DAVOS: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengulangi ancaman mahu menghentikan bantuan kepada Palestin sekiranya mereka tidak mahu mengambil bahagian dalam rundingan damai.

Presiden Trump menuduh Palestin tidak menghormati Amerika, dan atas alasan itu, soalnya, mengapa negaranya perlu berbuat baik kepada mereka.

Bercakap semasa Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos kelmarin, Presiden Trump memaklumkan bahawa Amerika membantu Palestin dengan ratusan juta dolar dan pelbagai bentuk bantuan setiap tahun.

Namun, beliau kecewa apabila pentadbiran Palestin tidak mengalu-alukan kehadiran Naib Presidennya Mike Pence di Baitulmakdis dan enggan mengadakan pertemuan dengan Encik Pence.

"Wang bantuan sudah tersedia, namun ia tidak akan sampai kepada mereka (Palestin) sekiranya mereka enggan duduk di meja rundingan dan mula berbincang mengenai pelan damai," kata Presiden Trump di sidang media selepas pertemuan dengan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu.

Keengganan Palestin berunding berpunca daripada tindakan Amerika mengiktiraf Baitulmakdis sebagai ibu negara Israel pada Disember lalu.

Encik Mike Pence, dalam lawatannya ke Timur tengah beberapa hari lalu, dilihat telah mengeruhkan lagi keadaan di Tebing Barat apabila merujuk Baitulmakdis sebagai ibu negara Israel semasa lawatannya ke kota suci itu.

Minggu lalu, Parti Fatah pimpinan Presiden Palestin Mahmud Abbas, menyeru bantahan besar-besaran diadakan bagi membantah lawatan Encik Pence ke Baitulmakdis.

Presiden Abbas juga telah membatalkan pertemuan dengan Encik Pence dan memberi amaran bahawa Washington tidak lagi mempunyai peranan dalam proses damai Israel-Palestin.

Jurucakap Presiden Palestin, Encik Nabil Abu Rdineh, dalam satu kenyataan rasmi semalam berkata jika Baitulmakdis dikecualikan daripada rundingan, Amerika juga akan dikecualikan daripada terlibat dalam proses damai.

Tegasnya, Amerika tidak mempunyai peranan dalam proses rundingan damai itu, selagi tidak menarik balik keputusan mengiktiraf Baitulmakdis sebagai ibu negara Israel.

"Kami mengecam dan menolak dasar menggunakan wang untuk mengugut rakyat Palestin supaya melutut kepada Amerika," kata jurucakap itu.

Pada April 2014, rundingan damai berterusan selama sembilan bulan antara Israel dengan Palestin yang ditaja Amerika, berakhir tanpa sebarang kejayaan.

Amerika awal bulan ini mengumumkan menyekat peruntukan bernilai AS$65 juta ($84.9 juta) kepada agensi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang menguruskan bantuan kepada pelarian Palestin.

Pada 2016, Palestin menerima bantuan bernilai AS$260 juta daripada Amerika.

Israel bagaimanapun menerima peruntukan bantuan lebih tinggi yakni sebanyak AS$3 bilion, melibatkan bantuan tahunan dalam bidang pertahanan. - Agensi berita.