SEORANG "kawan lama" China, Encik Terry Branstad, dipilih oleh bakal presiden Donald Trump sebagai Duta Besar Amerika Syarikat baru ke negara itu.
Gabenor Iowa berusia 70 tahun itu mengenali Presiden China, Encik Xi Jinping, sejak 1985 dan boleh membantu meredakan ketegangan perdagangan antara dua negara itu, kata para diplomat dan pakar perdagangan.
Penamaan Encik Branstad sebagai calon "benar-benar menghantar mesej bahawa Donald Trump mahu mengendalikan China di peringkat hubungan dua hala", kata Profesor Huang Jing, seorang pakar dalam politik China di Universiti Nasional Singapura (NUS), lapor akhbar The Straits Times.
Encik Branstad kali pertama bertemu Encik Xi ketika beliau datang ke Iowa sebagai seorang pegawai wilayah pada lawatan pertamanya ke Amerika pada 1985.
Encik Xi melawat Iowa sekali lagi 17 tahun kemudian, ketika beliau di ambang menjadi presiden China.
Encik Branstad, yang masih menjadi gabenor Iowa, mengadakan majlis jamuan malam untuk tetamu dari China itu dan menggambarkan beliau sebagai "seorang kawan hebat Iowa".
Hubungan lama Encik Branstad dengan Encik Xi dan pemimpin lain China disebut oleh Encik Trump dalam satu kenyataan, di samping kelayakan beliau, termasuk pengalaman dalam pemerintah.
Jurucakap Kementerian Luar China, Encik Lu Kang, menyifatkan Encik Branstad sebagai "kawan lama" China ketika ditanya di Beijing mengenai laporan tentang pelantikan itu pada Rabu (7 Dis), walaupun beliau berkata China akan bekerjasama dengan sesiapa sahaja duta besar Amerika.
"Kami mengalu-alukan beliau memainkan peranan lebih besar dalam memajukan perkembangan hubungan China-AS," kata Encik Lu dalam taklimat berita harian.
Pencalonan Encik Branstad, yang akan dibuat secara rasmi selepas Encik Trump mengangkat sumpah sebagai Presiden pada 20 Jan, diterima dengan baik, termasuk dalam kalangan beberapa anggota Demokrat.
Encik Branstad telah melawat China sekurang-kurangnya enam kali, terakhir November lalu sebagai ketua misi perdagangan yang melawat Beijing dan Hebei.
Pelantikan beliau membayangkan Encik Trump mungkin bersedia mengambil pendirian kurang agresif terhadap China, kata para pakar. - Agensi