WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, menafikan dakwaan bahawa beliau mempunyai masalah kesihatan serius, sambil menyalahkan pengambilan aspirin sebagai punca lebam besar yang kerap kelihatan di tangannya serta menolak dakwaan bahawa beliau tertidur semasa menghadiri mesyuarat awam.
Dalam satu wawancara bersama The Wall Street Journal yang diterbitkan pada 1 Januari, Encik Trump mempertahankan tahap kesihatannya dan menyifatkan penelitian berterusan terhadap keadaan fizikalnya sebagai sesuatu yang berlebihan dan menjengkelkan.
“Kesihatan saya sempurna,” kata Encik Trump, yang kini berusia 79 tahun dan merupakan individu tertua pernah memegang jawatan Presiden Amerika Syarikat.
Encik Trump, yang membina imej politiknya berasaskan tenaga, ketahanan fizikal dan keaktifan termasuk kehadiran kerap di hadapan media, hantaran berterusan di media sosial serta imej kecerdasan buatan yang menggambarkannya sebagai adiwira kini berdepan persoalan yang semakin meningkat sepanjang tahun pertama penggal keduanya.
Perhatian tertumpu khususnya kepada lebam yang kelihatan berterusan di tangan kanannya, yang sering ditutup dengan lapisan solekan tebal atau pembalut, selain pergelangan kaki yang dilihat membengkak dalam beberapa penampilan awam.
Dalam beberapa acara rasmi, Encik Trump juga kelihatan bergelut untuk mengekalkan mata terbuka, termasuk semasa satu mesyuarat di Pejabat Oval bersama wakil sektor kesihatan yang disiarkan secara langsung pada November lalu. Insiden itu menjadi isu sensitif memandangkan Encik Trump sering mengejek pendahulunya, Encik Joe Biden, sebagai “mengantuk”.
Encik Biden meninggalkan Rumah Putih setahun lalu pada usia 82 tahun, sekali gus menjadi presiden tertua dalam sejarah Amerika Syarikat - satu rekod yang dijangka akan diatasi oleh Encik Trump sekiranya beliau menamatkan penggal keduanya.
Dalam wawancara itu, Encik Trump menjelaskan lebam di tangannya berpunca daripada aspirin yang diambilnya setiap hari bagi mencairkan darah. “Saya tidak mahu darah pekat mengalir melalui jantung saya,” katanya kepada The Wall Street Journal. Beliau berkata lebam itu akan ditutup dengan solekan atau pembalut apabila tangannya “terhentak”.
Encik Trump turut memberikan penjelasan khusus terhadap salah satu kecederaan, dengan mendakwa ia berlaku apabila Peguam Negara, Cik Pam Bondi, secara tidak sengaja memukul belakang tangannya dengan cincin ketika mereka bersalaman secara ‘high-five’ - iaitu ketika mereka saling menepuk tapak tangan sebagai tanda sapaan atau perayaan ringkas, bukannya bersalaman secara tradisional.
Namun, penjelasan Encik Trump mengenai kesihatannya didapati tidak konsisten, termasuk berhubung ujian imbasan perubatan yang dijalaninya pada Oktober lalu. Sebelum ini, Encik Trump memberitahu wartawan bahawa beliau telah menjalani imbasan pengimejan resonans magnetik (MRI), namun mengakui tidak pasti apa yang dianalisis oleh doktor.
“Apa sahaja yang mereka analisis, mereka analisis dengan baik, dan mereka kata keputusan saya adalah antara yang terbaik pernah mereka lihat,” katanya ketika itu.
Bagaimanapun, dalam wawancara terbaru bersama The Wall Street Journal, Encik Trump mengubah kenyataan tersebut dengan mengatakan ia bukan MRI. “Ia bukan MRI. Ia kurang daripada itu. Ia satu imbasan,” katanya.
Doktor peribadi Encik Trump, Dr Sean Barbabella, mengesahkan kepada akhbar berkenaan bahawa Presiden sebenarnya menjalani imbasan tomografi berkomputer (CT), iaitu prosedur yang jauh lebih singkat berbanding MRI.
Menurut Dr Barbabella, imbasan CT itu dilakukan “bagi menolak secara muktamad sebarang isu berkaitan kardiovaskular”.
Encik Trump turut menolak dakwaan bahawa beliau tertidur semasa mesyuarat atau acara rasmi.
“Saya bukan seorang yang banyak tidur,” katanya. Beliau mendakwa apa yang kelihatan seperti terlelap hanyalah saat-saat berehat seketika. “Saya cuma tutup mata. Ia sangat menenangkan bagi saya,” katanya.
“Kadang-kadang mereka ambil gambar saya ketika saya terpejam. Berkelip, berkelip dan mereka tangkap gambar itu.”
Encik Trump jarang melakukan senaman fizikal selain bermain golf di padang miliknya sendiri, dan sejak bertahun-tahun lalu tidak menyembunyikan kegemarannya terhadap makanan segera yang tinggi lemak dan sodium.
Pemerhati politik berkata isu kesihatan Encik Trump kini menjadi perhatian bukan sahaja kerana usianya, tetapi juga kerana beliau menjadikan kecergasan sebagai sebahagian penting naratif kepimpinannya.
“Trump membina identiti politiknya dengan membezakan dirinya daripada Biden, khususnya dari segi tenaga dan ketahanan fizikal,” kata seorang penganalisis politik Amerika. “Sebarang tanda kelemahan fizikal, walaupun kecil, akan diperbesar dalam iklim politik yang sangat terpolarisasi.”
Walaupun Encik Trump berulang kali menegaskan bahawa beliau sihat sepenuhnya, penelitian terhadap kesihatannya dijangka berterusan, terutama ketika beliau terus aktif menghadiri mesyuarat, perhimpunan awam dan kempen politik yang padat.
Bagi Encik Trump, isu ini bukan sekadar soal perubatan, tetapi juga soal persepsi awam sesuatu yang beliau jelas enggan biarkan menghakis imej kepimpinan yang cuba dipertahankannya. - Agensi berita


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg