Trump pecat Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri, Kristi Noem

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Trump pecat Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri, Kristi Noem

Lantik Senator Markwayne Mullin sebagai pengganti
Mar 6, 2026 | 3:51 PM

Trump pecat Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri, Kristi Noem

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
 Presiden Amerika Syarikat  Donald Trump, memecat Kristi Noem daripada jawatan ketua jabatan Keselamatan Dalam Negeri Amerika (DHS), agensi bertanggungjawab melaksanakan tindakan tegas terhadap pendatang tanpa dokumen.
 Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, memecat Kristi Noem daripada jawatan ketua jabatan Keselamatan Dalam Negeri Amerika (DHS), agensi bertanggungjawab melaksanakan tindakan tegas terhadap pendatang tanpa dokumen. - Foto REUTERS

TWASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, memecat Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri, Kristi Noem, pada Khamis dan mengumumkan rancangan melantik Senator Republikan dari Oklahoma, Markwayne Mullin, sebagai penggantinya selepas ketegangan yang semakin memuncak antara beliau dan pentadbiran Rumah Putih.

Encik Trump membuat pengumuman itu melalui media sosial, sambil menyatakan bahawa Cik Noem akan diberikan peranan baharu sebagai utusan khas bagi inisiatif keselamatan yang dinamakan “Shield of the Americas” atau “Perisai Amerika”, yang dijangka diumumkan pada 7 Mac.

“(Noem) telah berkhidmat dengan baik dan mencapai banyak hasil yang luar biasa (terutama di sempadan!),” kata Encik Trump.

Menurut Encik Trump, inisiatif itu bertujuan memperkukuh kerjasama keselamatan di Hemisfera Barat.
Dalam kenyataannya, Encik Trump berkata Encik Mullin akan mengambil alih jawatan tersebut selepas tempoh peralihan.

Beliau menyifatkan Encik Mullin sebagai pejuang gerakan ‘Jadikan Amerika Hebat Kembali’ (MAGA) dan berkata Senator yang menggantikannya akan menjadi Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri yang hebat.

“Markwayne akan bekerja tanpa henti untuk memastikan sempadan kita selamat, menghentikan jenayah pendatang, pembunuh dan penjenayah lain daripada memasuki negara kita secara haram, menamatkan ancaman dadah haram dan MENJADIKAN AMERIKA SELAMAT SEMULA,” kata Encik Trump.

Encik Trump berkempen untuk kembali ke Rumah Putih dengan janji mengusir jutaan pendatang tanpa dokumen dari Amerika dengan Keselamatan Dalam Negeri Amerika (DHS) menjadi agensi utama yang melaksanakan dasar pengusiran itu.

Sementara itu, Cik Noem, 54 tahun, dijangka kekal memegang jawatan Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri - agensi bertanggungjawab melaksanakan tindakan tegas terhadap pendatang tanpa dokumen sehingga 31 Mac. Dalam kenyataan ringkas di media sosial, Cik Noem mengucapkan terima kasih kepada Encik Trump atas kepercayaan yang diberikan sepanjang tempoh perkhidmatannya.

“Kami berjaya mewujudkan sempadan paling selamat dalam sejarah AS,” kata Cik Noem, sambil menambah tiga juta pendatang tanpa izin telah meninggalkan Amerika. Pemecatan Cik Noem berlaku selepas beberapa minggu tekanan politik terhadap beliau, yang memuncak susulan sesi soal jawab di Kongres minggu ini.

Semasa pendengaran tersebut, Cik Noem menyatakan bahawa Encik Trump telah meluluskan kempen iklan pemerintah bernilai lebih AS$200 juta (sekitar S$255 juta) yang turut menampilkan dirinya secara meluas dan menonjol.

Namun Encik Trump menafikan perkara itu. “Saya tidak pernah tahu apa-apa mengenainya,” kata Encik Trump kepada Reuters ketika diminta mengulas kenyataan Noem di Kongres.

Menurut sumber yang mengetahui perkara itu, Encik Trump berang selepas melihat rakaman jawapan Cik Noem kepada panel Senat kerana beliau dilihat seolah-olah menyalahkan presiden atas kempen iklan yang mencetuskan kontroversi.

Kempen tersebut merupakan sebahagian daripada projek promosi keselamatan pemerintah yang bernilai ratusan juta dolar.

Kontroversi mengenai kempen iklan itu muncul ketika laporan media turut mempersoalkan beberapa keputusan perbelanjaan Cik Noem, termasuk penggunaan jet peribadi yang mahal.

Seorang pemeriksa dalaman pemerintah sebelum ini memberitahu Kongres bahawa Cik Noem didakwa “secara sistematik menghalang” siasatan terhadap pejabatnya.

Sepanjang tempoh perkhidmatannya, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri turut berdepan beberapa kontroversi serta masalah moral dalam kalangan kakitangan. Salah satu isu yang menjejaskan reputasi pentadbiran ialah insiden tembakan terhadap seorang jururawat, Encik Alex Pretti, yang menyertai protes terhadap operasi penguatkuasaan imigresen di Minneapolis pada Januari lalu.

Insiden tersebut dirakam oleh orang awam dan mencetuskan kemarahan nasional terhadap taktik penguatkuasaan imigresen yang semakin agresif.

Kritikan terhadap tindakan itu turut menimbulkan persoalan mengenai kepimpinan Cik Noem dalam mengendalikan agensi yang mengawasi keselamatan sempadan, keselamatan siber dan pengurusan bencana negara.

Sepanjang pentadbirannya, Cik Noem dilihat sebagai antara penyokong kuat dasar keras imigresen Trump.
Beliau bekerja rapat dengan penasihat kanan presiden, Encik Stephen Miller, yang dianggap sebagai arkitek utama dasar imigresen yang lebih ketat.

Cik Noem kini menjadi pegawai Kabinet pertama yang disingkirkan dalam penggal kedua pentadbiran Trump.

Encik Trump sebelum ini terkenal tidak menyukai perhatian media terhadap pertukaran pegawai dalam pentadbirannya. Namun beberapa pegawai kanan di Rumah Putih dilaporkan telah lama meragui kepimpinan Cik Noem.

Encik Trump mempunyai hubungan rapat dengan Encik Mullin dan sering berhubung dengan senator tersebut.
Dalam kenyataan kepada media, Encik Mullin memuji usaha Cik Noem sepanjang tempoh perkhidmatannya. “Beliau telah melakukan yang terbaik dalam keadaan yang mencabar,” katanya.

Namun Encik Mullin berkata beliau berharap dapat memperbaiki beberapa perkara yang tidak berjalan seperti dirancang. “Saya mahu belajar daripada pengalaman beliau dan membina asas yang lebih kukuh untuk masa depan,” tambahnya.

Perubahan kepimpinan itu berlaku ketika Jabatan Keselamatan Dalam Negeri sedang berdepan kebuntuan pembiayaan selepas Demokrat enggan meluluskan peruntukan tambahan tanpa sekatan baharu terhadap operasi penguatkuasaan imigresen.

Pemimpin Demokrat di Kongres menegaskan bahawa pemecatan Cik Noem tidak akan menyelesaikan masalah tersebut. Ketua minoriti Senat, Encik Chuck Schumer, berkata isu sebenar adalah dasar pemerintah, bukan individu yang memegang jawatan. “Ini masalah dasar, bukan masalah individu,” katanya. “Masalahnya jauh lebih mendalam dan tidak boleh diselesaikan hanya dengan menukar seorang pegawai.” - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg