Trump: 'Tiada diktator' wajar remehkan tekad Amerika

 

 

PANGKALAN UDARA YOKATA (JEPUN): Presiden Donald Trump, pada Ahad (5 November) memberi amaran bahawa ‘tiada diktator’ seharusnya menganggap remeh keupayaan Amerika Syarikat, mesej yang ditujukan kepada Korea Utara dan dijangka diulangi beberapa kali sempena lawatannya ke Asia.

Bercakap kepada askar Amerika di Pangkalan Udara Yokota, yang terletak di barat Tokyo, Encik Trump memakai jaket tentera yang ditawarkan kepadanya dan memberi ancaman berikut:

‘Tiada sesiapa, tiada diktator, tiada rejim, dan tiada negara yang seharusnya menganggap mudah… tekad Amerika.”

‘Kadang-kala, seperti yang pernah berlaku, mereka telah meremehkan kita. Perkara itu tidak berkesudahan dengan baik untuk mereka, kan? Kata Encik Trump.

“Kami tidak akan mengaku kalah, tidak akan tergugat dan tidak akan menjadi lemah dalam mempertahankan rakyat, kebebasan  dan bendera Amerika yang hebat,” ujarnya.

Kunjungan maraton Encik Trump ini berlangsung dengan berlatar krisis Korea Utara yang kian genting. Pesawat pengebom Amerika kini mengadakan latihan di semenanjung Korea, dengan masyarakat sejagat gementar menanti ujian peluru berpandu susulan oleh Pyongyang.

Encik Trump akan melawat ke Jepun dan Korea Selatan dahulu - negara bersekutu utama Amerika dalam usaha memaksa Pyongyang mengabaikan program nuklear dan dua pihak yang paling menanggung kesan jika konflik tercetus di semenanjung Korea.

 Bercakap kepada wartawan yang mengiringinya dalam pesawat ke Tokyo, Encik Trump berkata beliau besar kemungkinan akan bertemu Presiden Russia Vladimir Putin semasa kunjungan itu, dengan masyarakat antarabangsa terus mencari penyelesian krisi peluru berpandu Korea Utara.

“Saya rasa, adalah dijangka, kami akan bertemu Putin. Kami mahukan bantuan Putin di Korea Utara dan kami akan bermesyuarat dengan ramai pemimpin berbeza,” kata Encik Trump

Tambahnya, Korea Utara adalah ‘masalah besar bagi negara kita dan bagi dunia, dan kami ingin ia diselesaikan’.

Namun, Encik Trump menyimpan hujah lebih simpati bagi warga Korea Utara.

“Saya jangka mereka adalah rakyat yang hebat. Mereka bernaluri perusahaan. Mereka mesra dan lebih mesra daripada apa yang diketahui atau difahami dunia. Mereka adalah orang yang hebat dan saya berharap ini semua akan berkesudahan dengan baik bagi setiap orang” kata Encik Trump.

Seterusnya, Encik Trump bermain golf dengan ‘rakan’ Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe, yang  memenangi pilihan raya umum di Jepun baru-baru ini dengan majoriti besar.

Encik Abe mencapai kemenangan itu bersandar janji untuk memperkukuh pertahanan Jepun dan kedudukannya dalam dunia.

Beliau juga menyokong dasar Encik Trump untuk menambah tekanan maksimum ke atas Pyongyang, dengan sokongan angkatan bersenjata.

Baru-baru ini, Pyongyang telah menembak peluru berpandu merentasi ruang udara Hokkaido.