Topik diikuti
Pergi ke BHkuTrump tuntut bayaran 20% bagi semua kargo yang lalui Selat Hormuz
Trump tuntut bayaran 20% bagi semua kargo yang lalui Selat Hormuz
Trump tuntut bayaran 20% bagi semua kargo yang lalui Selat Hormuz
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berkata Amerika akan mengenakan kembali sekatannya terhadap kapal-kapal Iran yang melintasi Selat Hormuz dan menuntut pembayaran balik 20 peratus untuk semua kargo lain yang dihantar melalui laluan air itu.
“Selat Hormuz TERBUKA, dan akan kekal TERBUKA, dengan atau tanpa Iran. Kami sedang mengembalikan semula SEKATAN IRAN,” kata Encik Trump di Truth Social pada 13 Julai.
“Amerika akan dibayar balik, pada kadar 20 peratus ke atas semua kargo yang dihantar, untuk sebarang dan semua kos yang diperlukan untuk menjalankan tugas menyediakan keselamatan dan sekuriti kepada bahagian Dunia yang sangat tidak menentu ini.”
Beliau berkata proses itu akan bermula serta-merta, tetapi tidak mengulas lanjut.
Encik Trump mengemukakan idea itu sebelum ini dalam temu bual telefon di program “Fox & Friends” Fox News, dengan mengatakan Amerika mungkin akan mengambil alih selat itu dan harus dibayar balik.
“Kami akan mengekalkan selat itu, dan kami mungkin akan menguruskannya. Kami akan menjadi penjaga selat itu.
“Mungkin kami akan memanggilnya – penjaga selat. Dan kami harus dibayar balik untuk itu,” katanya.
Pengawalan Selat Hormuz, laluan penting untuk bekalan minyak sejagat, telah menjadi salah satu medan pertempuran utama konflik tersebut.
Sekatan Iran yang berkesan terhadap selat itu telah meningkatkan harga tenaga dan meningkatkan kebimbangan mengenai inflasi di seluruh dunia.
“Kita akan dibayar balik kerana negara-negara lain sangat kaya. Mereka berada di pihak kita, dan kita tidak boleh dijangka berbuat demikian tanpa sebab,” katanya.
Selepas mengumumkan penutupan laluan air itu pada 9 Julai susulan apa yang digambarkannya sebagai transit tanpa kebenaran, Tehran berkata pada 12 Julai bahawa laluan itu masih digantung, dan permit akan dikeluarkan sebaik sahaja “kestabilan dan ketenangan” dipulihkan.
“Kami mempunyai perjanjian. Ia adalah perjanjian yang telah selesai, dan kemudian mereka melanggarnya.
“Mereka sentiasa melanggarnya. Kami telah mempunyai 10 perjanjian dengan orang-orang ini, jadi kami akan menyerang mereka dengan sangat keras,” kata Encik Trump.
Pengawal Revolusi Iran berkata dalam satu kenyataan pada 13 Julai bahawa satu-satunya cara untuk memulihkan trafik perkapalan biasa melalui selat itu adalah dengan menamatkan campur tangan tentera Amerika di laluan air itu.
Ia juga memberi amaran bahawa “campur tangan berterusan boleh membawa kepada insiden yang lebih besar dalam sektor minyak dan gas sejagat”.
Pasukan Amerika dan Iran bertukar-tukar serangan peluru berpandu dan dron berat pada hujung minggu dan sehingga 13 Julai.
Tehran mengatakan ia menyerang kemudahan tentera Amerika di seluruh Teluk dan memastikan Selat Hormuz ditutup, mendorong harga minyak lebih tinggi.
Pertukaran terbaharu menandakan peningkatan mendadak dalam kedua-dua kadar dan jangkauan geografi serangan sepanjang minggu lalu.
Ia sekali gus menimbulkan keraguan terhadap perjanjian sementara Amerika-Iran yang ditandatangani pada Jun untuk membuka semula selat dan menghentikan permusuhan sementara kedua-dua pihak meneruskan rundingan selama 60 hari lagi. – Reuters.
