Topik diikuti
Pergi ke BHkuTrump kerah 5,000 tentera ke Poland selepas batalkan sebelumnya
Trump kerah 5,000 tentera ke Poland selepas batalkan sebelumnya
Trump kerah 5,000 tentera ke Poland selepas batalkan sebelumnya
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berkata pada 21 Mei bahawa beliau akan menghantar 5,000 tentera ke Poland, selepas Washington berkata pengerahan yang dirancang sebelum ini telah dibatalkan di tengah-tengah tekanan ke atas Eropah untuk mempertahankan dirinya.
Encik Trump berkata langkah itu adalah berdasarkan hubungan baiknya dengan Presiden Poland Encik Karol Nawrocki, sekutu nasionalis yang beliau “bangga untuk sokong” dalam pilihan raya pada 2025.
Encik Trump menjadi tuan rumah kepada Encik Nawrocki di Rumah Putih pada Mei tahun lalu dan menyokongnya pada saat genting menjelang pilihan raya Poland yang menyaksikan Encik Nawrocki mengalahkan calon parti pro-Eropah pimpinan Perdana Menteri Poland Encik Donald Tusk.
Beliau bertemu Nawrocki sekali lagi di Rumah Putih pada September lalu, dan berkata pada masa itu bahawa Amerika boleh meningkatkan kehadiran tenteranya di Poland dan berikrar untuk menjamin pertahanan negara tersebut.
“Saya dengan sukacitanya mengumumkan bahawa Amerika akan menghantar tambahan 5,000 tentera ke Poland,” kata Encik Trump di rangkaian Sosial Truth beliau.
Namun, beliau tidak memberikan butiran lanjut, tetapi komennya jelas merujuk kepada pengerahan beberapa ribu tentera Amerika ke Poland.
Minggu lalu, pegawai Amerika berkata pengerahan 4,000 tentera Amerika ke Poland telah dibatalkan, langkah terbaru pentadbiran Encik Trump untuk mengurangkan bilangan tentera dan menghukum sekutu Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) kerana tidak membantu dalam perang Iran.
Naib Presiden Amerika, Encik JD Vance kemudian berkata pada 19 Mei bahawa pengerahan 4,000 tentera telah ditangguhkan, bukan dibatalkan, sambil menambah bahawa Encik Trump belum membuat “keputusan muktamad.”
Bagaimanapun, Encik Vance menambah bahawa Eropah terpaksa berdiri di atas “kakinya sendiri” ketika Encik Trump meneruskan usahanya untuk meminta sekutu Eropah menanggung lebih banyak beban untuk pertahanan mereka.
Encik Trump kelihatan bertekad untuk menghukum sekutu yang gagal menyokong perang Timur Tengah atau menyumbang kepada pasukan pengaman di Selat Hormuz yang telah ditutup oleh Iran.
Pentagon mengumumkan pada awal Mei bahawa Washington akan menarik balik 5,000 tentera daripada Jerman selepas Canselor Friedrich Merz berkata Iran “memalukan” Amerika di meja rundingan.
Penggubal undang-undang Demokrat dan Republikan sama-sama mengkritik langkah itu sebagai menghantar isyarat yang salah kepada sekutu dan Presiden Russia Encik Vladimir Putin semasa perang selama empat tahun di Ukraine.
Jurucakap Ketua Pentagon, Encik Sean Parnell, berkata pada 19 Mei bahawa ia adalah “kelewatan sementara” pengerahan tentera Amerika ke Poland, yang beliau sifatkan sebagai “sekutu model Amerika”.
Beliau berkata ia adalah hasil daripada langkah Amerika mengurangkan bilangan pasukan tempur briged yang ditugaskan ke Eropah daripada empat kepada tiga dan menunjukkan Pentagon masih perlu memutuskan tentera mana yang akan ditempatkan.
Setiausaha Pertahanan Encik Pete Hegseth dan Setiausaha Pertahanan Encik Elbridge Colby kedua-duanya bercakap dengan rakan sejawat mereka dari Poland minggu ini.
Perdana Menteri Poland Donald Tusk berkata pada 20 Mei bahawa beliau gembira mendengar “pengisytiharan Washington bahawa Poland akan dilayan sebagaimana yang sepatutnya.” - AFP, Reuters
