Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Trump pertimbang pilihan tegas susulan protes di Iran

Pergolakan di Iran ragut lebih 500 nyawa, Teheran isyarat mahu berunding
Jan 12, 2026 | 2:12 PM
bantahan, Iran, Trump
Orang ramai membawa keranda semasa perarakan pengebumian anggota pasukan keselamatan dan orang awam yang dilaporkan terkorban dalam protes pada 11 Januari, ketika ketegangan anti-pemerintah terus memuncak, di Teheran, Iran, dalam rakaman skrin daripada video yang dikeluarkan pada 11 Januari 2026. - Foto REUTERS

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, berkata Washington sedang meneliti beberapa pilihan tindak balas susulan laporan tindakan keras berdarah pihak berkuasa Iran terhadap penunjuk perasaan, ketika bantahan besar-besaran memasuki minggu ketiga dan semakin mencabar sistem pemerintahan negara itu.

“Kami sedang meneliti perkara ini dengan sangat serius. Pihak tentera juga sedang melihatnya, dan kami sedang mempertimbang beberapa pilihan yang sangat tegas,” kata Encik Trump kepada wartawan pada 11 Januari ketika berada di atas pesawat Air Force One dalam perjalanan pulang ke Washington dari kediamannya di Mar-a-Lago.

“Kami akan membuat keputusan,” katanya.

Bantahan yang tercetus di seluruh Iran, pada asalnya didorong krisis mata wang dan kejatuhan ekonomi, kini bertukar menjadi cabaran paling serius terhadap Republik Islam itu sejak Revolusi 1979.

Demonstrasi yang merebak ke hampir semua wilayah negara itu menyasarkan kepimpinan politik dan struktur teokratik yang memerintah selama lebih empat dekad.

Menurut Agensi Berita Aktivis Hak Asasi Manusia, sekurang-kurangnya 540 orang terbunuh setakat ini, manakala lebih 10,000 individu ditahan dalam operasi keselamatan yang meluas.

Agensi itu memantau perkembangan protes di 186 bandar merentasi 31 wilayah Iran. Namun, sekatan komunikasi dan gangguan Internet yang berterusan menyukarkan pengesahan skala sebenar keganasan di lapangan.

Amerika Syarikat dan Iran tidak mempunyai hubungan diplomatik rasmi sejak 1980, selepas penawanan Kedutaan Amerika di Teheran oleh pelajar militan Iran pada November 1979, yang mencetuskan krisis tebusan selama 444 hari.

Encik Trump mendedahkan bahawa pemimpin Iran telah menghubungi Washington pada 10 Januari untuk membuka ruang perbincangan.

“Satu pertemuan sedang diatur,” katanya tanpa memberikan butiran lanjut. “Namun, kami mungkin perlu bertindak kerana apa yang sedang berlaku, sebelum pertemuan itu berlangsung.”

The Wall Street Journal melaporkan pilihan itu termasuk serangan ketenteraan, penggunaan senjata siber rahsia, peluasan sekatan serta pemberian bantuan dalam talian kepada pihak anti-pemerintah.

Encik Trump turut membayangkan usaha untuk membantu memulihkan akses Internet di Iran, termasuk kemungkinan menggunakan perkhidmatan satelit Starlink milik usahawan teknologi Elon Musk.

“Kami mungkin boleh menghidupkan semula Internet, jika itu boleh dilakukan,” katanya. “Kami mungkin akan bercakap dengan Elon Musk. Saya akan menghubunginya sebaik sahaja selesai bercakap dengan anda.”

Presiden Iran, Encik Masoud Pezeshkian, mengambil pendirian lebih lunak dengan menyeru dialog, namun beberapa pegawai kanan lain memberi amaran mengenai perbicaraan segera dan kemungkinan hukuman mati terhadap penunjuk perasaan, ketika angka korban terus meningkat.

Speaker Parlimen Iran, Encik Mohammad Baqer Qalibaf, memberi amaran kepada Washington supaya tidak ‘tersalah percaturan’.

“Biar kami jelaskan, sekiranya Iran diserang, wilayah diduduki (Israel) serta semua pangkalan dan kapal Amerika akan menjadi sasaran sah bagi kami,” kata Encik Qalibaf, bekas komander dalam pasukan elit Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC).

Encik Trump secara terbuka menyatakan sokongan kepada penunjuk perasaan dan berulang kali membayangkan kemungkinan tindakan ketenteraan terhadap rejim yang dipimpin Pemimpin Tertinggi Iran, Ali Khamenei, sekali gus mencetuskan kegusaran dalam kalangan sekutu dan pesaing Amerika Syarikat.

“Iran sedang melihat kebebasan, mungkin seperti tidak pernah berlaku sebelum ini. Amerika Syarikat bersedia untuk membantu,” tulis Encik Trump di media sosial pada 10 Januari.

Sebagai reaksi, Tehran memberi amaran kepada Amerika Syarikat dan Israel bahawa Iran akan bertindak balas sekiranya diserang.

Gelombang bantahan turut merebak ke luar Iran. Pada 11 Januari, ribuan penunjuk perasaan berhimpun di London, Paris dan Istanbul bagi menyatakan solidariti terhadap rakyat Iran.

Di London, demonstrasi yang bermula di hadapan Kedutaan Iran dan kemudian berpindah ke kawasan berhampiran kediaman Perdana Menteri Britain, berkembang menjadi beberapa ribu peserta.

“Kami mahukan revolusi, kami mahu perubahan rejim,” kata Afsi, seorang wanita Iran berusia 38 tahun, kepada AFP di hadapan Downing Street. Beliau yang telah menetap di London selama tujuh tahun berkata tidak dapat menghubungi keluarganya di Iran akibat sekatan internet sejak 8 Januari. “Ia sangat mengecewakan, tetapi kali ini kami ada harapan. Kami rasa kami boleh melakukannya,” katanya.

Di Paris, lebih 2,000 penunjuk perasaan mengibarkan bendera Iran era pra-1979 sambil melaungkan slogan “Tidak kepada Republik Islam pengganas”. Polis menghalang mereka daripada menghampiri Kedutaan Iran. “Rakyat di Iran sedang bangkit di jalanan, dan kami di luar negara berada di sini untuk menunjukkan mereka tidak bersendirian,” kata Cik Arya, seorang pelajar Iran berusia 20 tahun di Paris.

Di Istanbul, penunjuk perasaan berhimpun dalam hujan lebat di luar Konsulat Iran, dengan kawalan ketat polis. “Sudah 72 jam kami tidak mendapat sebarang berita dari keluarga di Iran. Tiada Internet, tiada televisyen,” kata Cik Nina, seorang warga Iran yang menetap di Turkey.

Menurut pertubuhan Hak Asasi Iran yang berpangkalan di Norway, sekurang-kurangnya 192 orang terbunuh setakat ini, manakala Pusat Hak Asasi Manusia Iran (CHRI) di Amerika Syarikat berkata ia menerima laporan “boleh dipercayai” mengenai ratusan kematian sejak sekatan Internet dikuatkuasakan.

Rakaman video yang disahkan lokasi oleh AFP menunjukkan puluhan mayat bertimbun di luar sebuah bilik mayat di Kahrizak, selatan Tehran.

Mayat-mayat itu dibungkus dalam beg hitam, sementara ahli keluarga yang berduka dilihat mencari orang tersayang. Kumpulan hak asasi menyifatkan rakaman itu sebagai bukti tindakan keras berskala besar oleh pihak berkuasa. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg