ISKANDAR PUTERI: Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar semalam melantik anak sulungnya, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim, sebagai Pemangku Raja mulai semalam.

Sultan Ibrahim mengumumkan perkara itu ketika merasmikan mesyuarat kedua (pembukaan rasmi) bagi Penggal Persidangan Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, semalam.

"Saya melantik Tunku Mahkota Johor sebagai Pemangku Raja, saya ingin berehat sekejap, terima kasih, mulai hari ini (semalam)," titahnya.

Bagaimanapun, beliau tidak menyebut tempoh jawatan itu akan dipegang oleh Tunku Ismail.

Kali terakhir Tunku Ismail dilaporkan memegang jawatan itu apabila beliau dilantik pada 10 Ogos 2019.

Tunku Ismail adalah anak sulung Sultan Ibrahim dan Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah.

Tunku Ismail dilantik sebagai Raja Muda Johor pada April 2006, sebelum dilantik sebagai Tunku Mahkota Johor pada Januari 2010.

Pemangku Raja adalah seseorang yang memegang kuasa raja sebagai wakilnya sama ada ketika ketiadaan raja, ketika raja sedang sakit atau raja belum dewasa.

Minggu lalu, Tunku Ismail, yang juga pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta'zim (JDT), mengumumkan pengundurannya daripada kelab tersebut dan menyerahkan urusan harian kelab itu kepada pengurusan tertingginya.

Menerusi hantaran di laman Facebook Johor Southern Tigers pada 9 Jun lepas, Tunku Ismail berkata keputusan itu adalah disebabkan tanggungjawab dan komitmennya yang lain.

Ketika merasmikan pembukaan Mesyuarat Kedua Bagi Penggal Persidangan Pertama DUN Johor ke-15 itu, Sultan Ibrahim menyifatkan negeri Johor dianaktirikan oleh kerajaan Persekutuan meskipun merupakan penyumbang besar ekonomi negara.

Johor katanya pernah menyumbang hasil lebih RM13 billion ($4.09 bilion) setiap tahun dan pernah menjadi penyumbang pelaburan terbesar negara sejak tahun 2013 hingga 2018.

Bagaimanapun beliau berasa sedih dengan tindakan Persekutuan yang tidak menjalankan kerja penyelenggaraan terhadap infrastruktur awam yang terdapat di negeri itu.

"Saya rasa sedih dengan bangunan Persekutuan yang tidak diselenggara dengan baik seperti HSA (Hospital Sultanah Aminah), HSI (Hospital Sultan Ismail), Kompleks CIQ di BSI (Bangunan Sultan Iskandar) dan juga kemudahan UTC (Pusat Transformasi Bandar) yang perlu dipertingkat dengan sistem penyampaian lebih cekap dan selesa.

"Saya seru kerajaan Persekutuan agar segera tunai janji naik taraf Lebuh Raya Utara Selatan kepada enam lorong dan Lebuh Raya Senai-Desaru kepada empat lorong, juga jalan persekutuan yg rosak dan berlubang, saya rasa seolah-olah Johor dianaktirikan walhal Johor adalah penyumbang utama ekonomi negara.

"Jangan sampai rakyat Johor desak untuk keluar dari Malaysia, mungkin Johor lebih maju jika berdiri atas kaki sendiri," katanya lagi.

Beliau berkata sejak 2013 hingga 2018 Johor menduduki tempat pertama dari jumlah pelaburan di Malaysia berikutan keadaan politik stabil pada ketika itu yang telah bawa banyak pelaburan ke Iskandar Malaysia dan Pengerang.

Namun sejak 2019 hingga kini nilai pelaburan di Johor semakin merosot.

"Kenapa perkara ini terjadi, puncanya bukan kerana virus Covid-19 tetapi punca utama yang saya nampak adalah virus iri hati dan cemburu pada Johor. Ada pelabur nak membangunkan ladang solar terbesar di Pengerang, namun kerajaan Persekutuan mengenakan sekatan dengan alasan tiada kuota.

"Ada pelabur hendak membangunkan pusat tenaga dan pelabuhan laut dalam di Perairan Muar namun ada pula monyet yang melompat-lompat. Tidak mahu pembangunan dibuat sedangkan projek itu akan memberikan peluang pekerjaan yang lebih terjamin kepada penduduk tempatan," kata Sultan Ibrahim. - Agensi berita.