Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Trump isytihar darurat di Washington

usa
Jan 13, 2021 | 05:30 AM



WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, kelmarin meluluskan perisytiharan darurat di kawasan ibu kota Washington yang berlangsung hingga 24 Januari ini, umum Rumah Putih.



Langkah itu diambil setelah pihak berkuasa memberi amaran mengenai ancaman keselamatan berkaitan acara pelantikan Presiden Dipilih, Encik Joe Biden, yang dijadual pada 20 Januari ini.



Pihak Biro Siasatan Federal (FBI) telah memberi amaran bahawa bantahan bersenjata sedang dirancang di Washington dan juga di semua 50 ibu kota negeri serata Amerika menjelang perasmian 20 Januari itu, kata satu sumber penguatkuasaan undang-undang persekutuan.



Diancam dengan lebih banyak keganasan daripada penyokong Encik Trump berikutan serangan ke atas bangunan Capitol Rabu lalu, FBI telah mengeluarkan amaran supaya dipertingkat tahap keselamatan sehingga sekurang-kurangnya hari perasmian Encik Biden itu, kata sumber berkenaan.



Dalam langkah lain untuk melindungi keselamatan ibu kota Amerika, Pengawal Nasional juga diberi kuasa untuk mengerahkan sehingga 15,000 anggotanya ke Washington, sementara pelawat dilarang mengunjungi Monumen Washington hingga 24 Januari.



Ketua Biro Pengawal Nasional, Jeneral Daniel Hokanson, memberitahu wartawan bahawa beliau menganggarkan sekitar 10,000 anggota tentera itu bakal dikerah di Washington menjelang Sabtu ini untuk membantu menyediakan keselamatan, logistik dan perhubungan.



Beliau mengatakan jumlahnya boleh meningkat kepada 15,000 anggota tentera jika diminta oleh pihak berkuasa tempatan.



Sementara itu, sekurang-kurangnya seorang penggubal undang-undang telah meminta Pentagon untuk melakukan lebih banyak lagi langkah berjaga-jaga.



Senator Chris Murphy, yang mengatakan bahawa beliau telah mengirim surat kepada pemangku setiausaha pertahanan kelmarin, mengatakan tidak jelas apakah Pengawal Nasional mempunyai keupayaan mencukupi untuk melindungi ibu kota Amerika, dan pasukan tentera sepenuh masa mungkin juga diperlukan.



Sementara itu, Encik Biden memberitahu wartawan bahawa "beliau tidak bimbang untuk mengangkat sumpah di luar (kawasan bangunan Capitol)", merujuk kepada suasana tradisional upacara mengangkat sumpah di kawasan bangunan itu.



Namun beliau menegaskan bahawa amat penting bagi mereka "yang melakukan hasutan dan mengancam nyawa orang, merosakkan harta benda awam, menyebabkan kerosakan besar" dipertanggungjawabkan akan tindakan mereka.



Selain itu, jawatankuasa pelantikan Encik Biden mengatakan tema upacara pelantikan pada 20 Januari nanti adalah "Bersatu Amerika".



Encik Trump, yang telah berusaha membatalkan keputusan pilihan raya presiden November lalu dengan tuntutan palsu tentang adanya penipuan meluas, berkata baru-baru ini beliau tidak akan menghadiri upacara itu - keputusan yang disokong Encik Biden.



Sementara itu, pihak Perkhidmatan Taman menyatakan ia akan menghentikan lawatan ke Monumen Washington, tugu petanda bagi menghormati presiden pertama negara itu, ekoran cabaran keselamatan daripada ancaman untuk mengganggu pelantikan Encik Biden.



Mayor Washington Muriel Bowser pula meminta Jabatan Dalam Negeri Amerika membatalkan permit orang awam berkumpul hingga 24 Januari.



"Perancangan upacara pelantikan ini mesti berbeza daripada yang lain," katanya kepada wartawan kelmarin. - Reuters, AFP.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >