TUNIS: Presiden Tunisia, Encik Kais Saied, mengeluarkan perintah, memperuntukkan hukuman penjara lima tahun bagi kesalahan penyebaran "berita palsu" dengan tempoh itu akan ditingkatkan kepada 10 tahun, jika dianggap menyasarkan pegawai atasan.
Perintah atau dekri diterbitkan dalam Jurnal Rasmi itu pada Jumaat (16 Sep), mentakrifkan kesalahan terbabit sebagai perbincangan menerusi rangkaian komunikasi dan sistem maklumat untuk menghasilkan, mempromosi, menerbitkan atau menghantar maklumat palsu atau khabar angin.
Ia berlaku selepas 14 bulan Encik Saied mengatur rampasan kuasa dan kononnya pentadbiran beliau ingin mempertanggungjawabkan pihak yang 'membawa kemudaratan kepada hak orang lain, ketenteraman awam dan pertahanan negara' serta 'penyemai panik dalam kalangan penduduk'.
Kesalahan itu juga boleh dihukum denda 50,000 dinar ($21,975).
Dekri itu menerima kecaman di media sosial selepas diterbitkan, disifatkan sebagai cubaan menyekat kebebasan wartawan.
Encik Saied pada Julai tahun lalu telah membubarkan pemerintah dan menggantung parlimen, sebelum membubarkan sepenuhnya dewan perundangan itu.
Ramai warga Tunisia mulanya menyambut baik tindakannya itu, meskipun ia berlawanan dengan sistem demokrasi yang dibangunkan selepas Kebangkitan Arab atau 'Arab Spring' tetapi kemudiannya, tindakannya dilihat lebih memecahkan rakyat dan menjadikan negara itu tidak berfungsi.
Kecaman kini memuncak, dengan kumpulan tempatan dan antarabangsa menuduh presiden sebagai menyekat kebebasan awam.
Kesatuan Wartawan Tunisia pada Mei lalu telah memberi amaran bahawa kebebasan akhbar di negara itu kini berdepan "ancaman serius". - AFP
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg