WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, menolak kebimbangan bahawa kecerdasan buatan (AI) boleh terlepas daripada kawalan manusia dan akhirnya mengancam kewujudan manusia, sambil menyifatkan amaran itu sebagai satu ‘penipuan’.

Kenyataannya dibuat ketika kebimbangan mengenai perkembangan pesat AI semakin meningkat di peringkat antarabangsa, dengan pemimpin syarikat teknologi sendiri menggesa langkah keselamatan lebih ketat bagi memastikan sistem itu kekal di bawah kawalan manusia.

Dalam enam catatan di rangkaian sosial Truth Social pada 14 September, Encik Trump berulang kali menolak kebimbangan tersebut.

“Saya pembongkar penipuan, dan sekarang saya sedang membongkar satu lagi penipuan – bahawa AI akan mengambil alih, menguasai dan memusnahkan dunia, dan robot akan berarak masuk ke bandar kita dan menghapuskan kita semua!” katanya.

Encik Trump, 80 tahun, membandingkan kebimbangan mengenai AI dengan amaran perubahan iklim yang pernah ditolaknya, serta siasatan mengenai kaitan Russia dengan kempen pilihan rayanya ketika penggal pertama sebagai Presiden.

Beliau turut mendakwa satu-satunya kawalan yang diperlukan bagi menghadapi risiko AI ialah seorang Presiden yang “kuat dan bijak”.

Pendirian itu bertentangan dengan kebimbangan yang semakin kuat dalam industri teknologi mengenai kemungkinan sistem AI yang semakin canggih menjadi sukar dikawal.

Ketua Pegawai Eksekutif Anthropic, Encik Dario Amodei, pada 12 September menggesa syarikat AI memperlahankan pembangunan teknologi itu.

Gesaan beliau kemudian disuarakan Ketua Pegawai Eksekutif OpenAI, Encik Sam Altman, dan Encik Elon Musk, yang menerajui SpaceXAI.

Microsoft pula pada 14 September menerbitkan “kod etika AI berteraskan manusia” yang, antara lain, menegaskan teknologi tersebut tidak seharusnya mengatasi kawalan manusia.

“AI tidak seharusnya melampaui kawalan manusia. Model AI mesti kekal di bawah kawalan manusia,” menurut salah satu prinsip itu.

Kebimbangan mengenai keselamatan AI meningkat sejak beberapa minggu lalu selepas OpenAI melaporkan beberapa model percubaan berjaya keluar daripada persekitaran ujian yang dikawal, mengakses Internet dan menyelaraskan serangan terhadap ‘Hugging Face’, sebuah wadah yang digunakan untuk menyimpan dan berkongsi kod serta model AI.

Perkembangan itu meningkatkan persoalan mengenai sejauh mana sistem AI yang semakin berkeupayaan tinggi boleh dikawal jika ia mampu bertindak dengan tahap kebebasan yang lebih besar.

Di Amerika, kebimbangan mengenai AI tidak terhad kepada soal keselamatan teknologi.

Tentangan turut meningkat terhadap pembinaan pusat data AI yang menggunakan tenaga dalam jumlah besar, dengan isu itu semakin mendapat perhatian menjelang pilihan raya pertengahan penggal Amerika pada November.

Kongres pula masih belum mencapai persetujuan mengenai langkah yang perlu diambil untuk mengawal teknologi tersebut.

Seorang penduduk New York, Cik Maliyka Muhammad, 46 tahun, berkata tumpuan kini perlu diberikan kepada langkah memastikan AI tidak terlepas daripada kawalan.

“Realitinya AI sudah ada. Kita sudah melepaskan ‘binatang’ itu,” katanya.

“Jadi saya fikir sekarang kita perlu memberi tumpuan kepada langkah mengawalnya supaya ia tidak menjadi tidak terkawal.”

Encik Trump bagaimanapun menegaskan Amerika tidak boleh kehilangan persaingan AI kepada China, ketika Presiden Xi Jinping dijadualkan melawat Rumah Putih minggu depan.

Beliau turut mengecam pihak yang menentang pembangunan AI dan pusat data, dengan mendakwa wujud “konspirasi” terhadap teknologi itu.

Encik Trump secara khusus menyerang Encik Amodei dan mempersoalkan mengapa syarikat AI sendiri mahu peraturan yang menurutnya boleh menjejaskan perniagaan mereka.

China pada masa sama turut menyuarakan kebimbangan mengenai risiko AI, khususnya terhadap keselamatan negara.

Menteri Keselamatan Negara China, Encik Chen Yixin, memberi amaran pada 13 September bahawa kuasa asing boleh menggunakan teknologi itu untuk mengancam ketenteraman sosial China.

Beliau menyifatkan AI sebagai “medan utama persaingan teknologi dunia” dan menonjolkan keupayaan beberapa sistem AI terkini dalam bidang serangan siber.

Kebimbangan di peringkat antarabangsa juga semakin meningkat.

Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dijadualkan mengadakan mesyuarat mengenai AI minggu depan, menurut sumber diplomatik Perancis.

Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia, Encik Volker Turk, pula menggesa negara dan syarikat teknologi bertindak segera untuk mengawal perkembangan AI, yang disifatkannya membawa “risiko yang belum pernah berlaku sebelum ini”.

Raja Charles III dari Britain juga dijangka menjadi tuan rumah kepada wakil syarikat AI utama dalam satu pertemuan di Scotland bagi membincangkan isu berkaitan teknologi tersebut.

Perdebatan yang semakin hangat itu menunjukkan jurang antara pihak yang mahukan kawalan lebih ketat terhadap AI dengan mereka yang bimbang peraturan berlebihan boleh memperlahankan inovasi.

Bagi Encik Trump, keutamaan Amerika kekal jelas – memastikan negara itu terus mendahului persaingan AI dunia, terutama dalam menghadapi China, dan tidak membenarkan kebimbangan mengenai risiko teknologi tersebut menghalang kemajuannya. – Agensi berita.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti