telah berlarutan hampir dua tahun itu.

Encik Rubio menegaskan hubungan Washington dengan sekutu Teluk “tetap kukuh”, walaupun timbul persoalan sama ada serangan Israel menjejas kedudukan Amerika di rantau tersebut.

Encik Netanyahu pula menyifatkan hubungan dengan AS sebagai “kukuh seperti batu di Tembok Barat”.

Di Doha, pemimpin Arab dan Islam mengadakan sidang tergempar sebagai tanda solidariti dengan Qatar. Perdana Menteri Qatar menggesa masyarakat antarabangsa menghentikan “pilih kasih berganda” dan menghukum Israel.

Qatar, yang menjadi tuan rumah pangkalan udara terbesar Amerika di rantau itu, berperanan penting sebagai pengantara rundingan tidak langsung antara Israel dan Hamas. Insiden serangan di Doha mencabar kredibilitinya sebagai perantara utama dan meningkatkan ketegangan diplomatik dengan Washington.

Encik Trump mendakwa beliau tidak dimaklumkan lebih awal tentang serangan Israel di Qatar. “Saya tidak diberitahu terlebih dahulu,” katanya.

Namun, laporan Axios menyebut Encik Netanyahu ada memaklumkan Encik Trump sejurus sebelum serangan berlaku walaupun Rumah Putih mendakwa mereka hanya tahu selepas peluru berpandu sudah dilancarkan.

Menurut laporan itu, tempoh masa terlalu singkat untuk Amerika campur tangan, meskipun ia mengetahui rancangan Israel.

Kenyataan bercanggah antara Encik Trump dan Encik Netanyahu berlaku ketika Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dijangka bersidang pada 22 September. Beberapa sekutu rapat Amerika termasuk United Kingdom, Perancis, Canada, Australia dan Belgium dijangka mengiktiraf negara Palestin.

Pengiktirafan itu dijangka memperhebatkan perdebatan politik dalaman Israel, khususnya selepas Encik Netanyahu memberi kelulusan terakhir kepada projek penempatan E1 di timur Baitulmakdis yang akan memisahkan Tebing Barat kepada dua bahagian. “Kami akan penuhi janji bahawa tidak akan ada negara Palestin. Tempat ini milik kami,” kata Encik Netanyahu ketika menandatangani perjanjian projek tersebut. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg